Mampat buat laporan polis

KUALA TERENGGANU 22 Mei - Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) membuat laporan polis berhubung dakwaan mereka tentang kehilangan wang royalti petroleum Terengganu di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Terengganu di sini hari ini.Laporan tersebut dibuat oleh Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah kira-kira pukul 11 pagi ini.

Dalam laporan polis itu, Mohamad Fauzi merujuk laporan akhbar yang memetik kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau tidak mengetahui jumlah sebenar wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri.Idris hanya menyatakan bahawa wang yang diterima oleh Terengganu ketika itu hanya berjumlah RM1.3 bilion setahun.

Bagaimanapun, menurut Mohamad Fauzi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham Aziz mendedahkan pada Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, bahawa jumlah itu adalah RM7.3 bilion.Beliau yang turut memetik laporan akhbar mengenai kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bahawa Terengganu hanya menerima RM4.3 bilion daripada jumlah RM7.3 bilion itu dan tidak tahu di mana baki RM3 bilion dibelanjakan.

Sebagai rakyat Terengganu, beliau mahu perkara itu disiasat dan diambil tindakan.Menurutnya, jika perkara itu tidak disiasat dan diambil tindakan, beliau bimbang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan akan berterusan dan ini akan mengakibatkan negara rugi.

Katanya, ia juga akan menyebabkan negara tidak lagi dipercayai oleh pelabur kerana pengurusan kewangan yang tidak diaudit.

No comments: