PNB agih pendapatan lebih RM60b

SUNGAI PETANI 18 Feb. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) membayar lebih RM60 bilion dalam bentuk agihan pendapatan kepada kira-kira 8.8 juta pemegang unit amanahnya sejak skim dana pertama iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) ditubuhkan pada 20 April 1981.
Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, keupayaan pihaknya membayar pulangan berdaya saing tersebut menunjukkan bahawa matlamat kerajaan untuk mengagihkan kekayaan secara sama rata di kalangan rakyat tercapai.

"Sehingga kini, PNB berjaya menggembleng lebih RM70 bilion daripada 8.8 juta pemegang unit amanah. Dengan sokongan dan keyakinan dari seluruh rakyat Malaysia, PNB berupaya berikan pulangan yang berdaya saing setiap tahun.

"Ini membuktikan bahawa unit amanah yang diwujudkan PNB menerusi anak syarikat iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah berjaya mengagihkan kekayaan negara secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti pintar PNB yang disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin di Kampung Hilir, Merbok, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

PNB kini mengendalikan lapan skim dana iaitu ASN, ASN2, ASN3, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Didik (ASD) dan Amanah Saham Gemilang (ASG).

Menurut Ahmad Sarji, sejak ditubuhkan pada tahun 1978 oleh Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), PNB sebagai jentera kerajaan juga telah menjalankan tugas dengan baik bagi menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Kita berjaya mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat melalui peningkatan pemilikan dan kepentingan dalam sektor korporat," katanya.
Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, pihaknya mengharapkan penyertaan lebih ramai pelabur dalam skim-skim amanahnya.

"Sekarang kita buka juga kepada pelaburan bukan bumiputera ini.''

"Pada masa yang sama, kita turut mengharapkan sokongan pengekalan pelaburan di kalangan pemegang unit bagi membolehkan PNB membayar pulangan kompetitif berterusan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pusat komuniti pintar yang ditubuhkan oleh PNB di Kampung Hilir bernilai RM520,000 tersebut merupakan pusat kedua dibina selepas di Kampung Nenasi Pantai, Pekan, Pahang pada 7 April tahun lalu.

"Ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh PNB. Pusat komuniti pintar seumpama ini dilengkapi dengan 17 komputer, dua pencetak, sebuah pelayan (server) dan projektor bagi dimanfaatkan oleh 1,200 penduduk kampung ini," katanya.

Sementara itu, Zainuddin yang merupakan penyandang kerusi Ahli Parlimen Merbok berkata, kerajaan mengharapkan lebih banyak penyertaan badan-badan korporat menjalankan tanggungjawab sosialnya bagi membantu mengatasi masalah kemiskinan dan merapatkan jurang pengetahuan di kalangan rakyat.

''Saya rasa banyak masalah yang dihadapi masyarakat seperti kemiskinan, pelajaran dan sosial lain boleh diatasi sekiranya banyak korporat seperti PNB menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka,'' katanya.
View technorati.com

No comments: