KUALA LUMPUR: Polis tidak boleh menyaman pemandu kenderaan yang hanya mengemukakan MyKad dan bukan lesen memandu ketika diperiksa jika anggota berkenaan tidak mempunyai alat pembaca butiran kad berteknologi tinggi itu bagi mengelak salah faham.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Mat Taib, berkata beliau pernah beberapa kali menegur anggotanya yang menyaman pemandu tanpa menggunakan alat pembaca MyKad.Bagaimanapun, katanya itu tidak bermakna anggotanya langsung tidak boleh menyaman pemandu jika mereka melakukan kesalahan lain kerana mereka masih boleh meneliti aspek lain termasuk cukai jalan dan menyaman kesalahan yang jelas seperti melanggar peraturan lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan kesalahan meletak kenderaan.
“Alasannya cukup mudah, semua maklumat lanjut ada di dalam MyKad. Bagi saya, ia cukup senang, kalau tak ada alat pembaca kad, jangan saman... buat apa nak pertikaikan kerana semua sudah ada di dalam cip itu.“Jika kita tidak mempunyai pembaca kad itu, buat apa nak bertekak dengan pengguna jalan raya sedangkan kita mempunyai pilihan lain. Itu boleh dikecualikan kerana kita mempunyai pilihan,” katanya kepada Berita Minggu.
Pada Jun 2007, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abd Aziz mengumumkan kira-kira 70 peratus daripada 90,000 anggota polis dilengkapi alat pembaca butiran MyKad dan sudah menerima 66,230 alat berkenaan.Alat itu mampu meningkatkan keupayaan dan keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan MyKad palsu yang dimiliki rakyat asing dan pasukan itu merancang membekalkannya kepada 90 peratus anggota dan pegawai.
Mengenai penggunaan alat pembaca MyKad untuk anggota trafik, Hamza berkata, ketika ini 60 peratus daripada kira-kira 4,500 pegawai dan anggotanya sudah dilengkapi kemudahan itu.“Kami jangka semua anggota akan menerima alat itu tahun ini dan ketika ini, semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sudah memilikinya. Jika menggunakan alat ini, tugasan lebih mudah, selaras penggunaan teknologi diperkenalkan kerajaan,” katanya.
Selain itu, pihaknya juga sedang menguji pakai sejenis alat pembaca kad khas berteknologi tinggi dikenali sebagai ‘tricube’ yang membolehkan anggotanya terus menyemak data peribadi individu kerana ia dihubungkan terus dengan data sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Katanya, menerusi penggunaan alat canggih itu, semua data termasuk senarai saman, waran tangkap, individu dikehendaki polis boleh disemak serta merta di lokasi tempat operasi.“Kita sudah uji dan menggunakannya untuk pasukan peronda di semua lebuh raya dan ia sangat berkesan. Cuma ada beberapa aspek yang perlu dibaiki misalnya untuk mengatasi masalah mendapatkan isyarat pemancar terdekat,” katanya. - Oleh Mohd Azis Ngah
View technorati.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment