terus berbau busuklah penduduk di sini...kerajaan mereka takkan ambik tindakan, mereka cuma ambik duit..
Perjuangan penduduk berjaya
Oleh
MUHAMMAD DAYNE AZMIN
SELAYANG 7 Mei - Perjuangan penduduk Taman Pinggiran Batu Caves dan kawasan sekitarnya selama dua tahun supaya tapak pelupusan sampah haram berhampiran rumah mereka ditutup, akhirnya menemui kejayaan.
Tidak sampai seminggu selepas mereka mengadakan tunjuk perasaan, kerajaan negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertindak membersihkan serta menutup tapak pelupusan sampah haram itu hari ini.Dalam operasi hari ini, sebanyak 15 buah rumah setinggan pekerja di tapak sampah itu telah dirobohkan dan empat jentera pengangkut milik syarikat pengurusan sampah itu telah dirampas oleh pihak MPS.
Selain itu, 15 buah tong sampah besar yang dipercayai milik pengusaha tapak sampah haram itu turut dirampas oleh MPS. Ketua Penyelaras Operasi, Dr. Razif Zainol Abidin berkata, sebanyak tiga laluan ke tapak pelupusan itu akan dibina dengan penghadang kekal agar tiada kenderaan boleh keluar atau masuk. "Operasi pemantauan 24 jam dari penguat kuasa MPS juga telah dimulakan sehingga segala usaha pemuliharaan tanah di sini selesai,'' katanya. Beliau yang juga Pengarah Bahagian Kesihatan dan Pelesenan MPS berkata, tanah tersebut juga akan dirampas dari pemiliknya mengikut Akta Tanah kerana telah mencemarkan alam sekitar.
"Notis dari Pejabat Tanah Daerah Gombak telah diberi berulang kali kepada pemilik tanah terbabit namun sehingga ke hari ini, tiada sebarang usaha pemuliharaan dibuat,'' katanya. Dalam operasi itu, sebanyak 50 anggota penguat kuasa MPS terlibat bersama-sama petugas dari beberapa jabatan di MPS, Ibu Pejabat Daerah Polis Daerah Gombak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari memberitahu, satu mesyuarat dengan Pejabat Tanah Daerah Gombak akan dilakukan bagi membincangkan usaha pemuliharaan tanah di situ.
"Tanah di sini asalnya mempunyai sebuah tasik tetapi telah tercemar begitu teruk manakala aktiviti penarahan bukit tanpa kelulusan telah mengakibatkan hakisan yang teruk,'' katanya. Beliau mengakui masalah penduduk itu telah disuarakan kepadanya semenjak beliau memenangi kerusi itu pada Mac lalu. "Alhamdulilah, semuanya hampir selesai kerana MPS serta agensi-agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak polis telah memberi kerjasama yang baik dalam menyelesaikan masalah penduduk di sini,'' katanya.
Wakil penduduk Taman Pinggiran Batu Caves, Mohd. Sufian Mohd. Noor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu kerana membantu penduduk. Lebih membanggakan, katanya, Ronnie menepati janjinya untuk menyelesaikan masalah terbabit dalam tempoh seminggu. "Sudah pelbagai usaha kami lakukan selama dua tahun ini dan akhirnya pada hari ini segala perjuangan penduduk berbaloi,'' katanya.
Tambahnya, sudah dua tahun penduduk hidup menderita kerana terpaksa berdepan dengan bau busuk dan kehadiran lalat yang banyak di persekitaran rumah. Sementara itu, pemerhatian Utusan Malaysia di lokasi mendapati satu pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada dalam keadaan bahaya ekoran aktiviti penarahan yang serius.
Risiko pencawang elektrik runtuh tidak mustahil boleh berlaku sekiranya tiada sebarang usaha pembaikan dijalankan dengan segera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment