SINGAPURA: Warga Singapura mendapat ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negara itu berhasrat mengagihkan lebihan belanjawan tahun lalu kepada penduduknya.
Warga Singapura berusia 21 tahun ke atas akan mendapat antara S$100 (RM227) hingga S$600 (RM1,366) menerusi Dividen Pertumbuhan (GD), manakala penduduk pangsapuri awam dengan pendapatan kurang S$100,000 setahun (RM227,000) akan menerima S$300 (RM683).
Mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan mendapat lebih S$100, manakala anggota kerahan (NSmen), bekas NSmen dan Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) akan mendapat lebih S$100.
Bayaran dividen yang keseluruhannya bernilai S$865 juta (RM1.9 bilion) itu akan diberikan dalam dua peringkat iaitu April dan Oktober tahun ini menerusi cek atau terus ke akaun bank penduduk.
Menteri Kewangan, Tharman Shanmugaratnam, ketika membentangkan Belanjawan Negara keduanya di Parlimen, Jumaat lalu berkata pertumbuhan ekonomi membolehkan kerajaan menikmati lebihan belanjawan S$6.4 bilion (RM14.6 bilion) bagi tahun kewangan lalu.“Apabila pertumbuhan ekonomi kita lebih baik daripada dijangkakan dan lebihan kita kukuh, kita akan berkongsi manfaat dengan warga Singapura selepas memperuntukkan sumber mencukupi bagi cabaran dan keperluan hadapan negara ini,” katanya.
Tharman berkata, kerajaan akan berkongsi lebihan Belanjawan 2007 itu dengan semua warga Singapura terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan warga lebih tua.“Keperluan mereka adalah lebih besar dan mereka lebih terjejas berbanding rakyat yang lebih mewah dalam sekitaran hari ini di mana harga (barangan) meningkat,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Singapura juga akan memasukkan antara S$150 (RM341) hingga S$450 (RM1,024) ke dalam Akaun Medisave bagi membantu warga tua berusia 51 tahun ke atas tahun ini membayar bil perubatan dan premium MediShield yang meningkat.
Kerajaan juga akan memperuntukkan lebih banyak dermasiswa bagi pelajar berpendapatan rendah meneruskan pengajian di universiti dan politeknik, serta menokok dana dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEs). - Agensi
No comments:
Post a Comment