Mahathir: DAP-Abdullah pakat ke?

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berjaya menyelesaikan teka-teki besar yang menghantui pemikirannya - kenapa tokoh-tokoh utama DAP tidak menyerang bersungguh-sungguh kepemimpinan perdana menteri.



Dalam suratnya kepada The Star, mantan perdana menteri itu berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada pengerusi DAP Karpal Singh kerana "menyelesaikan satu misteri yang mengganggu fikiran saya sepanjang lima tahun lepas."Selepas membuka kenyataannya dengan perenggan tersebut, Dr Mahathir berkata beliau sudah masak dengan kritikan, malah serangan, anggota-anggota DAP termasuk "isu-isu penyelewengan yang dikhayalkan oleh mereka."



"Bagaimanapun, selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan saya, salah guna kuasa dan kesalahan terang-terangan pihak kerajaan jarang sekali diulas oleh tokoh-tokoh DAP seperti Karpal dan Lim Kit Siang," katanya dalam surat 'A Political Mystery is Finally Soved'. "Saya bingung.



Saya tidak percaya kepada cadangan bahawa wujud 'pakatan' (konspirasi) antara Abdullah dan DAP."Dr Mahathir menjawab kecaman Karpal terhadapnya dalam kenyataan kelmarin. Karpal berkata pakatan pembangkang tidak memerlukan tokoh seperti Dr Mahathir untuk menjuarai perjuangan mereka."Dr Mahathir sewajarnya berhenti berperanan sebagai jurubicara tidak tentu hala," katanya, dipercayai mengulas surat mantan perdana menteri itu di akhbar The Sun pada 8 April.



"Tiba masanya beliau berdiam diri dan biarkan barisan pembangkang mengawasi kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata Karpal."Dr Mahathir sewajarnya, mungkin, menghabiskan masanya bersama cucu-cucunya di ambang senja usianya," kata Karpal lagi.



Reaksi sinis ahli parlimen itu juga dipercayai selepas membaca surat Dr Mahathir kepadanya bertarikh 3 April - tetapi hanya diterimanya kelmarin. Dalam warkah peribadinya kepada Karpal, Dr Mahathir menggelarkan peguam terkenal itu "the most contemptible of politicians and individuals" (orang dan ahli politik yang paling hina)."



Anda dan penentang saya tidak pernah mahu percaya walau apa pun penjelasan saya. Anda didorong oleh kebencian semata-mata dan saya tidak boleh menjawab kepada mereka yang enggan menerima kenyataan. "Saya menjalankan tugas dalam bidang dan tanggungjawab saya, dan saya tidak terhutang untuk memohon maaf kepada sesiapa," tulis Dr Mahathir.



Dalam kenyataan balasnya hari ini, Karpal menepis semula tuduhan Dr Mahathir itu dengan berkata beliau dan Lim sering mengkritik penyelewengan era Abdullah.

No comments: