Michael Majid Wolfe tertawan dengan ibadat solat


“AGAMA kebenaran yang saya cari mestilah satu agama yang tidak mengabaikan aspek metafizik dan sains. Ia bukannya satu agama yang sempit dan susah untuk difahami.Agama itu tidak memerlukan manusia perantara. Malahan, ia tidak menentang perkara tabii seperti seks.“Dalam agama itu juga perlu ada ritual atau amalan harian agar kesedaran diri dapat dipertajamkan dan minda dapat didisiplinkan.
Yang paling penting, saya perlukan kejelasan dan kebebasan dalam beragama kerana saya tidak mahu menggantikannya dengan dogma atau kepercayaan secara membuta tuli… Dan semakin saya mengkaji Islam, semakin saya menyedari bahawa inilah agama yang saya cari,” tegas pendirian pemenang Anugerah Wilbur 2003, Michael Majid Wolfe.
Kenyataan itu dipahat pada buku berjudul Taking Back Islam: American Muslims Reclaim Their Faith yang dikategorikan sebagai buku terbaik bertemakan keagamaan.Hakikatnya, penonjolan beliau dalam dunia penulisan sama ada di media cetak mahupun media elektronik adalah kerjaya yang tidak dapat disangkal lagi.
Antara buku-buku Majid Wolfe yang mendapat perhatian ialah The Hajj: An American’s Pilgrimage to Mecca (1993) dan One Thousand Roads to Mecca: Ten Centuries of Travelers Writing About the Muslim Pilgrimage (1997).Majid Wolfe sedang menyiapkan novel berjudul, Just Look At You Now dan baru menamatkan jilid keempat puisi bertajuk, Digging Up Russia.
Beliau sekali sekala menulis dalam sebuah laman web iaitu Beliefnet.Pada April 1997, beliau pernah ke udara dari Mekah melaporkan perkembangan ibadah haji di televisyen ABC. Program ini memenangi Anugerah Media daripada Majlis Perhubungan Awam Muslim. Pada Februari 2003, beliau berkhidmat dengan CNN International dan menerbitkan dokumentari setengah jam mengenai ibadat haji.Sementara pada 1999, Majid Wolfe membantu penubuhan sebuah institusi media pendidikan yang memfokus kepada usaha mempromosikan keamanan menerusi media Unity Productions Foundation (UPF).
Pada 2002, UPF berjaya menerbitkan filem pertama berjudul, Muhammad: Legacy of a Prophet, sebuah dokumentari televisyen selama dua jam mengenai sirah hidup baginda Rasulullah s.a.w.Filem di bawah tanggungjawab Majid Wolfe itu berjaya ditayangkan di siaran National Geographic International.
Kerja keras beliau berbaloi apabila usaha getir beliau mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Khas Juri bagi Dokumentari Profesional Terbaik.Pada tahun ini juga, Majid Wolfe berjaya menyiapkan pembikinan dua filem berjudul: Cities of Light: The Rise anda Fall of Islamic Spain yang ditayangkan pada Ogos lalu. Ia diikuti filem yang dipetik daripada sebuah kisah benar perjuangan pembebasan seorang putera dari Afrika yang diberi judul, Prince Among Slaves.
Majid Wolfe dilahirkan pada 3 April 1945 di Amerika Syarikat (AS). Ibunya ialah seorang Kristian dan bapanya seorang Yahudi. Natijah daripada perkahwinan campur itu, beliau berkesempatan mengenali agama Yahudi dan Kristian.Pun begitu, kedua-dua agama itu tidak menarik perhatiannya.
Agama Yahudi, baginya, amat menekankan tentang kaum yang terpilih (iaitu golongan Yahudi) dan pandangan ini tidak dapat beliau terima. Agama Kristian pula baginya diselimuti pelbagai misteri.
Beliau bukan sahaja seorang penyajak dan penulis malah Presiden serta Penerbit Eksekutif UPF. Selain itu, Majid Wolfe juga ialah pensyarah tetap terutamanya dalam menyampaikan ceramah berkaitan isu-isu Islam di beberapa buah universiti sekitar AS termasuk di Harvard, Georgetown, Stanford, SUNY Buffalo dan Princeton.
Beliau merupakan pemegang ijazah pengajian klasik dari Universiti Wesleyan.Pengetahuan beliau tentang agama Islam bermula selepas banyak melakukan pengembaraan dan menulis di utara dan barat Afrika. Itupun kerana menerima biasiswa daripada Amy Lowell Traveling Poets pada 1970. Sepanjang dua tahun itulah, Majid Wolfe melahirkan buku puisi How Love Gets Around and World your Own, buku fiksyen berjudul, Invisible Weapons dan buku kisah pengembaraannya, In Morocco.
Pada tahun 1980-an, beliau kembali beberapa kali ke utara Afrika dan selepas bergelar Muslim, beliau menunaikan ibadat haji pada 1990.“Di Afrika, sesuatu yang tidak pernah berlaku di dalam hidup saya dapat dilihat. Ia sekali gus mencelikkan hati dan minda saya tentang kecantikan Islam, iaitu dalam Islam tidak timbul soal perbezaan warna kulit dan bangsa. Saya boleh berlaga bahu dengan pelbagai puak meskipun kami berbeza warna kulit dan bangsa seperti orang Arab, Berbers dan juga orang Eropah yang beragama Islam.
“Mereka tidak seperti yang diamalkan oleh masyarakat Barat yang terlampau fanatik dengan hal-hal berkaitan ras, warna kulit dan status sosial. Namun tanggapan umat Islam dalam hal ini jauh berbeza, kepercayaan dan tingkah laku mereka lebih dipandang. Di dalam Islam, Allah tidak melihat seseorang itu menerusi kekayaan, penampilan atau faktor luaran tetapi ketakwaan dan keimanan kepada Pencipta itulah yang lebih dipandang,” katanya faktor inilah adalah sesuatu yang unggul dan baru bagi dirinya.
Malah akui Majid Wolfe, kata-kata Malcolm X suatu waktu dulu kembali segar dalam ingatannya iaitu yang berbunyi, “Amerika mestilah memahami Islam, kerana inilah satu-satunya agama yang tidak membezakan sesuatu bangsa itu. Manusia itu semuanya sama di sisi Allah. Mereka yang beriman dan bertakwalah yang lebih di pandang oleh-Nya”.
Lantaran itu, Majid Wolfe kembali ke Maghribi pada 1981 dan 1985 kerana merasakan berada di sana banyak mengembalikan memori indahnya sepanjang mengenali masyarakat Islam di Afrika. Apatah lagi, mempercayai agama Islam itu tidaklah bermakna beliau terpaksa melepaskan kebudayaan lamanya, asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Selain itu, pengalaman menyaksikan umat Islam menunaikan solat meninggalkan kesan kerohanian di dalam dirinya. Sejak itu, lokasi kegemarannya bila bercuti ialah Maghribi dan kalau tiada berkemampuan, buku-buku tentang negara tersebut akan dibaca.
Akui Majid Wolfe, semakin beliau mempelajari tentang Islam, semakin beliau akur dengan dirinya sebelum ini.

No comments: