Assalamu’alaikum wa rahmatullah..
Artikel surat pembaca Berita Harian ditulis pada 24 Disember 2006. Berikut adalah tulisan yang telah diubahsuai dari tulisan asal dan dipaparkan dalam akhbar.
Isu yang sering menghantui umat Islam kini adalah soal halal haram yang memerlukan perhatian serius semua pihak. Dengan Islam sebagai agama rasmi negara, sensitiviti umat Islam perlu diambil kira dalam hal yang serius ini.
Baru-baru ini akhbar melaporkan beberapa kes produk tidak halal bagi kegunaan semua golongan rakyat termasuk kes sebuah kilang menyembelih ayamtidak mengikut cara Islam dan isu ikan patin diberi makan usus babi dan lain-lain.
Adalah aneh umat Islam di negara ini terpaksa berhempas-pulas mendapatkan barangan yang diyakini halal sepenuhnya seperti makanan, bahan kegunaan harian dan lain-lain.
Semua pihak, terutama kerajaan perlu memandang serius aspek ini kerana ia menguji kesabaran dan kewibawaan umat Islam. Malah, kita juga perlu menjadi model kepada negara Islam lain membangun, apatah lagi Malaysia ingin menjadi hub makanan halal di rantau ini.
Dengan pendekatan Islam hadhari yang mantap ketika ini, kerajaan perlu memastikan isu pokok umat Islam seperti halal haram ini tidak lagi menjadi satu masalah besar.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu lebih telus dalam memastikan kemasukan dan pengedaran semua produk sudah disaring dan melalui pemeriksaan ketat kerana mereka adalah badan berkuasa dalam mengesahkan halal atau haram produk yang berada di pasaran.
Pengguna juga perlu lebih bijak dan berhati-hati ketika membeli belah barang dengan memastikan halal haram seuatu produk itu serta tidak mengambil mudah perkara ini.
Pertubuhan Islam seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Angkatan belia Islam Malaysia dan lain-lain juga perlu memainkan peranan dengan memberikan idea dan alternatif kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah ini selain membangunkan negara kita mencapai wawasan 2020. Apabila semua bersatu, penyelesaian terbaik mampu kita peroleh dalam menjaga maruah diri dan agama tercinta.
View technorati.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment