Raja setuju projek kereta api Makkah, Madinah


JEDDAH: Raja Abdullah mengarahkan projek kereta api Makkah-Jeddah-Madinah dilaksanakan menggunakan tabungan negara.Menteri Pengangkutan Arab Saudi, Dr Jabara Al-Seraisry, berkata arahan itu akan mempercepatkan pembinaan projek Lingkaran Kereta Api Makkah-Madinah (MMRL) yang dianggarkan menelan kos SR20 bilion (RM17 bilion) dan membawa perubahan dalam pengangkutan jemaah haji dan umrah di antara kedua-dua bandar raya itu.


Dr Jabara berkata, MMRL, yang diwujudkan untuk mengendalikan kereta api dengan kelajuan lebih 300 kilometer sejam, akan mengurangkan waktu perjalanan di antara Jeddah dan Makkah kepada 30 minit dan di antara Jeddah dan Madinah tidak sampai dua jam.Laporan Arab News menyebut, MMRL termasuk pembinaan landasan kereta api elektrik berkelajuan tinggi baru sepanjang 500 kilometer di antara Jeddah dan Makkah dan di antara Jeddah dan Madinah.


Landasan itu akan dilengkapi tanda isyarat moden dan sistem telekomunikasi."Kami sudah pun menyelesaikan laluan projek landasan ini dan mengenal pasti lokasi bagi stesen di Makkah, Jeddah dan Madinah," Agensi Akhbar Saudi memetik Dr Jabara sebagai berkata."Projek itu akan memperbaiki kualiti pengangkutan awam di Arab Saudi,Sumber memberitahu Arab News jawatankuasa khas kini memantau tanah di sepanjang laluan untuk melaksanakan projek itu.


Jawatankuasa terbabit juga menganggarkan pampasan untuk dibayar kepada pemilik tanah selepas aset mereka diambil.MMRL akan mempunyai stesen di Pelabuhan Islam Jeddah, Lapangan Antarabangsa Raja Abdul Aziz dan Bandar Raya Ekonomi Raja Abdullah di Rabigh, kata sumber, sambil menambah ia akan melalui sempadan timur Jeddah.Enam konsortium iaitu Konsortium Al-Rajhi, Kumpulan Binladin, Saudi Oger, Konsortium Saudi Jepun, Konsortium Al-Sholah dan OHL International, berusaha mendapatkan kontrak. - Agensi

No comments: