Dari RM50 ke RM100,000

Di Malaysia bukan tak boleh cari duit. Orang dari luar datang ke negara ini bekerja berhempas pulas kumpul duit, kenapa kita susah?
T. Sundaresan kini memiliki rangkaian perniagaan yang menjana pendapatan purata RM100,000 sebulan.
Dua puluh tahun lalu, T.Sundaresan, 40, menyara keluarga dengan berniaga di pasar malam. Pendapatan beliau ketika itu cuma RM50 sehari. Itu pun kalau cuaca baik.

Kini, anak jati Selangor itu memiliki rangkaian perniagaan yang menjana pendapatan purata RM100,000 sebulan.

"Di Malaysia bukan tak boleh cari duit. Orang dari luar datang ke negara ini bekerja berhempas pulas kumpul duit, kenapa kita susah," hujahnya.

"Kalau malas memang tak boleh. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan," tambahnya.
Kedengaran sangat mudah, tetapi hakikatnya usaha memang tangga kejayaan.

Menjual permainan Pada usia 19 tahun, ketika kebanyakan rakan sebaya Sundaresan masih lagi tercari-cari tujuan hidup, beliau membuat keputusan untuk berniaga barang permainan di pasar malam dengan bermodalkan RM300 dan sebuah motosikal.

Kemudian pada awal 1990-an, Sundaresan membeli van jenis Chevrolet C20 dan menambah produk jualannya. Selain barang permainan, beliau turut menjual produk berasaskan plastik.
Selepas beberapa tahun, Sundaresan membeli lori satu tan dan kali ini, beliau turut menjual pasu. Waktu itu, negara sedang dilanda kemelesetan ekonomi.

"Hari-hari, saya akan pergi ke kilang di Yong Peng, Johor untuk ambil stok. Keluar pukul 3 pagi dan menjelang 6 petang, saya akan mula berniaga di pasar malam sekitar Lembah Klang. Inilah rutin saya setiap hari," kata Sundaresan.

Melihatkan vannya tidak digunakan, timbul idea untuk memulakan perkhidmatan pengangkutan supaya tidak terbazir begitu saja. Apatah lagi ketika itu, kawasan rumahnya di estet Glenmarie dan Kampung Saujana masih belum mempunyai pengangkutan awam dan sekolah pula agak jauh.

Tidak berhenti setakat itu dan berpuas hati dengan usahanya menambah pendapatan, Sundaresan mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan runcit secara kecil-kecilan di rumah.

Bijak hidu peluang Itu cerita dulu. Hari ini, Sundaresan memiliki tiga buah bas dan sebuah van sekolah. Beliau juga memiliki kedai runcit, restoran dan turut menguruskan kantin serta perkhidmatan katering.

Bapa dua anak ini bijak menghidu peluang perniagaan. Apabila melihat terdapat kedai kosong selang sebelah kedai runcitnya tiga tahun lalu, Sundaresan mengambil peluang membuka restoran.

Dengan modal RM80,000, Sundaresan membuka Restoran Ikan Tenggiri yang diuruskan oleh adiknya, T.Ramesh yang juga seorang pelakon.

Sambutan baik terhadap restorannya membuatkan beliau berkeyakinan dengan industri makanan dan minuman. Lantas Sundaresan melebarkan sayapnya menguruskan kantin pejabat dan menawarkan perkhidmatan katering.

Namun semua yang dimiliki Sundaresan hari ini tidak datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras. Apatah lagi semua dilakukan tanpa bantuan atau suntikan modal dari sesiapa. Pinjaman bank pun hanya diambil untuk membeli kenderaan.

Tak dapat beliau lupakan sewaktu kedai runcitnya dirompak empat tahun lalu. Malah pada tahun 2006, kedainya dilanda banjir yang mengakibatkan kerugian sehingga RM60,000.
"Saya terpaksa bermula dari kosong balik," katanya.

Cabaran bukan saja dalam mengumpulkan modal, tetapi juga dalam menguruskan kewangan seperti pusingan modal.

Kata Sundaresan, masalah pekerja juga kadang-kadang membebankan.

"Bukan senang nak ambil pekerja asing. Orang tempatan pula memilih kerja dan banyak kerenah. Kadang-kadang terpaksa minta bantuan anak dan saudara," kata Sundaresan yang turut menjaga anak dan isteri mendiang abangnya yang meninggal dunia 15 tahun lalu.

Cuti setahun sekali Kedai runcitnya dibuka setiap hari sekalipun cuti umum dan hari Deepavali. Perniagaannya cuma ditutup setahun sekali iaitu ketika beliau sekeluarga ke Chennai, India untuk upacara kesyukuran.

Sehingga hari ini, Sundaresan masih lagi memandu bas sekolahnya sekalipun beliau menggaji 16 orang pekerja.

"Selalu juga tak boleh tidur memikirkan perniagaan. Mesti kena sabar. Kadang-kadang memang terfikir untuk jual saja perniagaan tetapi itu bukan penyelesaian jangka panjang," katanya.

Mujur Sundaresan bertuah memiliki seorang isteri yang memahami kesibukan kerjanya.

"Dialah tangan kanan saya. Malah dia juga turun padang membantu menjaga kedai runcit ketika saya sibuk memandu bas dan memantau perniagaan lain," kata Sundaresan.

Tiada rahsia, hanya usaha Bagi Sundaresan, tiada rahsia dalam kejayaannya. Hanya usaha dan kegigihan.

"Kita tidak boleh mengharapkan bantuan orang lain kerana dalam perniagaan, kita kena bertanggungjawab, bukan hanya menanam modal," katanya.

Menurutnya, sesiapa yang memilih untuk menceburi perniagaan mesti komited, bersedia untuk mengerah tenaga tak mengira waktu dan mengambil tahu apa yang sedang berlaku dalam perniagaan.

Tambahnya lagi, dalam perniagaan mesti berhati-hati dan tidak boleh lepas tangan. Perancangan jangka panjang mesti dibuat dengan sebaik mungkin serta mesti kreatif dalam mencari idea dan menyelesaikan masalah.
"Janganlah ada yang ingat... hari ini mula meniaga, esok sudah kaya. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya," katanya.

Katanya, pengalaman sangat penting. Jadi, jangan terburu-buru dan ghairah untuk mendapat keuntungan besar.

"Dalam perniagaan bukan boleh bersuka ria. Ada orang yang meniaga untung RM10, tapi belanja RM12. Macam mana?

"Paling penting dalam hidup ialah jangan cepat putus asa. Ini kerana hanya kita dapat mengubah nasib sendiri," kata Sundaresan menutup bicara. - Bernama

No comments: