14-04-2008
04:06:13 PM
Oleh ZIEMAN
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin lantang menegur agar Islam Hadhari dihentikan segera. Beliau sifatkan jenama Islam Hadhari sebagai salah satu sebab kekalahan Barisan Nasional baru-baru ini."Saya sudah banyak kali menegur tentang Islam Hadhari sebelum ini tetapi kurang mendapat perhatian," kata beliau yang menyuarakan ketidakpuasan hati di dalam ruangan Pena Mufti semalam di bawah tajuk...'Jika pemerintah bertaubat dengan taubat nasuha'.
Artikel beliau yang disiarkan di dalam akhbar perdana semalam mendapat banyak reaksi dari beberapa pihak di mana rata-rata menyokong keberanian beliau menegur kepimpinan dan isu politik yang sedang berantakan dewasa ini."Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya Allah.
Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan."Bertaubat!. Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah."Dr Asri turut memetik satu rangkap di dalam artikel beliau semalam yang jelas memperkatakan isu pasca politik yang 'bercelaru' sekarang."Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki.
Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana."Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun)”. (Surah al-Anfal: 33).Kata Dr Asri, "Ramai yang tidak berani berterus terang tentang isu 'Islam Hadhari' ini. Ini adalah kewajipan saya."Menurutnya, istilah atau jenama 'Islam Hadhari' itu menakutkan orang kampung."Ada yang berfikiran ia satu agama baru sedangkan itu tidak benar. Ada juga yang keliru mengatakan pakaian separuh bogel adalah fahaman dari Islam Hadhari. Jadi saya syor hentikan saja uar-uar pasal Islam Hadhari kerana ia mengelirukan.'
Katanya, hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas."Saya kadang-kala melihat seakan generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka."Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan.
Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai," kata tokoh agama yang berfikiran kritis ini.Katanya lagi, "Apa yang berlaku dalam politik hari ini adalah dosa-dosa semalam yang terpaksa dipikul oleh kepimpinan hari ini dicampur dengan kelemahan yang ada.
Janganlah orang semalam hanya pandai menuding juri kepada pemimpin hari ini seolah-olah mereka begitu bersih."Keadaan yang teruk ini adalah dosa warisan dan semasa. Apa yang kita bimbang jika kita merebahkan pemerintah yang lemah tiba-tiba diganti dengan yang lebih buruk hati budinya," kata Dr Asri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment