Bekas polis gagalkan cubaan culik kanak-kanak 5 tahun

Kes culik di Malaysia semakin menjadi? Adik Sharlinie belum dapat dikesan sedangkan ganjaran sudah mencecah RM100,00.00 mencadi cabaran kepada PDRM dan rakyat Malaysia. Kempen "dimana adik Sharlinie" masih tidak berhasil malah ada yang buat lawak sarkas dengan memberi info palsu juga bomoh-bomoh yang membuktikan mereka sebenarnya tidaklah sehandal mana. Juga isu waran PDRM yang menggeledah rumah yang disyaki serta Dato Yusof Haslam yang membuat kecoh dengan Drama Gerak Khasnya.
Yang terbaru ialah di Klang di mana ada percubaan culik juga kepada kanak-kanak yang bernama Ain pula.Persoalannya kenapa kejadian culik semakin galak sekarang ni????

Bekas polis gagalkan cubaan culik kanak-kanak 5 tahun
KLANG 10 Feb. - Cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang hanya dikenali sebagai Ain di hadapan pusat beli-belah Klang Parade di sini pada 27 Januari lalu berjaya digagalkan oleh seorang bekas anggota polis yang terserempak dengan kejadian itu.
Mohamed Yassin Fatah Mohamad, 45, yang juga ahli Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan (Perisi) menggagalkan cubaan culik oleh dua lelaki bermotosikal itu selepas berjaya menakutkan mereka.

Menceritakan peristiwa kira-kira pukul 8 malam itu, Mohamad yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini petang ini untuk melaporkan kejadian itu berkata, ketika kejadian, beliau sedang berjalan ke arah pekarangan pusat membeli-belah tersebut untuk membuat salinan dokumen perniagaannya.

''Ketika sedang berjalan, saya ternampak kanak-kanak perempuan berkenaan sedang berlari dalam keadaan ketakutan sambil menjerit perkataan mama beberapa kali.

''Pada masa yang sama, di belakang budak perempuan itu ada dua lelaki bertopi keledar dan menaiki motosikal sedang mengekori.

''Saya yang pada mulanya tidak menyangka ia satu cubaan untuk melarikan kanak-kanak itu terus menjerit kepada kedua-dua suspek yang mula mencapai tangan budak itu,'' katanya.
Katanya lagi, pada ketika itu, beliau menghampiri kedua-dua lelaki terbabit dan seorang awam yang menaiki kereta.

''Mungkin kerana takut, kedua-dua lelaki terbabit melepaskan tangan kanak-kanak itu dan terus memecut," dakwanya.

Menurut Mohamad Yassin, melihat kedua-dua lelaki terbabit melarikan lari, beliau terus mendukung kanak-kanak itu sementara orang awam itu pula menghubungi polis.

''Kanak-kanak itu menangis dan badannya menggigil mungkin ketakutan dan saya memujuknya sambil bertanya nama dan di mana ibu dan bapanya.

''Kanak-kanak itu memberitahu namanya Ain dan ibu bapanya berada di pusat beli-belah Klang Parade untuk membeli barang," katanya.

Kata Mohamad Yassin, selepas 15 minit menunggu, sebuah kereta peronda polis tiba dan beliau menyerahkan kanak-kanak itu kepada anggota polis untuk tindakan lanjut.

Beliau kemudiannya pulang ke rumah dan tidak dapat melupakan kejadian tersebut serta ingin mengetahui keadaan budak perempuan itu.

''Akhirnya selepas berbincang dengan Ketua Perisi, saya yang sibuk dengan urusan perniagaan datang ke balai hari ini untuk membuat laporan kejadian dan pada masa yang sama ingin bertanya kepada pihak polis keadaan Ain.

''Saya berharap dapat berjumpa Ain selepas ini," jelasnya.

Katanya, beliau dan anggota Perisi lain turut membantu usaha mencari kanak-kanak yang diculik, Sharlinie Mohd. Nashar, 5.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada ibu bapanya pada hari yang sama kejadian berlaku.

Kata beliau, ibu bapa kanak-kanak itu berada di dalam pusat beli-belah Klang Parade dan tidak mengetahui yang anak perempuannya hampir diculik.
View technorati.com

No comments: