Waspada virus telefon bimbit
SELAMA ini, kita sering mendengar tentang virus komputer, tetapi akhir-akhir ini istilah virus telefon bimbit mula kedengaran dan dijangka akan menjadi popular di pendengaran anda.
Sungguhpun serangan virus telefon bimbit masih jarang, namun bahaya ancamannya kian berkembang seiring dengan peningkatan bilangan pengguna yang mengakses internet dan memuat turun fail dengan telefon bimbit mereka, kata pakar.
Satu tinjauan yang dikeluarkan pada minggu ini di Kongres Industri Mudah Alih Dunia di Barcelona, Sepanyol menunjukkan bahawa hanya 2.1 peratus pengguna telefon bimbit yang mengalami serangan virus.
Mereka juga mendapati hanya 11.6 peratus pengguna mengetahui jika ada telefon bimbit kepunyaan rakan mereka diserang virus.Kajian oleh pakar sekuriti teknologi maklumat (IT), McAfee, berasaskan 2,000 responden di Britain, Amerika Syarikat (A.S) dan Jepun itu juga menunjukkan bahawa 86.3 peratus daripada mereka tidak pernah berpengalaman diserang virus telefon bimbit.Tinjauan tersebut bagaimanapun mencadangkan bahawa semakin pasaran telefon bimbit berkembang dengan peningkatan penggunaan internet dan muat turun, semakin cenderung untuk virus atau pepijat menyerang telefon bimbit.
Sebagai contoh, serangan virus di Jepun iaitu negara pasaran telefon bimbit paling membangun di dunia adalah yang paling biasa berbanding tempat-tempat lain.
"Kita patut melihat di Jepun masa kini yang mana ia merupakan gambaran teknologi mudah alih masa depan dunia," kata Graham Cluley, seorang perunding di Sophos, sebuah lagi firma sekuriti IT."Saya tidak terkejut, jika kita melihat masalah ini berkembang kerana telefon kini berkembang menjadi komputer mudah alih," tambahnya.
Laman web www.mobilephoneviruses.com yang mengesan insiden jangkitan virus telefon bimbit, menyenaraikan beberapa virus seperti Skulls, Velasco dan Commwarrior.Sejenis virus juga telah menyerang kira-kira 110,000 telefon bimbit di Sepanyol tahun lalu, menyerang telefon bimbit yang dioperasikan dengan sistem operasi Symbian.
Ia tersebar menerusi mesej MMS atau teks mesej mengandungi audio, video atau fail gambar."Virus bukanlah isu besar sekarang tetapi ia mempunyai potensi untuk menjadi polemik pada masa depan apabila penggunaan internet lebih meluas," kata penganalisa di syarikat penyelidikan pasaran , Pete Nuthall.Industri telefon bimbit kian berkembang apabila pemilik telefon bimbit kini menggunakan telefon mereka lebih daripada sekadar membuat panggilan dan mengirim mesej.Sedangkan, dua fungsi ini kian dipinggirkan di negara-negara maju dengan memberi tumpuan kepada penawaran fungsi internet, video, game dan pemetaan.
"Ia merupakan satu risiko yang memerlukan kita untuk berwaspada tetapi seseorang itu tidak wajar menjadikannya dramatik dan membimbangkan pengguna," kata Emmanuel Forgues dari kumpulan sekuriti IT Rusia, Kaspersky.Menurutnya, ia adalah risiko yang wujud dan tentunya sedang berkembang.Cluley berkata, terdapat kira-kira 350,000 virus telah ditulis untuk menyerang komputer-komputer yang beroperasi dengan Microsoft Windows dan lebih kurang 200 virus untuk sistem operasi telefon bimbit.
"Virus-virus komputer biasa ditulis oleh geng-geng penjenayah untuk mencuri wang dan informasi peribadi, tetapi virus telefon bimbit menjadi gelanggang buat kanak-kanak menunjukkan kehebatan," katanya."Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah menulis sejenis virus untuk telefon iPhone Apple yang menghentikan operasinya dan 'menukarnya menjadi seperti batu'," kata Cluley, dan akibatnya, pengguna perlu ke laman internet kanak-kanak itu serta memuat turun perisian tertentu.
Menyorot sejarah, virus komputer telah mula dikenal pasti menjangkiti telefon bimbit pada tahun 2004, seperti mana yang dilaporkan oleh syarikat-syarikat pembangun antivirus.Pembangun perisian sekuriti Russian dari Perancis, Kaspersky Labs berkata, virus tersebut yang dinamakan Cabir dipercayai dibangunkan oleh sebuah kumpulan penggodam antarabangsa yang digelar 29A.Cabir lazimnya menjangkiti telefon bimbit bersistem operasi Symbian.
Ia biasanya boleh berjangkit menerusi teknologi tanpa wayar bluetooth.Apabila cecacing itu memasuki komputer, ia akan secara berterusan mengesan peranti-peranti yang dilengkapi khidmat bluetooth sekali gus mengurangkan jangka hayat bateri kerana aktiviti pengimbasan yang berterusan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment