KAKAK Mohd. Shahrizal, Norashikin Shaffie (dua dari kiri) bersama ahli keluarga lain sebak ketika menuntut mayat di Cheras semalam.

KUALA LUMPUR - "Saya terkejut, kalau tengok pada kecederaannya, saya percaya ia bukan mati jatuh di dalam bilik air,'' ujar bapa saudara kepada seorang anggota tentera yang didakwa mati di Kem Melayu 1, Sungai Besi semalam kerana mendapati banyak kecederaan luar biasa yang berlaku pada tubuh arwah anak saudaranya itu.


"Selain lebam di muka kiri, mangsa juga turut mengalami luka di kepala dan tangan dipercayai digunakan mempertahankan diri," kata Hishamuddin Ismail, 38, ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini petang semalam.


Dalam kejadian 1 petang semalam, Allahyarham Prebet Mohd. Shahrizal Mohd. Shaffie, 27, yang masih dalam tempoh tahanan di kem tersebut sejak setahun lalu dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di hospital.


Allahyarham Mohd. Shahrizal dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh dan pengsan di dalam bilik air selepas makan tengah hari.


Hishamuddin berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai kematian Mohd. Shahrizal beberapa jam kemudian sebelum melawat mangsa di rumah mayat HUKM.


Adik mangsa, Zabedah Mohd. Shaffie, 24, pula berkata, dia tidak menyangka kunjungan Mohd. Shahrizal ke rumahnya di Sungai Buloh pada akhir bulan lalu merupakan kunjungannya yang terakhir.


Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Cheras, Deputi Supritendan V. Samugan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.


"Polis tidak menolak terdapat unsur jenayah dalam kes tersebut berdasarkan kepada kecederaan dalaman yang dialami mangsa berdasarkan bedah siasat awal,'' katanya sambil menambah kes disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Tentera Darat, Mejar Zahrullail Hidayat berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi siasatan lanjut.



No comments: