Kisah luar biasa isteri Obama


ISTERI Senator Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, Michelle merupakan seorang peguam glamor yang mempunyai pendapatan tinggi dan sebuah rumah yang besar.

Dia kini mempunyai seorang suami yang kini mengatasi pesaing terdekatnya, Senator Hillary Clinton dalam perlumbaan untuk menjadi calon Presiden AS untuk mewakili Parti Demokrat dalam pilihan raya bulan November depan.

Bagaimanapun, Michelle tidak pernah melupakan asal usulnya yang merupakan seorang kanak-kanak berkulit hitam dari Chicago di mana dia mengatasi segala rintangan untuk mengubah senario politik AS.

Kesan yang dibawanya dalam perlumbaan pencalonan presiden AS untuk Parti Demokrat adalah besar dan tidak pernah berlaku dalam tempoh beberapa hari lalu apabila kemenangan Obama di Hawaii dan Wisconsin dilihat memberikannya peluang untuk mencapai momentum kemenangan tanpa henti.

Jika kelincahan berpidato Obama berjaya memenangi hati golongan muda di kawasan bandar, Michelle merupakan orang yang berjaya menarik undi golongan wanita serta sokongan daripada pekerja berkerjaya termasuk yang berkulit hitam dan Hispanic.

Sebelum ini, golongan wanita, pekerja berkerjaya dan Hispanic memberikan sokongan penuh kepada Hillary.

Obama yang berumur 46 tahun adalah berasal daripada keluarga campuran di mana bapanya keturunan Kenya manakala ibunya adalah berkulit putih.

Isterinya itu yang berusia 44 tahun adalah berketurunan Afrika-Amerika.

"Michelle adalah berasal daripada sebuah keluarga pertengahan,” kata seorang rakan lamanya, Angela Acree.

“Ketika itu mereka mempunyai sebuah rumah yang baik tetapi bukannya rumah yang besar. Ia mempunyai kawasan kediaman yang berbudi bahasa.” katanya.

Bapanya, Frasier Robinson bekerja sebagai seorang pekerja penyelenggaraan untuk Jabatan Pengurusan Air Chicago.

Menurut beberapa rakannya, bapa Michelle adalah seorang sukarelawan untuk Parti Demokrat di Chicago.

Kesetiaannya kepada parti itu berbaloi apabila dia memperoleh kerja-kerja kejuruteraan yang mempunyai gaji cukup memuaskan di sebuah loji air di Chicago.

Tanpa bayaran lebih masa, bapa Michelle mampu memperoleh AS$42,686 (RM137,333) setahun iaitu 25 peratus lebih tinggi dari gaji seorang guru sekolah.

Ibunya, Marian Robinson membesarkan anak-anak dengan menggunakan pendekatan tradisional.

Anak-anaknya dilarang melihat televisyen bagi membolehkan mereka melakukan kerja sekolah, berdebat mengenai beberapa isu dan memperbaiki kemahiran bermain catur.

Michelle kemudian berjaya mendapat tempat di sebuah sekolah berprestij yang menawarkan program khas untuk pelajar yang memperoleh bakat luar biasa.

Ketika berumur 13 tahun, dia mengambil jurusan biologi peringkat kolej.

Michelle kemudian berjaya mendapat tempat untuk mempelajari sosiologi di Princeton iaitu antara universiti termahal di AS.

Ketika memasuki universiti itu, dia mendapati pelajar-pelajarnya adalah golongan kaya yang berkulit putih menyebabkannya terpaksa mengambil pinjaman kewangan.

Pinjaman kewangan yang menyakitkan hati itu didedahkan oleh Michelle dalam tesisnya itu pada 1985.

“Kadang-kadang saya berasa seperti seorang pelawat di kampus,” katanya.
Dia kemudian lulus ijazah undang-undang dari Universiti Harvard dan berkhidmat di sebuah firma terkenal di mana tugasannya adalah bukan mengenai hak asasi manusia atau undang-undang keluarga tetapi kes cetak rompak serta tanda perniagaan.

“Michelle adalah seperti Charie Blair (isteri bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair).

“Dia adalah seorang gadis kelas pertengahan yang mendapati wang adalah menarik dan tidak mendapatinya bertentangan dengan kepercayaan perkauman,” kata seorang kenalan.

Michelle memeiliki koleksi barangan kemas, pakaian dan sepasang kasut Jimmy Choo berharga £7,860 (RM25,310).

Dia juga pernah dilantik menjadi Naib Presiden Hal Ehwal Luar Hospital Universiti Chicago dengan pendapatan AS$294,974 (RM949,018) setahun pada 2005.

Pada Mei 2006, menurut satu dokumen cukai untuk 2005, Obama dan isterinya mencatatkan pendapatan sebanyak AS$1.57 juta (RM5.06 juta).

Ia termasuk royalti dari buku Obama, Dreams From My Father dan pendapatannya sebagai senator.

Menerusi satu urusniaga buku yang ditandatangani Obama, dia akan memperoleh pendapatan sebanyak AS$1.96 juta (RM6.32 juta). – Agensi

No comments: