Pengguna jangan tertipu oleh LABEL produk makanan


Sudah menjadi kelaziman, ramai yang akan tertarik kepada sesuatu benda atau produk itu dari luarannya.Tidak kira sama ada bentuk atau warna, bahagian luaran memainkan peranan penting untuk memikat mata.
Label hendaklah mematuhi peraturan dan tidak boleh mengelirukan atau memperdayakan pengguna.(Gambar Hiasan)


Dalam membeli produk makanan yang dipakej, pengguna akan lebih cenderung membeli makanan itu apabila melihat label makanan yang dijual itu tercatat mempunyai khasiat dan kualiti yang tinggi.Namun, adakah pengguna sedar yang tidak semua yang maklumat yang dinyatakan pada label makanan itu benar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.


Ketua Penolong Pengarah (Label), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohammad Jefri Crossley, berkata pelabelan makanan bertujuan untuk membekalkan maklumat yang benar dan jelas serta memudahkan aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang."Label hendaklah mematuhi peraturan dan tidak boleh mengelirukan atau memperdayakan pengguna. Bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui, setiap label yang terdapat pada produk makanan mesti mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 (PPM 1985)."Akta dan peraturan ini bertujuan melindungi orang ramai daripada penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, bahayanya dari segi kesihatan dan mengenai perkara-perkara yang bersampingan atau berkaitan dengannya," katanya.


Biarpun kadangkala hanya untuk menarik orang untuk membeli, namun tanpa disedari hal itulah yang sebenarnya mengelirukan dan menipu pengguna.Contohnya label produk yang menunjukkan penggredan dan kualiti seperti ‘bermutu dan mematuhi peraturan makanan’, walaupun ia benar namun pada masa yang sama, pengguna akan berfikir produk sama dari jenama yang berbeza tidak bermutu dan melanggar peraturan."Taktik ini bukan sahaja menyebabkan pengguna terhad membuat pilihan bahkan pada masa yang sama mewujudkan persaingan yang tidak sihat antara pengeluar."Bagaimanapun, perkataan dan pernyataan yang menunjukkan penggredan dan kualiti ini boleh dinyatakan sekiranya diperakui oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk penggredan tersebut," ujar Jefri lagi.Perkataan ‘tulen’ pada label makanan misalnya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenang.


Mengikut peraturan, perkataan ‘tulen’ atau apa-apa perkataan yang sama maksud adalah tidak dibenarkan.Walau bagaimanapun, ia boleh dinyatakan sekiranya makanan itu adalah dari kekuatan, ketulenan atau kualiti yang ditetapkan dalam PPM 1985 dan bebas dari apa-apa bahan tambahan lain selain daripada bahan tambahan yang diperlukan dalam pemprosesan makanan tersebut dan tidak terdapat peruntukan yang melarang penggunaan perkataan itu sendiri.Contohnya ‘madu tulen’ dan ‘jus tulen’ adalah dibenarkan.


Sebaliknya ‘air tulen’ dan ‘kopi tulen’ adalah dilarang kerana makanan tersebut memang dijual tanpa campuran.Selain itu, kata Jefri, jika ada produk makanan atau minuman yang dinyatakan boleh mencegah penyakit darah tinggi contohnya, akuan itu sebenarnya tidak dapat disahkan oleh Kementerian Kesihatan memandangkan setakat ini tidak ada produk makanan atau minuman yang terbukti boleh mencegah atau menyembuhkan penyakit.Begitu juga dengan produk yang tercatat sebagai ‘minuman kesihatan’ atau ‘baik untuk kesihatan’.


Makanan atau minuman ini walaupun kadangkala agak mahal harganya, pengguna akan tetap membelinya kerana mereka percaya maklumat itu adalah benar."Dalam hal ini, pengeluar hanya dibenarkan menggunakan ‘Akuan Fungsi Nutrien’ seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 18E, PPM 1985, iaitu hanya menyatakan fungsi fisiologi sesuatu nutrien dalam pertumbuhan, perkembangan dan fungsi normal tubuh manusia.


Terdapat juga garis panduan dalam menjelaskan fungsi nutrien bagi mengelakkan pengeluar melakukannya secara berlebih-lebihan."Selain itu, peraturan juga melarang memperihalkan tentang ketiadaan daging lembu, daging atau lemak babi, dan alkohol tambahan serta apa-apa aditif makanan atau tambahan zat makanan yang penambahannya dilarang di bawah PPM 1985."Ini kerana bahan-bahan tersebut sememangnya sudah dilarang dan pengeluar tidak perlu menyatakannya lagi," jelasnya.Jika kita lihat hal ini secara mendalam, ia bukanlah satu isu remeh sebaliknya melibatkan tanggungjawab dan ketelusan pengeluar kepada pengguna melalui produk makanan atau minuman yang dijual mereka.


Dalam hal ini, pihak pengeluar sepatutnya lebih peka dalam memastikan perakuan atau maklumat yang dicatatkan pada label tidak menimbulkan keraguan tentang keselamatan makanan atau mengeksploitasi rasa takut di kalangan pengguna.Jika hal ini dibiarkan berterusan, dikhuatiri kredibiliti serta prestasi produk dan juga pengeluar itu sendiri akan menjadi buruk di mata orang ramai.


- Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB (mStar)

View technorati.com

No comments: