Bunuh jiran kerana RM50

KUALA LUMPUR: Hanya kerana hasrat meminjam wang RM50 tidak tercapai, sepasang suami isteri dipercayai bertindak ‘mengambil nyawa’ seorang suri rumah di Kampung Tasik Permai, Ampang di sini, baru-baru ini.Bagi menutup jenayah mereka, pasangan terbabit sanggup ‘bersandiwara’ dengan meratapi kematian mangsa sebaik mayatnya ditemui.

Wanita dikenali sebagai K Kayavili, 28, ditemui mati dengan kesan kelar di leher manakala kedua-dua tangannya diikat.Siasatan polis mendapati pasangan suami isteri terbabit ke rumah mangsa untuk meminjam wang dipercayai kerana kesempitan hidup selepas mereka tidak bekerja.Mangsa bagaimanapun gagal memberi pinjam wang kepada suspek berikutan ketiadaan wang.Pasangan suami isteri terbabit dikenal pasti orang terakhir dilihat bersama Kayavili sebelum mangsa ditemui mati.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata polis yang melakukan siasatan mengenai kejadian itu menahan pasangan suami isteri terbabit dua hari selepas kejadian.“Polis mendapati pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu orang terakhir yang dilihat bersama mangsa.“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya kes pembunuhan itu dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Harian Metro difahamkan, pasangan suami isteri itu mempunyai tali persaudaraan dengan mangsa dan mempunyai dua anak.Abdul Jalil berkata, pasangan suami isteri itu ditahan di sekitar kediaman mangsa selepas polis mendapat maklumat daripada orang ramai.

Dalam kejadian pada 19 April lalu, wanita berkenaan mati akibat dikelar di leher manakala kedua-dua tangannya diikat.

No comments: