Firma India reka alat komunikasi termurah dunia
LONDON: India yang sebelum ini berjaya menghasilkan kereta termurah dunia, kini mengumumkan telefon bimbit paling murah digelar 'Telefon Rakyat' yang cuma berharga £5 hingga £10 (RM35 hingga RM70) seunit.
Akhbar The Times melaporkan semalam, selepas kejayaan mengejutkan dunia dengan kelahiran Tata Nato yang berharga £1,250 (RM8,750) sebuah, syarikat telekomunikasi tempatan, Spice yang berpangkalan di Mumbai dan bernilai £1 bilion (RM7 bilion) kini mensasarkan golongan berpendapatan rendah.
Telefon itu mengenepikan semua ciri yang dianggapnya tidak penting seperti skrin."Ia berfungsi seperti telefon biasa," kata Bhupendra Kumar Modi, Pengerusi Spice yang berharap dapat menjual 10 juta unit telefon itu, tahun depan.Telefon bimbit yang berharga kurang £20 (RM140) hanya mewakili satu perlima pasaran antarabangsa.
Namun, berikutan separuh penduduk dunia yang masih belum berkesempatan membuat panggilan dan pasaran Barat pula kelihatan lembap, lebih banyak syarikat kini berminat mensasarkan negara membangun sebagai pasaran utama.Malah, syarikat industri telekomunikasi menjangkakan bilangan penduduk yang memiliki telefon bimbit meningkat daripada 3 bilion kepada sekurang-kurangnya 4 bilion dalam tempoh tiga tahun lagi.
Spice juga berharap 'Telefon Rakyat' itu dapat membolehkannya menyertai persaingan menjual alat telekomunikasi itu kepada generasi muda Asia, Afrika dan Amerika Selatan.Syarikat itu akan memulakan jualan telefon itu ke pasaran Asia mulai bulan depan dan Spice sudah mengesyorkan harganya boleh dikurangkan dan harga cuma £5 (RM35) bukanlah mustahil.
Dianggarkan lebih 870 juta daripada 1.1 bilion penduduk India belum memiliki telefon dan jumlah pelanggan perkhidmatan itu dijangka meningkat dua kali ganda dalam masa tiga tahun kepada 500 juta orang.
Barang murah dari India sudah banyak berada di pasaran antarabangsa biarpun penduduk Britain lebih suka menunggu dan melihat kejayaan 'Telefon Rakyat' berkenaan.
Sejak pelancaran Tata Nano, bulan lalu, syarikat pengeluarnya, Tata dibanjiri pertanyaan daripada negara lain yang berminat memiliki kereta itu.Harga Tata Nano itu menyamai harga sistem stereo kereta mewah Eropah yang popular.
Syarikat Tata berkata, ia akan mengeksport kereta itu ke Britain dan pasaran luar lain tetapi ia tidak dijangka seawal tiga tahun ini.Kereta yang memiliki bahagian depan pendek dan bumbung cerun itu didakwa memuatkan lima orang.
Versi asas kereta itu dikeluarkan tanpa radio, tanpa cermin sisi bahagian penumpang dan hanya satu pengelap cermin.Pembeli yang inginkan kereta lengkap dengan kemudahan pendingin hawa, perlulah membeli jenis deluxe.
Namun, kehadiran Tata Nano itu sedari awal lagi disambut pengkritik yang bimbang kenderaan itu menyebabkan jalan raya negara itu sesak selain memburukkan lagi masalah pencemaran alam sekitar.Pesaing terdekat Nano di India ialah Maruti 800, kereta empat pintu yang dijual pada harga hampir RM17,000. - Agensi
No comments:
Post a Comment