PETALING JAYA: Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata, kerajaan Selangor yang diketuai pembangkang, tidak harus mengharamkan program berkonsepkan Islam Hadhari. Menurut beliau, tindakan tersebut boleh menyebabkan umat Islam di Malaysia keliru dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2005.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, konsep Islam Hadhari tidak diperlukan di negeri itu memandangkan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini lengkap dan menyeluruh dari segala aspek kehidupan.
Ekoran arahan itu, katanya, semua masjid dan surau di negeri itu tidak dibenarkan menyentuh soal Islam Hadhari dalam khutbah sembahyang Jumaat. "Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan. "Apa yang saya faham setelah berbincang dengan Perdana Menteri dahulu, Islam Hadhari menepati tujuan Islam yang ingin mengangkat 65 perkara. "Antara yang wajib adalah memperkasakan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta. Namun, ulama telah menambah untuk memperkasakan akhlak juga. "Islam Hadhari boleh diambil sebagai sifat kemajuan Islam. Saya rasa tak salah kita gunakan konsep tersebut untuk memajukan Islam," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.
Tambah Harussani, mereka perlu mengkaji keseluruhan konsep Islam Hadhari terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya satu lagi perpecahan di kalangan rakyat. Ditanya sama ada Perak akan mengikut jejak Selangor mengharamkan Islam Hadhari, kata Harussani: "Kita tak kata apa-apa..." Selain Selangor, ikatan pembangkang iaitu Pakatan Rakyat juga mengetuai kerajaan negeri Perak sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment