KUALA LUMPUR 12 Mei – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (gambar) menegaskan, walaupun 2,000 laporan polis dibuat terhadapnya, beliau akan terus berpegang kepada kenyataan bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Ketika membahaskan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Karpal mendakwa laporan-laporan polis terhadapnya yang kini mencecah 20 kes didalangi oleh UMNO.“Saya tidak lakukan perbuatan melanggar undang-undang, tetapi ada 20 laporan polis mengenai isu Sultan Perak. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengarahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membuat laporan polis.
“Apa kredibiliti Ahli Parlimen Putrajaya (Tengku Adnan) untuk buat laporan polis terhadap saya?” katanya.Tindakan Karpal yang menyentuh mengenai peribadi ahli Dewan Rakyat yang lain ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ronald Kiandee di bawah Peraturan Mesyuarat 36(9).Ahli Parlimen veteran itu bagaimanapun mendakwa isu tersebut penting disebut kerana terdapat 20 laporan polis dibuat terhadapnya yang merupakan satu sejarah di Malaysia.
“Saya tidak mempersoalkan atau mencabar kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di Perak tetapi baginda tidak ada kuasa dalam hal untuk menarik balik pertukaran seseorang pegawai kerajaan,” katanya.Karpal mempertikaikan mengapa beliau dituduh derhaka oleh sesetengah pihak sedangkan para pemimpin UMNO pada tahun 1993 membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan mewujudkan mahkamah khas dan menjadikan sultan sama taraf dengan rakyat.
Tindakan Karpal yang menyentuh sifat dan peribadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam perbahasannya menyebabkan Razali Ibrahim (BN-Muar) bangun mencelah menggunakan Peraturan Mesyuarat 36, 37 dan 38.Menurut Razali, isu yang dibangkitkan oleh Karpal itu perlu dihentikan memandangkan jika seseorang ahli Dewan Rakyat hendak membahaskan mengenai Raja- Raja Melayu ia perlu dibuat melalui satu usul khas.
Bantahan Razali itu dipersetujui oleh Ronald yang mengarahkan Karpal agar tidak membangkitkan isu Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja Melayu kerana ia bercanggah dengan peraturan Parlimen.Namun, Karpal tidak mengendahkannya dan terus memperkatakan perkara itu sehingga Razali terpaksa bangun sekali lagi menggunakan peraturan mesyuarat yang sama.
Akhirnya Karpal akur dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.Bagaimanapun, dalam ucapannya selepas itu beliau menyentuh pula mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu dan Perlis yang ditentang oleh UMNO tetapi tiada tindakan untuk menuduh para pemimpin UMNO derhaka terhadap Raja-Raja Melayu.“Mengapa ada double standard, mengapa saya menjadi mangsa?'' tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membuat keputusan yang adil dan tidak dipengaruhi oleh Perdana Menteri dalam menentukan bentuk tindakan susulan kepada laporan-laporan polis yang dibuat terhadapnya.Razali, yang merupakan seorang peguam, kemudian bangun menjelaskan mengenai Perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Raja-Raja Melayu ialah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
Beliau bertanya: “Jika Raja-Raja Melayu tidak boleh membuat keputusan (mengenai kedudukan pegawai jabatan agama Islam) bagaimana (baginda) hendak menjalankan fungsi tersebut?”Bagaimanapun, dalam jawapannya, Karpal bertegas mengatakan Jamry ialah pegawai kerajaan dan Sultan Perak tidak ada hak untuk mengarahkan pertukaran Jamry dimansuhkan.Razali sekali lagi bangun untuk bertanya siapa yang akan menjalankan tugas Jabatan Agama Islam Perak kalau Sultan Perak tidak ada kuasa.
Karpal tidak menjawab soalan itu, sebaliknya mengulangi kenyataannya: “Gaji Jamry bukan dibayar oleh JAIP tetapi oleh kerajaan, jadi dia ialah pegawai kerajaan.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment