Selangor senarai hitam kontraktor rasuah

SHAH ALAM 29 April - Kerajaan negeri akan mengharamkan mana-mana kontraktor daripada mendapatkan projek pembangunan di Selangor sekiranya didapati mengamalkan rasuah. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tiada projek yang dilaksanakan berasaskan amalan itu kerana ia akan membawa banyak masalah kepada rakyat pada masa depan.

Sebaliknya, beliau mahu supaya kontraktor mengambil serius perkara berkenaan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan selain berusaha meningkatkan kualiti kerja mereka."Cara sedemikian sebenarnya membantu mereka memperoleh sesuatu projek yang ditawarkan sama ada dari kerajaan negeri dan syarikat-syarikat swasta yang lain," katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Binaan dan Kontraktor Bumiputera di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Othman Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan. Yaakob berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk mengurangkan rasuah di Selangor sekurang-kurangnya pada kadar satu peratus berbanding lima peratus yang dicatatkan dalam indeks rasuah negara pada tahun ini. "Untuk tujuan itu, kita telah pun memaklumkan kepada kontraktor dalam setiap majlis-majlis yang diadakan sebelum ini.

Malah, perkara yang sama turut kita buat kepada pegawai kerajaan negeri supaya mereka tidak cenderung untuk melakukan amalan sedemikian. "Sekiranya kita dapati ada pegawai kerajaan ambil rasuah, kita akan akan ambil tindakan sewajarnya manakala para kontraktor pula kita akan senarai hitamkan daripada mendapat kontrak kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Yaakop memberitahu, pihaknya meminta syarikat kerajaan negeri serta syarikat swasta bumiputera di negeri itu merangka program khas bagi memberi peluang kepada bumiputera bergiat dalam perniagaan.

Katanya, penyertaan bumiputera dalam bidang perniagaan ketika ini masih tidak begitu ramai berbanding dengan kaum lain. "Dengan cara ini, kita harap dapat melahirkan lebih ramai bumiputera dalam bidang perniagaan kerana tumpuan kerajaan negeri ialah untuk mewujudkan rakyat yang tidak fikir untuk makan gaji, sebaliknya mahu menjadi usahawan. "Dengan pembabitan syarikat-syarikat ini, kita harap ia dapat menyediakan khidmat nasihat dan bantuan kemahiran kepada usahawan baru untuk bertapak," ujarnya.

yang beri rasuah kena blacklist...yang terima rasuah bila pula nak bawa naik black maria

No comments: