PAS usah berangan - Karpal Singh

PUTRAJAYA 4 April – Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta Pas jangan memasang angan- angan tinggi untuk menunjangi Pakatan Rakyat bagi merealisasikan impian penubuhan sebuah negara Islam.Pemimpin veteran pembangkang yang pernah membuat kenyataan kontroversi menolak penubuhan negara Islam pada 1990 itu mahu Pas lebih realistik bahawa prinsip perjuangan parti itu mustahil dilaksanakan di negara ini.

Malah, katanya, Pas tidak boleh ‘bercakap banyak’ kerana rancangan gabungan Pakatan Rakyat antara parti-parti pembangkang yang diumumkan sebelum ini pun belum lagi dimuktamadkan.“Macam mana Pas boleh tubuh negara Islam kalau dia bersendirian tidak mendapat majoriti membentuk kerajaan.

Janganlah mimpi di siang hari.“Lagipun, kita (parti-parti pembangkang) belum bergabung lagi, Pakatan Rakyat adalah satu langkah ke depan, tapi tentulah ada syarat-syaratnya sebelum (penggabungan) dipersetujui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.Pakatan pembangkang mempunyai 82 kerusi di Parlimen yang membabitkan 31 wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (28) dan Pas (23).

Karpal mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub kelmarin bahawa Pas wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam.Ahmad berpendapat, impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam sebenar yang tidak pernah memperkecilkan atau mengecualikan mana-mana pihak sebab Islam ialah agama untuk kebaikan semua manusia.

Menurut Karpal, beliau sememangnya lebih senang hati jika Pakatan Rakyat diterajui ketiga- tiga pemimpin Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas secara serentak.“Maknanya ia diterajui pengerusi bersama iaitu ketiga-tiga parti ini menjadi pengerusi serentak, barulah keputusan yang dicapai nanti konsensus,” katanya.

Pada 1990, Karpal mengeluarkan kenyataan “langkah mayat saya dulu sebelum tegakkan negara Islam”, sebagai jawapan kepada penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas

No comments: