Hanya Sufiah yang tahu

PERJALANAN hidupnya sangat berliku walaupun dianugerahkan otak yang cukup pintar dalam matematik serta ditambah dengan wajah menarik. Namun kejayaan memasuki Universiti Oxford yang tersohor itu pada usia 13 tahun seolah-olah tidak memberi apa-apa kelebihan kepada Sufiah Yusof (gambar) dalam meniti hari dewasanya.

Lebih menyedihkan, menginjak usia 23 tahun, Sufiah yang sepatutnya mampu hidup sebagai wanita kaya dengan kepintarannya, kini terjerumus ke dalam pekerjaan hina iaitu pelacur di Britain.

Kehidupan jalanan Sufiah di flat murah di Salford, Manchester berjaya dibongkar oleh seorang wartawan akhbar tabloid popular, News of the World, Keith Gladdis yang menyamar sebagai pelanggan.

"Anda mahu mulakan sekarang?," soal Sufiah kepada wartawan itu sambil menari di atas katil sebelum menanggalkan satu persatu pakaian dan mendedahkan tubuhnya yang montok itu.

Dengan caj sekitar £130 (RM830) untuk satu jam, wartawan tersebut menyifatkan 'pekerjaan' baru Sufiah itu langsung tidak berbaloi dengan apa dimiliki gadis yang mempunyai senyuman menawan ini.

REJIM pembelajaran dan kehidupan yang mengongkong dikatakan punca keluarga ini berhadapan dengan konflik.

Hakikatnya, rutin perjalanan Sufiah sejak kecil sememangnya tidak pernah secerah otak yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.


Kemelut hidup gadis ini mula mendapat perhatian apabila Sufiah bertindak nekad melarikan diri daripada jagaan ibu bapanya dan bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di London pada tahun 2000.


"Cukuplah penderitaan mental dan fizikal selama 15 tahun yang saya hadapi," luahnya dalam satu nota kepada keluarganya.


Lebih menjerihkan apabila bapanya, Yusof Farooq, 50, baru sahaja dipenjarakan tahun lalu kerana mencabul dua remaja berusia 15 tahun yang datang belajar kelas tambahan matematik di rumahnya.


Insiden tersebut sekali gus mencemarkan reputasi Yusof sebagai pencetus teknik pembelajaran genius dalam bidang matematik dan akibatnya, dia kini meringkuk di Penjara Coventry selama 18 bulan.


Yusof juga pernah dipenjarakan selama tiga tahun pada 1992 kerana penyelewengan sebanyak £1.5 juta dan sekali lagi dimasukkan ke pusat pemulihan kerana konspirasi menggelapkan wang sebanyak £100,000.


Semasa di Universiti Oxford, pada usia 19 tahun, Sufiah jatuh cinta dengan peguam pelatih, Jonathan Ebrahim Marshall.

Namun anak kepada seorang wanita Malaysia, Halimahton Yusof itu terus dirundung malang apabila perkahwinan yang disangkanya dapat menyelamatkan kehidupannya turut kecundang.


Perkahwinan mereka cuma mampu bertahan selama setahun akibat pelbagai masalah.


Kini, di dalam sebuah flat kecil dan menyedihkan, Sufiah yang menggunakan nama samaran Shilpa Lee meneruskan hidup dengan menjual tubuh serta promosi melalui laman web untuk membayar sewa rumahnya.


Dengan tiga buah telefon bimbit, skirt pendek, baju seksi dan but kulit, Sufiah yang dulunya amat mentaati ajaran Islam kini giat mencari pelanggan hinggalah bertemu Gladdis minggu lalu.


"Ia sentiasa menjadi satu kejutan dengan siapa yang anda bakal jumpa," akui Sufiah pada Gladdis.


Jelas Sufiah lagi, dia melakukan pekerjaan itu bersendirian termasuk seks oral tanpa sebarang perlindungan kondom dan keselamatan diri yang jelas.

SUFIAH bersama seorang adiknya. Di sebalik senyuman manis Sufiah, rupa-rupanya tersembunyi tekanan yang hanya dia mengerti

Berbekal aksi ghairah di pintu masuk flatnya, Sufiah ketawa dan berjenaka semasa memimpin Gladdis ke rumahnya yang tersedia sebuah katil.


Sufiah menyatakan perkhidmatannya itu bernilai £130 untuk sejam dan menawarkan wartawan tersebut segelas air sebelum memainkan muzik perlahan menerusi corong radio.


Kemudiannya dengan tangan terketar-ketar, dia menanggalkan coli bertali merah bersama seluar dalamnya dan menari riang di atas ranjang kecil itu.


Selepas Gladdis menolak, Sufiah mendakwa dia kononnya belajar sarjana ekonomi separuh masa selama dua tahun di London. Gadis pintar ini memberitahu: "Saya akan hadapi peperiksaan tidak lama lagi 'Oh Tuhanku!"


Menggambarkan keluarganya sebagai naif dan pengongkong, Sufiah tidak menunjukkan rasa sedih atas apa yang menimpa bapanya.


Hari ini, sudah jelas kehidupan anak perempuan seorang cerdik pandai yang lari daripada kongkongan rejim keras keluarga, telah rosak. Seorang rakannya turut mengiyakan pandangan itu.


Ketika ditemui wartawan tersebut, rakannya itu dengan kesal berkata: "Sufiah sudah lama menderita dalam hidupnya. Saya cuma berharap dia keluar daripada maksiat itu dan kembali ke pangkal jalan.


"Secara jujur, Sufiah seorang yang baik dan berhak menikmati era kehidupan yang lebih baik daripada sekarang. Malangnya, bakatnya sudah menjadi satu sumpahan keluarganya."


Biarpun pahit, ibunya mengesahkan Sufiah memang telah menjadi pekerja seks dalam pengakuannya kepada Pengerusi Persatuan Melayu United Kingdom, Hamidi Abdul Rahman sewaktu satu pertemuan di London, 2 April lalu.


Berita mengaibkan ini disahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim kelmarin, yang menerima e-mel Hamidi, susulan usaha khas kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan Sufiah.

Bagaimanapun, lokasi sebenar gadis itu gagal dikenal pasti kerana Akta Perlindungan Data Britain tidak membenarkan akses terus mencari maklumat mengenai individu di negara tersebut

No comments: