Kosovo merdeka dari Serbia


PRISTINA, Serbia 17 Feb. – Kosovo hari ini muncul sebagai negara terbaru dunia apabila ia mengisytiharkan kemerdekaannya dari Serbia dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.Penduduk Kosovo yang terdiri daripada 90 peratus etnik Albania menyambut detik-detik itu di Pristina apabila Parlimen mengisytiharkan kemerdekaan kira-kira 3 petang ini (10 malam waktu Malaysia).


Negara ini kemudiannya dijangka menerima pengiktirafan diplomatik dari Washington dan negara sekutunya yang penting di Eropah dalam tempoh 24 jam berikutnya.Kerajaan Serbia yang menyifatkan Kosovo sebagai tempat kelahiran kebudayaan dan agama bagi penduduk etnik Serb, menganggap pengisytiharan kemerdekaan itu sebagai tidak sah.“Kami sudah menyediakan perlembagaan dan lambang kebangsaan Kosovo,” kata Perdana Menteri Kosovo, Hashim Thaci.


Beliau mengetuai perang gerila etnik Albania, sedekad lalu untuk menentang pasukan keselamatan Serbia yang diketuai oleh Slobodan Milosevic.“Saya ingin menjelaskan bahawa lembaran usaha kemerdekaan sudah ditutup. Sekarang kami ingin menumpukan perhatian kepada masa depan,” tambahnya ketika penduduk Kosovo membanjiri jalan raya yang diselaputi salji di Pristina sambil mengibarkan bendera untuk meraikan detik bersejarah itu.


Perisytiharan kemerdekaan Kosovo menutup tirai perpecahan Yugoslavia, yang berlaku pada tahun 90-an selepas berakhirnya era komunisme di Eropah dan menyaksikan unsur kezaliman paling dahsyat pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua.Kosovo diletakkan di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1999 selepas wilayah itu dirampas dari Belgrade ekoran serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhadap rejim Milosevic.


Sebaik sahaja kemerdekaan Kosovo diisytiharkan, tempoh peralihan selama 120 hari akan bermula dengan penempatan 2,000 anggota polis Kesatuan Eropah (EU).Sebuah kumpulan penghakiman juga diwujudkan bertujuan melancarkan tempoh peralihan itu dan juga untuk mempastikan demokrasi dipulihkan di Kosovo. – AFP

No comments: