Cadangan ahli keluarga menteri turut isytihar harta wajar - Salahuddin

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Cadangan Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Tan Sri Ramon Navaratnam agar bukan sahaja menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta, tetapi seluruh ahli keluarga mereka juga dilihat dapat membantu meningkatkan integriti dan menghapuskan rasuah di negara ini.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob, berkata tindakan itu juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan bebas amalan kronisme dan nepotisme. Arahan Kabinet pada 19 Mac lalu meminta semua menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta masing kepada rakyat.

Namun begitu, menurut Salahuddin, satu persoalan besar dalam kepala rakyat ialah kecekapan para menteri dan timbalan menteri membolot kekayaan negara melalui proksi atau kroni mereka. "Kita dapati jarang menteri yang berniaga dan kaya-raya melalui perniagaannya, tetapi kita akan menemui hamper semua menteri yang mempunyai anak menantu dan kroni yang kaya raya melalui perniagaan belakang tabir.

"Kita pernah mendengar bagaimana menantu bekas Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Seri Rafidah Aziz mendapat saham yang besar di MITI ketika mertuanya mengetuai kementerian itu. Begitu juga dengan beberapa orang yang rapat dengan beliau turut menguasai permit import (AP) kereta mewah ketika beliau masih di kementerian itu," jelas beliau, dalam kenyataannya kepada Harakah daily, hari ini.

Beliau menambah, ini belum diambil kira kroni dan kaum keluarga pemimpin BN yang lebih tinggi seperti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak. Katanya, rakyat tertanya-tanya bagaimana dengan tiba-tiba adik kepada Najib, Dato' Nazir Razak muncul dalam dunia perbankan dan menguasai bank yang asalnya milik kerajaan, BBMB yang kini dikenali sebagai CIMB. Lebih mengejutkan, katanya lagi apabila Kamaluddin Abdullah dengan tiba-tiba menjadi antara 10 individu terkaya di Malaysia dan dalam masa yang sama Khairy Jamaluddin menguasai saham di ECM-Libra.

"Rakyat negara ini juga dikejutkan oleh kemunculan tokoh korporat baru, Patrick Lim Badawi yang merupakan bapa saudara kepada menantu Perdana Menteri itu dengan menguasai projek-projek raksasa di Pulau Pinang dan Terengganu. Ini belum termasuk pengagihan projek-projek kerajaan kepada syarikat Brahim dan Dwwina Food milik Ibrahim Ahmad Badawi," tegas beliau.

Sehubungan itu, Pemuda PAS mendesak Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, semua menteri dan timbalan menteri supaya mengisytiharkan harta masing-masing, diikuti seluruh kaum keluarga dan kroni terdekatnya.

Menurutnya, bagi Abdullah, beliau hendaklah mengisytiharkan harta yang dipungut oleh anaknya, menantunya, adiknya dan juga Patrick Badawi selepas 31 Oktober 2003 untuk memastikan ketelusan benar-benar wujud di negara ini.

"Harta negara adalah milik rakyat bukannya untuk diagih-agihkan kepada anak menantu dan kroni pemimpin BN," tegas beliau. - mns

No comments: