Kempen MAS: AirAsia mula ‘tertekan’

KUALA LUMPUR 14 Mei – AirAsia Bhd., syarikat penerbangan tambang murah terbaik di rantau ini, hari ini mengakui ia tergugat dengan tindakan agresif Malaysian Airline System Bhd. (MAS) mempromosikan kempen ‘Tambang Murah Setiap Hari’.Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes berkata, walaupun persaingan tersebut baik untuk para pelanggan, tetapi tindakan MAS itu dilihat sebagai ‘menceroboh’ pasarannya.

Dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia di sini, beliau menyifatkan tindakan MAS itu sebagai ‘menikam’ AirAsia secara terang-terangan kerana AirAsia tidak diberi peluang dan keistimewaan seperti mana yang diperoleh oleh syarikat penerbangan kebangsaan itu.Selain menerima subsidi daripada kerajaan, Fernandes mendakwa MAS turut diberi hak dalam menentukan harga tambang, pilihan destinasi dan kekerapan penerbangan.

Pada 5 Mei lalu, MAS telah menawarkan sejuta tiket percuma ke semua destinasi domestik menerusi produk terbarunya ‘Tambang Murah Setiap Hari’.Pengarah Urusannya, Datuk Seri Idris Jala berkata, MAS memperuntukkan secara percuma sehingga 30 peratus tempat duduk dalam setiap penerbangan bagi membolehkan pelanggan menikmati perkhidmatan lima bintang MAS pada tambang sifar.Bagaimanapun, tambang percuma itu tidak termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj.Menurut Fernandes, promosi MAS itu adalah sesuatu yang tidak adil.

Katanya, industri penerbangan di Malaysia tidak seperti di China, Thailand mahupun Indonesia yang memberi keadilan saksama kepada semua syarikat penerbangan sama ada milik kerajaan dan syarikat penerbangan murah.“China Airlines dan Eva Airways, Thai Airlines dan Thai AirAsia serta Garuda Indonesia dan Indonesia AirAsia diberikan laluan yang sama dan tidak ada masalah dalam persaingan.“Kalau negara-negara itu boleh memberikan layanan yang sama, kenapa (di Malaysia) Air- Asia tidak boleh?’’ katanya.

Fernandes berkata, AirAsia tidak gentar dalam menghadapi perang harga dengan MAS, tetapi syarikat itu mengharapkan ia berlaku secara saksama.“Kami tidak menentang persaingan kerana ia baik untuk (membolehkan AirAsia) menjadi peneraju dalam perniagaan ini.“Tetapi kalau betul-betul hendak bersaing, kerajaan tidak patut mengikat sebelah ‘tangan’ kami,” katanya.Beliau menegaskan: “Kami akan terus berjuang untuk meneruskan kelangsungan nyawa AirAsia termasuk untuk kepentingan 5,000 kakitangannya.’’

Ditanya sejauh mana kesan kempen promosi MAS terhadap AirAsia, beliau berkata: “Sekarang belum lagi (nampak kesan) tetapi lambat-laun akan terasa juga.’’Fernandes memberitahu, setakat ini jualan bagi tiket-tiket penerbangan AirAsia meningkat sebanyak 20 peratus.Beliau menjelaskan, AirAsia tidak meminta keadilan yang keterlaluan kecuali lebih banyak laluan ke Singapura yang merupakan destinasi popular dan paling menguntungkan syarikat tersebut.

AirAsia ditubuhkan pada tahun 2001 dan kini memiliki lebih daripada 100 destinasi di dalam dan luar negara.Setakat ini, AirAsia hanya diberi kebenaran untuk membuat penerbangan 14 kali seminggu ke Singapura, manakala MAS pula 69 kali.Syarikat itu juga mahu ia diberikan laluan menarik iaitu Singapura-Kuala Lumpur, Singapura-Kota Kinabalu, Singapura-Langkawi, Singapura-Pulau Pinang.

Dalam temu bual itu, Fernandes juga mempersoalkan mengapa MAS berminat memasuki pasaran AirAsia sedangkan ia boleh mengaut keuntungan daripada laluan-laluan sedia ada yang tidak diperoleh oleh syarikat tambang murah itu.“Kalau MAS dibenarkan menawarkan kempen tambang murah, mengapa AirAsia tidak dibenarkan mendapat penerbangan lebih ke Singapura?“Kami tidak minta banyak, hanya separuh daripada apa yang MAS dapat dan kami akan berjuang untuk mendapat laluan ini seperti yang kami lakukan enam tahun lalu untuk mendapat laluan Singapura,’’ tegas beliau.

Diminta mengulas kempen MAS yang turut menawarkan tambang murah bagi laluan ke destinasi-destinasi ASEAN dan sebahagian laluan ke China, Fernandes berkata: “Semoga MAS berjaya.’’

1 comment:

Anonymous said...

Selama ini kerajaan terlalu memberi muka kepada AIRASIA sehingga MAS kerugian. Malah ada yang mengatakan Airasia tahu berniaga dan MAS tak tahu berniaga. Sepatutnya kerajaan harus mementingkan syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan berbanding dengan syarikat perseorangan kerana keuntungan kerajaan bermakna keuntungan rakyat. Tetapi keuntungan Airasia adalah keuntungan Datuk Tony Fernandez semata-mata.