LELAKI yang memusnahkan kehidupan Alicia tidak mampu melakukannya tanpa kesediaan ratusan lelaki lain yang sanggup melakukan pembayaran untuk memperoleh perkhidmatannya.

Alicia dibesarkan di Uganda di mana dia dikasari oleh anggota polis dan dipenjarakan kerana latar belakang dirinya yang berasal daripada etnik Rwanda.

Nekad untuk keluar dari negara tersebut, dia kemudian bertemu dengan seorang lelaki yang menawarkan untuk membawanya ke London dengan bayaran 1,000 pound (RM6,252).

Lelaki itu kelihatan seorang yang boleh dipercayai dan berjanji untuk menyediakan dokumen untuk Alicia.

Dia mampu memperoleh kerja dengan mudah sebagai seorang penyambut tetamu dan boleh membayar balik wang itu, kata lelaki berkenaan.

Apabila mereka tiba di Britain, lelaki itu membawanya ke sebuah pangsapuri di selatan London dan mengurungnya.

Alicia tidak mempunyai sebarang kenalan lain.

"Lelaki itu mengunci rumah dan kemudian pergi. Saya bertanya kepada diri saya, jika anda pergi, ke manakah destinasi anda?,' soal Alicia.

"Ini merupakan sebuah negara yang besar. Dan satu-satunya orang yang saya kenali adalah lelaki itu," katanya dalam satu temu ramah.

Dia ditemu ramah di Yayasan Helen Bamber yang merupakan pertubuhan untuk membantu mangsa pencabulan hak asasi manusia di tengah London.

"Pada hari keempat, dia datang dan menuntut perkhidmatan seks daripada saya.

"Apabila saya menolaknya, dia memaksa saya dan merogol saya.

"Dua minggu kemudian, dia mula membawa seorang rakan wanita," tambahnya.

Pada mulanya saya berpendapat mereka adalah rakannya.

"Saya kemudian mula menyedari bahawa mereka berada di sebuah bilik lain dan terdapat jeritan mengenai wang dan saya mengetahui mereka bukan hanya rakan," jelasnya.

Enam atau lapan lelaki melakukan hubungan seks dengannya ketika lelaki tersebut mengumpulkan wang di sebuah bilik lain.

"Jika anda melawan, anda bakal mendapat kesusahan kerana mereka adalah kasar," kata Alicia.

Seorang lelaki yang menjadi penyeludup manusia memberitahunya supaya jangan bercakap mengenai pengalaman pahit yang dialaminya.

Salah seorang pelanggan kemudian memberi kad bisnes kepadanya sebagai satu tawaran untuk membantu dirinya tetapi Alicia terlalu takut untuk mengambil kad tersebut.

Bagaimanapun, lelaki penyeludup manusia itu mula membawanya ke sebuah kelab malam di mana dia mendapat pekerjaan.

Lelaki itu mengambil upah yang diperoleh Alicia dan membawanya pulang pada setiap malam ke pangsapuri berkenaan.

Alicia kemudian memujuk seorang pelanggan di kelab malam itu untuk membantunya melarikan diri.

Pelanggan itu bertemu dengannya di luar kelab malam dan membawanya ke apartmennya.

Alicia menganggap dirinya sudah selamat tetapi lelaki penyeludup manusia itu berjaya menjejakinya dan membawa balik ke pangsapurinya.

"Sejurus tiba di pangsapuri itu, dia memukul saya. Saya berpendapat ia merupakan kejadian yang paling buruk, menendang dan memukul seperti anda merupakan sebahagian daripada perabot," katanya.

Selepas 11 bulan, dengan memberi penjelasan ringkas, lelaki itu memberikannya satu pasport Perancis palsu dan membebaskannya.

Alicia kemudian ditangkap oleh polis dan dipenjarakan kerana memiliki dokumen palsu.
Dia juga dijangkiti virus HIV dan cuba untuk membunuh diri tetapi kini dia berikrar untuk meneruskan kehidupan.

"Kini, saya berpendapat adalah sesuatu yang berharga untuk terus hidup," katanya. - Reuters
sumber:kosmo

No comments: