Mengapa anda bekerja?

ADAKAH anda fikir semua manusia seronok bekerja? Sudah tentu tidak. Ada sesetengah orang tidak suka bekerja dan lebih suka menghabiskan masa pergi melancong ke luar negara.

Sambil membeli-belah, menikmati keindahan sesebuah negara tentu lebih menyeronokkan berbanding mengharung kesesakan trafik setiap pagi dan petang, menghadap kerja yang tidak berkesudahan dan suasana kerja yang kurang menekan.

Tetapi masalahnya tidak semua orang begitu beruntung (kecuali anda dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya dan memang tidak perlu bekerja) kerana untuk berbuat demikian, anda memerlukan wang ringgit.

Untuk mendapatkan wang anda perlu bekerja, sama ada suka atau tidak.

Setiap individu mempunyai sebab yang berlainan mengapa mereka bekerja. Tetapi yang pasti kebanyakan mereka bekerja kerana memerlukan sesuatu daripada pekerjaan yang mereka lakukan.

Apa yang mereka peroleh daripada kerja tersebut mempunyai impak ke atas kualiti kehidupan mereka.

Ada sesetengah individu bekerja kerana minat yang mendalam terhadap kerja tersebut.

Ada yang bekerja kerana berasa seronok apabila berjaya mencapai sesuatu misi dan matlamat setelah melakukan sesuatu pekerjaan dan ada yang suka menyumbang tenaga demi membantu golongan tertentu untuk mencapai impian mereka.

Ada yang suka berinteraksi dengan pelanggan dan rakan sejawat manakala ada yang bekerja untuk mengisi masa lapang.

Apa jua sebab seseorang itu bekerja, boleh dikatakan rata-rata kebanyakannya bekerja kerana wang ringgit. Tidak kira dalam bentuk apa pun, sama ada dari segi gaji bulanan, bonus, kemudahan dan ganjaran, wang diperlukan untuk membayar segala bil, sewa rumah, sewa kereta, sewa motosikal dan pelbagai jenis hutang bank.

Wang juga diperlukan untuk menyekolahkan anak-anak, membeli makanan dan pakaian, bercuti bersama keluarga dan yang amat penting, simpanan untuk hari tua.

Pembayaran gaji yang berpatutan dengan kerja yang dilakukan dan pada waktu yang tepat adalah faktor yang diutamakan oleh organisasi yang ingin mengekalkan pekerja-pekerja yang berkualiti.

Jika organisasi gagal memberi perhatian terhadap faktor-faktor tersebut, risiko kehilangan pekerja-pekerja ini kepada organisasi lain yang sanggup membayar gaji yang lebih lumayan adalah agak tinggi.

Apatah lagi, dengan kos kehidupan yang semakin hari semakin tinggi - kenaikan harga barang dan harga petrol, kesemuanya ini menjadi punca pekerja mudah beralih arah ke sesuatu pekerjaan baru yang menawarkan ganjaran yang lebih baik.

Adakah hanya wang ringgit yang dicari? Tidak semestinya. Kehendak dan naluri manusia memang bukan mudah untuk dipenuhi. Walaupun wang adalah faktor yang boleh menarik seseorang pekerja untuk bekerja, namun ia bukanlah penentu segala-galanya.

Banyak kajian yang dilakukan ke atas pekerja-pekerja mendapati, selain daripada wang yang diterima, perhatian dan masa yang diluangkan oleh majikan untuk mendengar pendapat dan masalah pekerja adalah sesuatu yang amat berharga bagi mereka.

Pekerja ingin merasakan bahawa diri dan khidmat mereka dihargai oleh pihak atasan, apatah lagi jika mereka telah berjaya melakukan sesuatu dengan jayanya.

Mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan dan bukan robot yang hanya menurut arahan. Jadi, mereka berhak mendapat perhatian dan diberi ganjaran sewajarnya.


Selain daripada yang telah disebutkan, berikut adalah lain-lain keperluan yang dicari oleh pekerja:

*Sedikit kebebasan untuk memberi pendapat dan kata putus, tanggungjawab yang jelas, peluang untuk mengembangkan kerjaya ke tahap yang lebih tinggi dan sistem laporan yang jelas.

*Perasaan ingin diterima oleh majikan. Ini termasuk seperti menerima informasi yang terkini, peluang untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat, peluang untuk bekerjasama dengan rakan sejawat, pemberitahuan tentang progres kerja, pencapaian kerja dan sebagainya.

*Peluang untuk memperbaiki diri melalui latihan dan pendidikan.

*Pimpinan yang berkualiti. Mereka memerlukan pemimpin yang tegas dan adil, tahu apa yang mereka mahu, mempunyai matlamat yang jelas dan mempunyai strategi yang mantap untuk mencapai sesuatu matlamat.

*Mereka mahu supaya pekerja yang tidak menyumbang tenaga, malas, sering mencuri tulang dan mempunyai banyak masalah disiplin diberhentikan khidmat mereka. Kegagalan majikan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja sebegini boleh melemahkan semangat pekerja yang berhempas pulas memberi khidmat mereka yang terbaik demi kejayaan diri dan organisasi.

Sebagai majikan, luangkan masa untuk membuat sedikit kajian dalaman untuk mengetahui apakah yang diinginkan oleh pekerja dan adakah keinginan mereka telah tercapai.

No comments: