PERGAULAN
Assalamualaikum Dr. Danial,Saya ingin menanyakan Dr. akan persoalan bagaimanakah cara pergaulan antara lelaki bukan mahram dengan wanita bukan mahram? Di manakah batasnya? Kemungkinan ramai yang mengetahui akan cara-cara tersebut namun saya perhatikan ada yang perkara-perkara tertentu yang dipandang ringan. Bagaimanakah cara untuk mengenali seorang wanita bukan mahram atau lelaki bukan mahram seiring dengan cara syariat? Adakah dibenarkan? Sekiranya Dr. mempunyai sebarang informasi berkenaan dengan adab-adab pergaulan harap dapat ditengahkan juga.
KAEDAH KECEMERLANGAN: SEPERTI BENDANG, PERGAULAN ADA BATASNYA. JAGALAH BATAS ITU
Untuk menjadi insan yang cemerlang berlandaskan agama, isu pergaulan antara lelaki dan perempuan perlu difahami secara yang komprehensif. Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang harus berkahwin (iaitu yang bukan mahram) perlulah dijaga agar tidak terbabas dari tuntutan syariat serta akhlak. Batas-batas pergaulan ini bukan hanya melibatkan fizikal, malah juga melibatkan mental dan spiritual. Secara umumnya Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 32, "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang yang keji dan suatu jalan yang buruk."
1- MENJAUHI ZINA MINDA
Sebagai contoh, jika seseorang lelaki duduk berjauhan dari seorang wanita, tetapi mindanya membayangkan yang dia sedang melakukan perbuatan lucah dengan wanita itu, dia ketika itu sedang mrelakukan dosa walaupun dia secara zahirnya berjauhan dari wanita itu. Dia sebenarnya sedang melakukan ‘zina minda,’
2- MENJAUHI ZINA MATA
Demikianlah juga dengan pandangan mata. Jika seseorang lelaki melihat seorang wanita dari jauh dengan pandangan syahwat, dia juga berdosa walaupun ketika itu wanita itu duduk berjauhan daripadanya. Ketika itu dia sedang melakukan 'zina mata.’ Sahabat nabi, Jarir bin Abdullah, pernah berkata, "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah tentang melihat wanita dengan tidak disengaja, maka sabdanya: 'Palingkanlah pandanganmu'." (Riwayat Muslim) Nabi juga telah bersabda kepada saidina Ali, "Ya Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan (kepada wanita) dengan satu pandangan yang lain karena yang pertama itu tidak menjadi kesalahan (kerana tidak sengaja), tetapi tidak yang kedua." (Riwayat Abu Daud)
3- MENJAUHI DARI BERDUA-DUAAN
Ketika berdua-duaan, rangsangan utk bermaksiat akan lebih kuat kerana godaan syaitan. Justeru ianya dilarang oleh agama. Berhubung dengan ini nabi bersabda, "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah dia bersendirian dengan seorang wanita di suatu tempat tanpa disertai mahramnya, karena sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan." (Riwayat Ahmad)
4- MENJAUHI DARI BERSENTUHAN
Jika melihat seseorang wanita dengan syahwat sudah dilarang oleh agama, bersentuhan kulit dengannya sudah pasti lebih dilarang lagi. Dalam sebuah hadis oleh Bukhari & Muslim telah diriwayatkan, "Tidak pernah tangan Rasulullah menyentuh tangan wanita yang tidak halal baginya." Dalam riwayat yang lain nabi bersabda, "Ditikam salah seorang daripada kamu dengan jarum dari besi di kepalanya adalah lebih baik baginya daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat Thabrani)
Walau bagaimanapun, pergaulan antara lelaki dan wanita bukanlah dilarang secara 100%. Yang dilarang ialah pergaulan bebas. Namun dalam suasana tertentu yang terkawal ianya diizinkan, sebagai contoh, ketika menuntut ilmu, berjual beli dan seumpamanya. Terima kasih.
View technorati.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment