Pujuk 5 jam


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kereta kabel ke pusat peranginan Genting Highlands tergendala hampir lima jam semalam, berikutan tindakan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an cuba membunuh diri.Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi Resort World Bhd, Datuk Anthony Yeoh, berkata dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, lelaki terbabit bertindak memecahkan tingkap kereta kabel yang dinaiki bersama rakannya.
Menurutnya, lelaki itu kemudian bertindak melompat keluar sebaik tiba di perhentian terakhir berhampiran sebuah hotel di kawasan peranginan berkenaan.“Bagaimanapun, dia tersangkut pada jaring keselamatan yang dipasang di kawasan itu dan ia menghalangnya daripada jatuh ke dalam gaung.
Anggota Bomba dan Penyelamat Genting Highlands bersama pasukan keselamatan yang bergegas ke tempat kejadian berusaha memujuk lelaki itu,” katanya malam tadi.
Beliau berkata, selepas hampir lima jam, akhirnya lelaki itu berjaya dipujuk rakannya dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan.
“Kami meminta maaf kerana kesulitan yang berlaku sehingga menyebabkan orang ramai menghadapi masalah. Kita sudah membuat laporan dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.

No comments: