KUALA LUMPUR - Permintaan terhadap jualan barangan dari Belanda di pasar raya-pasar raya tempatan sekitar ibu negara didapati tidak terjejas walaupun terdapat dedas-desus bahawa ia akan diboikot oleh pengguna Islam.
Tindakan boikot itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang mengarah dan menerbitkan filem berjudul Fitna yang menghina agama Islam sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya besar sekitar ibu negara mendapati kebanyakan pengguna tetap membeli produk dari negara berkenaan seperti biasa.
Malah, pelbagai barangan dari negara tersebut masih menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi produk tenusu yang sudah menjadi satu keperluan terutamanya untuk keperluan bayi dan kanak-kanak.
Paling ketara, permintaan terhadap susu meningkat malah Kosmo! mendapati beberapa jenama produk tenusu di beberapa pasar raya besar kehabisan stok buat sementara waktu.
Menurut jurucakap pasar raya berkenaan, jualan barangan produk dari Belanda itu berjalan seperti biasa dan tiada tanda-tanda menunjukkan orang ramai memboikotnya.
Sementara itu, tinjauan di pasar raya Mydin pula mendapati, premis itu menghentikan pesanan stok barangan dari Belanda buat sementara waktu.
Menurut Eksekutif Pengiklanan dan Promosi Mydin, Nazlin Mohd. Noor, pasar raya terbabit hanya menjual barangan Belanda yang masih ada dalam simpanan mereka sahaja.
Mydin merupakan pasar raya besar pertama di negara ini yang memboikot produk dari Belanda dan usaha itu mula menampakkan hasil apabila jualan produk tenusu dari Belanda akhir-akhir ini tidak begitu memberangsangkan selepas meletakkan label merah yang memberitahu barangan tersebut produk Belanda.
"Buat masa ini Mydin tidak menambah stok barangan dari Belanda sebagai tanda sokongan kami terhadap usaha memboikot barangan dari negara tersebut.
"Kebiasaanya kami akan menambah stok pek susu tepung dari Belanda di rak, tetapi selepas diletakkan label merah, produk ini kurang laku bahkan kami juga tidak perlu menambah stok di rak seperti biasa," ujar Nazlin.
Selain meletakkan label merah di rak barang, Mydin juga meletakkan satu kenyataan yang menunjukkan pendirian mereka memboikot barangan Belanda di setiap kaunter juruwang di pasar raya terbabit.
No comments:
Post a Comment