Panduan Mengawal Aktiviti Online Anak Anda

RAMAI menyedari tidak semua maklumat terkandung dalam internet sesuai untuk anak berikutan kemampuan minda mereka mengikut atau meniru apa saja yang terhidang di depan mata.
Kandungan dalam laman web boleh dicapai dengan mudah ditambah kehidupan pada zaman teknologi serba canggih memungkinkan anak terutama remaja mengakses apa sahaja melalui komputer peribadi atau komputer riba.
Ada kanak-kanak menyalah guna internet untuk mencari hiburan. Justeru, peranan ibu bapa penting bagi memantau maklumat yang disalurkan.
Adakah kita perlu mengharamkan internet kepada anak agar mereka tidak dipengaruhi unsur negatif atau menggunakan enjin carian untuk mencari maklumat tertentu?
Jawapannya pasti tidak. Anak perlu didedahkan dengan dunia teknologi maklumat bagi meningkatkan pengetahuan selain tidak ketinggalan dalam mengejar ilmu.
Apa yang pasti, internet dan maklumat tidak patut dipersalahkan dalam hal ini. Mereka yang patut disalahkan ialah penyumbang maklumat dan pereka laman tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Kesukaran mengawal kandungan internet memang jelas. Sebagai contoh, syarikat penyiaran BBC dalam satu artikelnya pada September 2002 melaporkan 30,000 pekerja hak asasi manusia digunakan kerajaan China untuk memerhatikan laman web, bilik sembang di internet dan e-mel bagi menapis kandungannya.
Bayangkan betapa susahnya mengawal internet. Ibu bapa yang menjadi pembimbing memainkan peranan mengawal kelakuan anak bukan menghalang mereka.
Laman web memang memberi kebebasan kepada pelayar menaip apa jua alamat. Mungkin anak menaip perkataan seperti kartun dengan niat untuk melihat karakter kegemaran mereka sedangkan ada juga kartun berunsur lucah.
Mengelak masalah seperti itu ada ‘penawar’nya. Jika menggunakan enjin carian Yahoo, anda boleh menapis menggunakan ‘SafeSearch’ untuk mengelak teks atau gambar yang mengandungi kandungan khas untuk golongan dewasa.
Secara asasnya, klikkan ‘on’ dan ikon terima mengikut arahan disediakan sehingga ia menukar halaman menghalang sebarang laman web berunsur lucah atau ganas.
Mereka yang menggunakan Microsoft Internet Explorer (MIE) hanya perlu klik ‘tools’ (perkakasan) yang terletak di atas kotak MIE itu.
Kemudian, ia akan memaparkan ikon ‘internet options’ (pilihan internet) dan anda perlu kliknya dengan satu kotak baru akan dibuka. Lihat di atas dan anda harus klik ‘content’ (kandungan) pula dan anda akan melihat ‘content advisor’ (penasihat kandungan) muncul.
Ketika itu anda perlu tekan ‘enable’ (diaktifkan) yang satu lagi kotak baru akan muncul dengan di dalamnya ada empat kunci, masing-masing ‘language’ (bahasa), ‘nudity’ (bogel), ’sex’ (seks) dan ‘violence’ (keganasan).
Setiap kali kunci itu diklik, seseorang boleh mengawal pada tahap mana mereka hendak mengawal laman web yang mempunyai empat elemen itu daripada memasuki saluran yang diakses.
Contohnya jika anda klik ‘language’, anda boleh mengawal daripada tahap satu iaitu tahap kawalan paling rendah sehingga tahap empat apabila laman web yang ada unsur bahasa kesat atau lucah akan dihalang secara langsung.
Begitu juga unsur bogel, seks dan keganasan. Anda boleh mengawal sendiri pada tahap mana anda inginkan pelepasan, terutama apabila komputer digunakan mereka yang di bawah 18 tahun.
Itu sebahagian cara mudah mengawal kandungan internet. Mampukah ia mengawal anak anda yang mengetahui cara mengelaknya terutama mereka meningkat dewasa.
Ibu bapa mesti membuka mata bahawa terdapat banyak perisian yang mampu melindungi internet atau komputer, bukan saja daripada bahan lucah atau ganas malah masalah virus seperti ’spam’, ‘phishing’ dan ‘malware’ akibat tindakan anak.
Perisian khusus ini bertindak menyekat capaian ke laman web bermasalah menurut kaedah tertentu dan arahan yang diberi.
Ia membantu untuk masalah teknikal lebih besar contohnya, pembelian produk secara ‘online’ menggunakan kad kredit ibu bapa oleh anak yang terpengaruh dengan iklan di internet.
Mengawal penggunaan internet bukan hanya tertumpu kepada masalah kelucahan atau keganasan tetapi virus dan masalah lain yang dimuat turun secara tidak sengaja oleh anak pada komputer.
Penasihat Utama Teknologi Trend Micro Malaysia, Victor Lo, berkata ibu bapa perlu menghalang laman web tertentu mengikut segmen tertentu.
“Keselamatan boleh dititikberatkan dengan mencipta kata laluan untuk setiap ahli keluarga atau menyelia aktiviti laman web dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, zaman teknologi masa kini memungkinkan anak memuat turun permainan atau gambar dengan mudah sehingga tidak sedar terdapat bahaya menanti.
“Secara tidak langsung, ibu bapa tidak sedar ada anasir jahat yang mencuri segala maklumat dalam komputer seperti nombor akaun tanpa disedari,” katanya.
Menurut Lo, syarikatnya melalui Trend Micro Internet Security 2007 mampu mengawal pergerakan anak melalui pentadbiran kata laluan utama dalam komputer.
“Ia mengehadkan pengguna komputer untuk laman web berniat jahat, mengawal ruang sembang serta e-mel dan rangkaian internet tidak selamat yang mengundang ’spyware’ atau phishing,” katanya.
Katanya, anak perlu dikawal kerana kanak-kanak kurang pengetahuan mengenai bahaya jenayah siber dan hanya menurut apa yang diberikan kepada mereka.
Kehadiran semakin banyak laman web lucah di internet sekarang menimbulkan kebimbangan kepada banyak pihak sehingga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan ibu bapa membeli perisian khas komputer untuk menyekat anak mereka daripada mengakses laman itu.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, jenayah, terutama seks seperti rogol dan bunuh yang berlaku sekarang berpunca daripada generasi muda yang mudah hilang kawalan apabila melihat bahan lucah.
Fenomena laman lucah atau berunsur judi membimbangkan ibu bapa sehingga berasakan komputer juga tidak selamat untuk digunakan.
Antara syarikat perisian yang mengawal kandungan internet, F Secure mempunyai jawapan kepada masalah ibu bapa.
Melalui F-Secure Internet Security (FSIS) 2007, kawalan lebih ketat ditawarkan bagi mengelak penyalahgunaan internet secara langsung atau tidak.
Kecurian data dalam komputer ketika anak melayari internet mampu dielak dengan pantas atau sistem amaran mengenai laman berbahaya akan dimaklumkan kepada pengguna.
Pengurus Pemasaran Produknya, Velde Vainio, berkata teknologi F Secure sesuai digunakan di rumah membantu kawalan ibu bapa kepada anak.
Uniknya, F Secure mampu menyelia masa penggunaan internet agar anak anda tidak tertumpu kepada komputer semata-mata. Sebagai contoh, sekiranya anda hanya membenarkan penggunaan internet pada waktu petang, hanya klik pilihan masa itu.
Hadkan masa penggunaan internet sama ada sejam, dua jam atau lebih bergantung kepada anda. Cara ini mengawal anak anda daripada menghadap komputer sepanjang masa.
Terdapat beberapa cara awalan yang boleh diamalkan ibu bapa untuk mengawal penggunaan internet di kalangan anak mereka.
Antaranya, menerangkan secara jelas kepada mereka bahawa laman web lucah atau berunsur negatif seharusnya ditutup terus jika terpapar di skrin atau memaklumkan kepada ibu bapa.
Mereka juga perlu dinasihatkan agar tidak memberikan maklumat peribadi seperti nombor kad kredit ibu bapa atau nombor akaun sewenang-wenangnya kepada orang lain.
Pastikan anak berjanji akan memberitahu anda aktiviti secara online yang dilakukannya termasuk menghantar gambar atau maklumat ke laman web sosial seperti ‘Friendster’ atau ‘MySpace’.
Jangan letakkan komputer yang digunakan oleh anak anda menghadap dinding atau di suatu sudut yang terlalu terlindung. Ruang tamu adalah sesuai dengan skrin komputer menghadap tempat terbuka.
Simpan kata laluan utama bersama anda bagi mengelakkan kebocoran maklumat atau penyalahgunaan yang menyebabkan anda menghadapi masalah pada masa akan datang.
Sentiasa berada di samping anak untuk mengawasi pergerakan online seperti rakan sembang di internet dan berbincang jika terdapat masalah berkaitan penggunaan komputer.
Internet juga adalah satu dunia yang menjadi semakin penting. Setiap hari, ia akan berkembang seiring kemajuan manusia seluruh dunia.
Dalam dunia baru ini tiada sempadan yang wujud. Semua orang digalakkan untuk terbabit dan menyumbang berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka.
Kawalan ibu bapa amat penting bagi melahirkan minda anak yang cerdas dan bersih selain memantapkan daya fizikal serta mental ke arah pencapaian teknologi maju kini.TIPS Mengawal Aktiviti Online Anak Anda:
1. Letakkan komputer di sudut terbuka yang boleh dilihat.
2. Berikan kata laluan tertentu untuk mengawal pergerakan online.
3. Jangan benarkan anak anda muat turun gambar, teks atau video yang diketahui asal usulnya.
4. Sentiasa berkongsi minat dengan anak agar anda tidak ketinggalan mengetahui arus teknologi terkini dalam bidang perkomputeran.
5. Elakkan memberi nombor kad kredit tanpa usul periksa kepada anak anda.
6. Berkongsi senarai nama kenalan anak anda melalui laman sembang atau Friendster dan MySpace.
View technorati.com

No comments: