Saeed Al Khouri Pemilik Nombor Kenderaan Termahal Di Dunia


DUBAI, 17 Feb. - Seorang ahli perniagaan Saeed Al Khouri muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan termahal di dunia setelah membeli nombor 1 dengan harga 52.2 juta dirham (kira-kira RM45.8 juta) pada satu lelongan awam di Abu Dhabi pada Sabtu.


Saeed, 25, dari Abu Dhabi, memperoleh nombor plat yang menjadi idaman ramai itu setelah terlibat dalam apa yang disifatkan oleh akhbar Gulf News sebagai "pertandingan sungguh sengit" pada peringkat akhir lelongan berkenaan yang berlangsung di Emirates Palace hotel.


Beliau mencipta rekod baru apabila membayar lebih sekali ganda daripada harga tertinggi sebelum ini - 25.2 juta dirham bagi Nombor 5 - yang dibeli oleh sepupunya Talal Ali Mohammad Khouri, juga seorang ahli perniagaan terkenal.Saeed memberitahu Gulf News bahawa beliau memang bertekad membeli nombor itu biar berapapun harganya dan tidak berniat untuk menjualnya semula.


Abdullah Matar Al Mannaei, pengarah urusan Emirates Auction, jurulelong rasmi bagi nombor plat 5 sebelum ini ,berkata lelongan awam itu - yang keenam dikendalikan oleh syarikatnya - menarik 750 peserta dan meraih bayaran berjumlah 89 juta dirham daripada penjualan 90 nombor plat.


Apabila bidaan bagi nombor 1 melepasi 47 juta dirham, saingan hanya berlaku antara dua pembida sahaja iaitu Saeed dan Yousuf Naser, seorang ahli perniagaan dari Dubai, sebelum ia akhirnya dimenangi oleh Saeed, kata Gulf News.Akhbar itu melaporkan bahawa pendapatan yang dijana melalui lelongan itu akan digunakan bagi menubuhkan sebuah hospital di Abu Dhabi, yang khusus memberi rawatan kepada mangsa kemalangan.

No comments: