Gara-gara wanita: 100 pelajar, penduduk bergaduh di Mantin

SEREMBAN 29 Mei - Hampir 100 pelajar sebuah kolej swasta dan penduduk sekitar kolej berkenaan di Mantin bergaduh dalam kejadian yang berpunca daripada rasa tidak puas hati berikutan hubungan pelajar Afrika dengan wanita Melayu di situ.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 malam tadi itu berjaya dileraikan kira-kira 2.30 pagi ini.Menurutnya, insiden itu dianggap sebagai rusuhan dan mengganggu ketenteraman awam.'

'Kejadian ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan melibatkan rusuhan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.Menurut Osman, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati beberapa pelajar Melayu dan penduduk sekitar kolej di situ berikutan hubungan antara seorang pelajar Afrika dengan wanita Melayu.''Berikutan itu, lelaki Afrika itu telah diserang sekumpulan 20 hingga 30 lelaki Melayu dan dua lagi rakan negara Afrika turut mengalami kecederaan.

''Seorang daripadanya dilaporkan parah selepas patah bahagian tangan, manakala dua lagi pelajar berkenaan dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja'afar," kata beliau.Kata Osman, polis masih menyiasat kejadian rusuhan itu dan pihak pengurusan kolej sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut malam tadi.''Buat masa ini, polis tidak membuat sebarang tangkapan dan kita sedang menyiasat. Semasa kejadian ini berlaku, beberapa kereta mengalami kerosakan dan sebuah pondok pengawal di hadapan kediaman pelajar dari Afrika itu turut dirobohkan," kata beliau.

Osman memberitahu, dalam kejadian itu kedua-dua pihak bersenjatakan kayu.Beliau berkata, walaupun keadaan sudah tenteram tetapi pasukan polis akan mengawal dan memantau perkembangan termasuk untuk mengesan dalang yang mencetuskan rusuhan tersebut.

Dalam kejadian malam tadi, hampir 50 pelajar Afrika berkumpul di hadapan flat kediaman mereka di sebuah taman perumahan di Mantin sambil memegang beberapa batang kayu besbol dan besi.Mereka menjerit menyatakan rasa tidak puas hati apabila rakan-rakan mereka dibelasah sekumpulan lelaki Melayu.Keadaan bertambah tegang kira-kira pukul 12.30 tengah malam apabila mereka enggan berganjak walaupun pihak polis dan pengurusan kolej cuba menenangkan mereka, sebaliknya ada yang cuba bertindak agresif.

Suasana di luar kawasan kediaman yang berpagar itu pula menyaksikan, sekumpulan lelaki dan penduduk berhampiran berdiri di bahagian kanan jalan dan turut membawa kayu besbol yang diletakkan di semak dan dalam kereta mereka.

Sepasukan polis yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supritendan Azmi Abu Kassim telah mengadakan rundingan bersama wakil pelajar Afrika dan pihak pengurusan kolej berjaya meleraikan keadaan kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

No comments: