UAE Teratas Dalam Senarai Pelabur Arab Di Luar Negara, Kata PBB


DUBAI, 25 Feb. - Rentetan pengambilalihan besar-besaran di seberang laut menjadikan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pelabur Arab terbesar di seberang laut, dengan janji niaga keseluruhan berjumlah lebih AS$26 bilion dalam tempoh tujuh tahun, demikian menurut majalah Emirates Business.Memetik data-data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 2000 hingga 2006, Emirates Business berkata UAE sahaja menguasai lebih separuh daripada keseluruhan nilai pengambilalihan yang dilaksanakan oleh enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).


Menurut perangkaan Persidangan Perdagangan & Pembangunan PBB (Unctad), daripada jumlah yang tidak seberapa dalam tempoh 2000-2004, transaksi pengambilalihan UAE meningkat dengan mendadak kepada AS$4.7 bilion pada 2005 dan $21.6 bilion pada 2006 sekali gus melonjakkan nilai pengambilalihannya di luar negara kepada AS$26.5 bilion dalam tempoh 2000-2006.Peningkatan itu menjadikan UAE pembeli aset asing di luar negara terbesar di kalangan negara-negara Arab.


Mesir menduduki tempat kedua dengan pengambilalihan bernilai kira-kira AS$19.7 bilion dalam tempoh itu, diikuti Arab Saudi (AS$9.11 bilion) dan Kuwait (hampir AS$6.6 bilion).Meskipun saiz dan sumber minyaknya kecil, namun Bahrain muncul sebagai pelabur besar dalam pengambilalihan di luar negara dengan jumlah pelaburan bernilai AS$3.6 bilion dalam tempoh 2000-2006.


Lebanon juga merupakan pelabur penting dengan pengambilalihan bernilai kira-kira AS$$1.5 bilion.Emirates Business berkata laporan itu menunjukkan pengambilalihan GCC yang terdiri daripada UAE, Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Qatar dan Oman, secara tergabung berjumlah kira-kira AS$46.7 bilion dalam tempoh 2000-2006.


Lebih setengah daripada urus niaga berkenaan dibuat pada 2006, melibatkan jumlah kira-kira AS$29.9 bilion.Kata Emirates Business, laporan PBB itu tidak memberikan perangkaan bagi 2007 tetapi memetik pegawai bank sebagai berkata jumlah keseluruhan transaksi pengambilalihan oleh GCC mungkin telah melebihi AS$70 bilion.

No comments: