SEREMBAN 18 Feb. - Seorang pemuda, Mohd. Syukri Mohd. Aris, 27, mendakwa memiliki senaskah al-Quran sebesar ibu jarinya dan dipercayai terkecil di dunia.
Naskhah tersebut juga empat ganda lebih kecil daripada naskhah al-Quran sebesar kotak mancis bernilai AS$9.6 juta yang ingin dijual oleh sekumpulan peniaga dari Australia kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah beberapa tahun lalu.
Peniaga-peniaga dari Australia itu pernah mencetuskan kontroversi apabila menyaman Sultan Brunei kerana tidak mahu membeli naskhah al-Quran milik mereka.
''Yang menariknya al-Quran berasal dari Mekah ini ditulis dengan tulisan emas dan lengkap kandungan juzuknya," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Syukri menambah, al-Quran berusia lebih kurang 200 tahun itu dimiliki arwah datuknya hasil pemberian seorang lelaki berketurunan Arab ketika menunaikan fardu haji di Mekah pada tahun 1960-an.
Beliau berkata, datuknya kemudian menyerahkan naskhah al-Quran tersebut kepada bapanya sebelum meninggal dunia pada 1994.
''Enam tahun lalu, ia jatuh ke tangan saya. Rasa bertuah kerana dapat mewarisi al-Quran ini yang mungkin terkecil di dunia," kata beliau yang merupakan juruteknik sebuah kilang di sini.
Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu berkata, beliau pernah melihat naskhah al-Quran yang sama pada satu pameran di Bukit Jalil di sini lima tahun lalu tetapi ia lebih besar daripada yang dimilikinya.
''Sejak memiliki naskhah al-Quran ini, saya tidak pernah menceritakan kepada umum apatah lagi dipinjamkan untuk tujuan pameran,' ujarnya.
Bagaimanapun beliau bersedia untuk meminjamkan naskhah tersebut kepada pihak-pihak tertentu yang mahu membuat pameran dengan menghubunginya melalui 019-6630605.
View technorati.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment