APALAH nak jadi dengan si pengacara mulut laser, Azwan Ali. Tak habis-habis nak cetuskan kontroversi. Dulu, bertelagah dengan Fauziah Datuk Ahmad Daud, pernah juga bermasam muka dengan Chef Wan dan tup tup bergaduh pula dengan dua rakan baiknya, Sheila Rusly dan Roslan Shah. Tak habis lagi kekecohan itu, ada pula wartawan yang dianggap durjana.
Terbaru, heboh pula Azwan bergaduh dengan rakan baiknya juga, Ifa Radziah. Pening kepala Raja memikirkan perihal Azwan ini. Raja bukanlah mahu menjatuhkan air muka Azwan, Raja sudah lama kenal Azwan tetapi perkara salah tetap salah, sampai bila nak berterusan seperti ini. Usia sudah makin meningkat, masa majlis hari jadinya tempoh hari Azwan beriya-iya beritahu nak berubah dan tak mahu mencetuskan kontroversi, tapi apa sudah jadi?
Raja terkejut juga apabila menerima panggilan daripada Ifa memberitahu dirinya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Azwan. Setahu Raja, Ifa adalah rakan artis yang paling rapat dengan Azwan sekarang. Dan Ifa jugalah yang banyak mempertahankan Azwan dengan mengatakannya sudah banyak berubah. Hakikatnya, Azwan tidak pernah berubah. Adatlah berkawan, berselisih faham adalah perkara biasa, tapi kalau sudah mahu 'putus kawan' mesti ada sesuatu yang tidak boleh dimaafkan lagi.
Ifa beritahu Raja, sebelum malam kemuncak ABPBH 2007, Azwan menghubunginya dan mengajaknya bersiap di biliknya sebelum ke acara red carpet. Sebelum ini pun, Azwan beriya-iya mengajak menemaninya duduk di sebelah pada malam kemuncak itu. Kalau ikutkan dirinya lebih selesa bersiap di rumah dan terus ke majlis anugerah, tak perlu menumpang bilik sesiapa untuk bersiap. "Sampai saja di Genting Highlands, saya hubungi pembantu peribadinya, Kelly dan memintanya mengambil saya di lobi hotel.
Bagaimanapun, lain jadinya apabila saya lihat Azwan bersama Kelly dan jurusoleknya, Amy Ratu bergegas ke majlis Lord's Tailor. Dia hanya melambai tangan pada saya, jadi saya pelik, apa sudah jadi? "Saya tunggu lagi dan dalam beberapa minit Kelly menghubungi saya memberitahu Azwan tak benarkan saya menumpang di biliknya, bimbang barangan berharga dalam bilik hilang. Aduh, terkedu saya seketika.
Hingga tahap itu Azwan sanggup meragui saya sedangkan kami memang rapat. Pernahkah sebelum ini saya mencuri barang-barangnya? "Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa, masa pula semakin suntuk, saya minta suami saya, Yani menempah bilik. Bagaimanapun, kami terpaksa beratur panjang dan perlu tunggu hingga 200 penempah bilik. Mana nak sempat lagi. Adalah beberapa artis yang baik hati menawarkan bilik mereka, tetapi saya menolak. "Nak jadikan cerita dan kuasa Tuhan nak tolong saya adalah seorang peminat yang beriya-iya mengambil gambar bersama saya.
Peminat itu, Nurul Husna dan suami hairan kenapa saya tidak bersiap lagi sedangkan masa sudah suntuk. Saya beritahu suami saya sedang beratur menunggu bilik. "Nurul mempelawa saya bersiap dalam biliknya, dalam nak dan tidak, saya terpaksalah terima sebab tiada masa lagi. Saya terkejut apabila dia membawa saya ke bilik suitenya. Dia meninggalkan saya dan suami di bilik berdua dan turun membeli-belah, sedangkan biliknya penuh barang-barang. Saya sedih orang lain boleh percaya pada saya, sedangkan kawan rapat sendiri meragui kejujuran saya," katanya.
Ifa berkata, apa salah dan silapnya? Hingga bertemu di majlis ABPBH pun Azwan tak pandang dan menegurnya seolah-olah dia melakukan kesalahan besar. Semasa menemubualnya ketika menjadi hos laman web Gua.Com pun, air muka Azwan berubah tidak menyenangi kehadirannya. "Saya lupakan episod hitam itu, saya tak nak fikir lagi. Biarlah orang buat saya. Ketika sedang menari dalam 'post party' ABPBH07, suami saya diberitahu pembantu peribadi Azwan, Kelly sakit di bilik sendirian dan minta kami membantunya. "Suami saya bergegas ke bilik dan bawa Kelly klinik berdekatan. Saya pelik mana Azwan ketika itu. Hingga pihak pengurusan hotel berkali-kali menghubunginya tetapi tidak berjawab. Jurusolek yang bersamanya juga diberitahu tetapi sampai sudah batang hidung mereka tak nampak," katanya.
Kata Ifa, dia dan suami yang bersusah payah membantu Kelly hingga bil klinik pun mereka yang jelaskan. Sakit Kelly makin teruk hingga terpaksa merujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Hingga Kelly dibawa menaiki ambulans, Azwan langsung tak ambil peduli kebajikan kakitangannya. Ifa beritahu Raja, dia terkejut apabila Azwan menghubunginya keesokan hari dengan tanpa rasa bersalah. "Paling membuatkan saya tidak boleh terima, Azwan beritahu saya tak melakukan apa-apa salah, cuma pada malam itu, 'aku feeling diva'. Fahamlah, saya bukan diva dan popular, jadi saya tak layak bersama Top 5 ABPBH 2007 sepertinya. Saya tak kisah pun, saya sedar diri saya.
Bila saya tanya kenapa biarkan Kelly sakit, alasannya sibuk dan penat," katanya.
Sumber:Berita Harian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment