Artist/industri Hiburan, memperlekehkah agama?

www.mstar.com.my

Kakak Tua: Awal dibuat, akhir diingat!

09-04-2008 11:50:41 AM

RASA termengkelan di hati dan bertambah keliru bila ramai orang seolah membiarkan saja kekeliruan tentang hukum agama berlaku.Kalau sudah keliru satu hal, dibuat pula interpretasi sendiri tentang hukum hakam, yang mana begitu jelas sekali definisinya, dari aspek betul atau salah.Setakat menjatuhkan bibir atas dan bawah memang mudah. Jangan pandai cakap saja kalau tidak diiringi dengan perbuatan kerana perlakuan itu tidak ubah seperti haiwan yang pandai berkata-kata.Ramai orang tahu kedudukan kaum khunsa, pondan dan Mak Nyah dalam Islam.

Seperti rekod rosak, apabila sering diingatkan jangan kita ikut jejak umat Nabi Luth kerana Allah melaknati kaum itu dan Nabi Muhammad SAW juga tidak mengaku umat.Namun, semakin ditasak ke telinga, semakin menjadi-jadi dan membiak kaum songsang ini di dalam industri kita.Begitu ketara sekali pertumbuhan umat ini terutama di dalam industri hiburan secara sedar atau tidak.

Tapi kita hanya membiarkan saja kemungkaran demi kemungkaran berlaku di depan mata kerana kita lemah dan tidak kisah.Biarpun, yang sesat dan mungkar itu orang Melayu dan artis Melayu. Malah bagaikan satu kebanggaan pula bila berada dalam kelompok 'ekslusif' begini. Ramai yang tahu ke ujudan kelab 'gay' tapi tidak perlulah jaga tepi kain orang, katanya. Nafsu nafsi. Nau'uzubillah.Ketika orang berseloroh menggunakan dialog 'Anak siapalah ni?' - Kakak Tua tidak rasa lucunya cuma akui kesan dialognya yang agak dalam kerana sesuai sangat ditujukan pada mereka yang tersesat jalan ini.Mana tidaknya, anak siapakah yang berani menodai agama sendiri dan membelakangkan hukum Islam.

Berapa kerat yang berhati walang mendengar cakap-cakap lepas kaum 'lembut' tentang agama?Baik program Melodi yang hangat dengan gosip murahan dalam kain dan fitnah sampai kepada bual bicara AC Di Sini ke program realiti Akademi Fantasia, 'juadah' tersaji ini adalah santapan enak untuk wartawan tapi jarang yang jadikannya modal.Mungkin juga takut dipulau nanti!

Jadi, bila pelawak Dee mempertahankan cara pakaian wanitanya betul dan berani pula memberi dalil...'Kalau tuhan marah, tentu tuhan telah melaknat saya' - berdesing telinga Kakak Tua.Tergamakkah kita mengheret Tuhan ke satu kancah yang kita sendiri cipta? Inilah yang Kakak Tua panggil defensive coping.Terang-terang dah bersalah, diam sajalah.Sudahlah pakai baju perempuan, peradapan dan kondisi menyerupai perempuan, jelas sekali salah dan berdosa. Kalau masih hendak pakai juga, sendiri tanggunglah. Jangan bagi dalil bodoh yang tidak masuk akal.

Hairan juga ya, bila 'udang tidak tahu di bongkoknya.' Mungkin iramanya tidak sama tapi genrenya tidak jauh beza, bila di luar sana genius Matematik Sufiah Yusof mengaku tidak menyesal memilih bidang pelacuran sebagai profesionnya.Kalau Sufiah sanggup meletakkan keadaannya seperti 'Sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum', siapalah kita untuk melarangnya?Bak kata orang, 'Awal dibuat, akhir diingat' dan begitulah 'bernas'nya fikiran mereka yang telah Tuhan sempitkan akalnya dan menzahirkan sesuatu dari dalam hati. Rasa pedih cuping telinga bila agama dipersendakan.

Spesies begini berada di mana-mana. Ibarat 'Ular bukan, ikan pun bukan', jadi kita sendiri susah hendak mengkategorikan mereka. Mungkin juga sekerat ular, sekerat belut. Bukan sahaja mereka keliru tetapi mereka mengelirukan orang ramai. Yang pasti apa yang telah diucapkan cukup 'menghiris' hati kita sebagai orang Islam.

Benarlah kata arwah ayah, 'Kalau jenis tebu, takkan pahit rasanya.'Lantas ingatan Kakak Tua terus pada filem Isi Neraka, tahun 1962 di mana hero watak jahat Almarhum Salleh Kamil berlakon sebagai Wira mengerang kesakitan ditelan bumi! Kalau tidak silap, dialog yang diucapkan setelah dia terajang ibunya yang sedang sembahyang ialah "Siapa Tuhan?"Kebencian yang dicetuskan setelah filem ini disiarkan cukup hebat. Dan arwah Salleh Kamil juga khabarnya berasakan derita dan penyakit angin ahmar yang dihadapinya merupakan bala yang didatangkan oleh Allah SWT selepas mengutarakan dialog 'mungkar' itu dalam filem Isi Neraka tersebut.Namun arwah bersyukur kerana diberi kesempatan bertaubat.

Kalau orang Melayu megah buat kesimpulan sendiri tentang hukum agama seperti tidak salah bersentuhan dengan bukan muhrim kalau sedang berlakon, misalnya. Lain pula halnya dengan beberapa personaliti bukan Melayu yang tiba-tiba mendapat 'hidayah' dan seolah-olah mentarbiyahkan diri mereka berjinak-jinak dengan dunia Islam.

'Sejuk hati' bila penerbit filem Baldev Singh beriya-iya mempertahankan moraliti filem 'Akhirat' yang didakwanya dapat menginsafkan umat Islam walaupun banyak terselit nahu lucah di dalamnya, Datuk Seri Samy Velu pula bercakap soal ikhlas dan penerbit filem jutawan David Teo pula berkata pasal niat, nawaitu dan konsep 'halal'. Begitu juga Hans yang tak lekang dengan 'Insya Allah' di bibirnya...Gambaran di atas tidak ubah seperti zaman jahiliyah sedang berulang di mana semua orang bebas melakukan dan melahirkan apa saja sesuka hati. Tidak ada sekatan dan larangan.

Maka diturunkan Al-Quran dan Nabi SAW kita.Itu dulu tapi sekarang setelah ada Al-Quran sebagai pedoman, ada lagi orang Islam yang masih 'sesat.'.Orang yang dilahirkan Islam memberi skop mudah tentang hukum hakam sementara orang bukan Islam pula berlembut hati untuk memenangi umat Islam atas sebab-sebab tertentu, yang mana mereka lebih arif kenapa dan mengapa mereka berbuat demikian.

KAKAK TUA: Janganlah bagai orang berjudi - menang mua, alah hendak berbela!

No comments: