Jenazah Salmiah di bawa ke dalam bilik untuk di mandikan . Ahli keluarga arwah dan bilal jenazah wanita masuk mengiring. Saya berehat di ruang tamu, membaca ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi jirusan air mencurah, kemudian jatuh ke dalam bekas mandian kedengaran jelas.
Habis sekali Yasin, saya bersandar ke dinding ruang tamu banglo cantik itu untuk melegakan urat belakang yang tegang. Saya picit-picit tengkuk, belakang lutut dan pergelangan kaki yang terasa sengal dan kebas. Ahhh,…baru lega.
Saya pandang sekeliling, jiran-jiran yang duduk di sisi serta yang yang baru sampai. Tapi secara puratanya, kalau nak di bandingkan dengan kematian di tempat lain, saya dapati tidak ramai yang datang melawat ke sini. Mungkin kerana arwah dan suaminya, Pahamin, tidak bercampur sangat dengan masyarakat.
Arwah lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah, tidak gemar menghadiri majlis-majlis dan kenduri kendara di tempat kediamannya manakala si suami jarang pulang ke rumah. Maklumlah, arwah adalah isteri mudanya.
Saya memerhati sekeliling, mencari kalau-kalau ada kenalan yang datang. Di ketika meninjau-ninjau itulah saya ternampak suami allahyarham, Pahamin sedang duduk di tepi tingkap sambil meriba anak bongsunya. Umur budak perempuan itu baru dua tahun. Abang dan kakaknya pula duduk dengan datuk mereka, bapa arwah Salmiah di dalam bilik.
Sudah lama saya kenal Pahamin, yang saya panggil Bang Min. Pahamin pernah meminta pertolongan saya untuk ‘memulihkan’ anak gadisnya yang di dakwa terkena buatan orang.
Menurut Pahamin, anak gadisnya dengan isteri tua beliau itu bekerja sebagai peramugari. Rupa parasnya menawan, potongan badan pun anggun. Masalah bermula apabila gadis berusia 20 tahun itu menghina seorang lelaki Indonesia yang mengusiknya ketika pulang dari bekerja. Kata gadis itu, dia lebih rela berkahwin dengan kambing daripada dengan lelaki Indonesia tersebut yang Cuma bekerja sebagai buruh binaan.
Namun seminggu kemudian, dia mula teringatkan lelaki itu. Rindu dendamnya makin menjadi-jadi menjelang senja. Kalau sehari tidak melihat lelaki berkenaan, anak gadis Pahamin akan meracau, menyebut-nyebut namanya. Alhamdulillah beberapa minggu selepas di rawat, gadis tersebut berjaya melupakan lelaki berkenaan. Nyata sekali, dia telah didengki dengan sihir.
Dari situlah saya mula kenal lebih rapat dengannya. Bila sudah kenal, Pahamin menceritakan pula latar belakang keluarganya, tentang isteri tua dan isteri muda. Saya pernah ke banglo itu, tapi tidak berbual sangat dengan arwah kerana saya lihat dia agak pendiam.
Saya tutup surah Yasin dan berjalan ke arah Pahamin yang sedang membelai rambut anaknya itu.
“ Assalamualikum, Bang Min.”
“ Waalaikumsalam. Oooo…ustaz, bila datang ?” dia bertanya.
“ Dah 10 minit. Saya duduk di sana, dekat tepi almari.”
“ Maaflah, tak perasan,” balas Pahamin.
“ Bila arwah meninggal, Bang Min ? “
“ Semalam, Maghrib. Di hospital,” kata Pahamin.
Menurut Pahamin, dia sendiri tidak menyangka Salmiah akan meninggal kerana menurut doktor, Cuma demam panas sahaja. Namun demamnya tidak pulih walaupun seminggu di tahan di wad, Salmiah meninggal dunia.
“ Kami bawa mayatnya malam tadi. Sampai sini pukul 9.00 malam,” kata Pahamin.
“ Tapi… umur dia belum masuk 40 lagi kan, Bang Min ?”
“ Belum, baru 37. Kira muda lagi. Saya kahwin dengan dia 12 tahun lepas, masa tu umur dia 25 tahun. Entahlah ustaz, patutnya saya yang pergi dulu…dah dekat 65 ni. Sakit jantung lagi…” kata Pahamin. Suaranya bergetar kerana terlalu sedih.
“ Sabarlah…redhakan dia pergi, Bang Min,”
Di sebabkan ada seorang saudara Pahamin datang, saya meminta diri. Saya kembali duduk di tepi almari dan membaca zikir serta ayat-ayat suci. Seorang demi seorang jiran datang. Sedang khusyuk membaca, tiba-tiba terdengar nama saya di panggil.
“ Hah…, awak. Kenapa Wan ?” saya bertanya kepada bilal jenazah wanita. Wan yang tiba-tiba muncul dan bertinggung di depan saya.
“ Ustaz…” bisiknya, “ ada hal sikitlah “ sambungnya sambil memberi isyarat mengajak saya ke tempat lain.
“ Kenapa ? Di sini kan boleh,” tanya saya. Surah Yasin saya tutup dan masukkan ke dalam poket.
Wan menggeleng. Dia memandang sekeliling saya, memberi isyarat bahawa ‘di sini ramai orang’ Dari raut wajah dan kerutan dahinya, saya pasti ada sesuatu yang tidak kena semasa dia menguruskan jenazah.
“ Ustaz…kita ke sana, ya,” bisik Wan.
Dia perlahan-lahan berjalan menuju ke sudut rumah yang agak jauh sedikit daripada orang ramai yang menziarah. Saya bangun dan mengekorinya.
“ Kenapa ni ? Berkerut aja muka awak,” kata saya.
Anak murid saya tu menggaru kepala. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Ada perkara yang hendak di luahkannya, tapi masih tak mampu di luahkannya.
“ Cakaplah…ada masalah apa ?” saya bertanya.
“ Macam ni ustaz,” kata Wan. “ Alaaa..ni …apa tu…” dia tergagap-gagap.
“ Tak apa…beritau saya, mungkin saya boleh Bantu,” kata saya.
Dengan suara berbisik Wan berkata; “Ustaz bahagian sulit arwah bengkak, keluar nanah tak henti-henti.”
Nanah ? Saya terkejut. Tadi, Pahamin tidak pula memberitahu saya apa-apa akan keadaan arwah. Malah penyakit arwah tiada kaitan dengan alat kelaminnya.
“ Bengkak macam mana ? Nanah macam mana ? “ tanya saya.
Menurut Wan, sewaktu meratakan air ke tubuh jenazah, dia menggosok bahagian alat sulit arwah, tiba-tiba dia merasa ada sesuatu yang pelik. Kemaluan jenazah bengkak seperti belon. Ia merening merah seperti jambu air yang sedang ranum. Seolah-olahnya bahagian itu baru di sengat binatang berbisa, hanya menunggu masa untuk pecah dan menyemburkan isinya.
Lebih mengejutkan Wan, bila gosok ke celahan bahagian alat sulit itu, mengalir pula nanah yang amat busuk baunya. Ia berwarna kuning kehijauan, seperti nanah atau darah yang bercampur-aduk dengan kotoran pekat. Likat, meleleh dari farajnya.
“ Baunya…ya Allah, busuk. Saya mencucinya dengan air dan kapas, tapi kemudian mengalir semula. Ia tak berhenti-henti meleleh walaupun puas di cuci,” tambah Wan.
Anak murid saya itu memberitahu, kawan-kawan yang menggantikannya untuk membersihkan bahagian sulit arwah juga merasa pelik melihat bengkak yang lebam merening serta nanah pekat yang terus-terusan mengalir. Hendak di bincangkan di situ, bimbang nanti tersinggung pula ahli keluarga arwah yang turut ada di dalam bilik.
“ Sebab tulah saya datang jumpa ustaz ni. Saya teringat ustaz ada di luar, mungkin boleh tolong sikit, beritau kami apa nak buat. Saya tak maulah benda ni jadi heboh. Aib jenazah, ustaz,” kata Wan.
Mendengar cerita itu, saya menasihatkan Wan supaya terus memandikan jenazah tersebut. Apabila di rasakan sudah cukup bersih, cepat-cepatlah di lap, kemudian letakkan kapas bahagian tersebut. Lekapkan agak tebal sedikit supaya nanah tidak menembusinya.
Kata saya, buat sepantas yang boleh supaya bau tersebut tidak tersebar, kelak akan memalukan jenazah. Kepada orang yang memandikannya, bukan rahsia, tapi kepada keluarga dan jiran-jiran, tentulah mereka nanti tertanya-tanya. Dari situ, timbul pula fitnah dan cakap-cakap yang tidak elok.
“ Terima kasih ustaz,” kata Wan.” Saya pergi dulu “
Dia bergegas masuk semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian , bunyi jirusan berhenti. Lebih setengah jam kemudian, Wan memberitahu saya, jenazah sudah pun di kapankan. Seperti lazimnya, ahli keluarga arwah merapati mayat untuk mencium dan membacakan ayat-ayat suci untuknya. Mayat di kebumikan tidak lama kemudian.
Selesai urusan, saya mendekati Wan, dan bertanya lebih lanjut kepadanya. Maklumlah, dia baru beberapa tahun terlibat dengan pengurusan jenazah dan tidak ada pengalaman menyempurnakan mayat yang sebegitu sifatnya. Nyata, Wan masih terkejut dengan apa yang di alaminya tadi.
“ Ustaz,” kata murid saya itu, “ bukan aja kemaluan arwah bengkak merening, bernanah, tapi buah dada dia pun jadi..jadi…macam mana saya nak cakap ya…” katanya tanpa menghabiskan kata-kata.
“ Jadi macam mana pulak, Wan ?” saya bertanya.
“ Hmmm…jadi kecut. Macam mana ustaz tengok buah pinang kering, kecut, berkedut, macam tu lah buah dada jenazah. Macam peria kecut. Saya bukan nak aibkan jenazah, tapi nak beritau ustaz aja. Saya tak pernah tengok benda-benda macam ni, jadi saya beritau supaya ustaz yang dah berpuluh tahun urs jenazah dapat membantu,” katanya.
Saya termenung. Aneh benar keadaan si mati. Bukannya hendak mengada-adakan sesuatu yang buruk, bukan….tapi terfikir saya, kenapa hanya di bahagian-bahagian sulitnya saja yang jadi jelik. Badannya macam biasa saja, tapi pelik sungguh…yang bawah merening, yang atas mengecut ?
Kalau dia sakit teruk, tak makan tak minum hingga badan tinggal tulang, mungkin juga. Itulah logiknya hingga buah dada arwah mengecut. Tapi arwah tidak macam tu. Dia Cuma terlantar seminggu di hospital. Makan minumnya terjaga.
“ Tak apalah, Wan. Serahkan lah sahaja pada Allah. Kita ni tak boleh nak syak wasangka tanpa bukti. Mungkin dia ada penyakit di bahagian itu, mana kita tau.
“ Anggaplah ini pengalaman yang baik, yang akan mengajar awak bagaimana untuk menguruskan jenazah-jenazah lain pada masa-masa akan datang.” Tambah saya lalu meminta diri.
Hendak di jadikan cerita, dua minggu kemudian Pahamin datang ke rumah saya. Dia mengadu tidak dapat tidur lena kerana selalu di ganggu bayangan arwah.
“ Kadang-kadang nampak kelibat dia dalam bilik tidur. Ada kalanya berbau wangi, macam perfume yang dia selalu guna. Anak-anak pula beritahu, pernah mereka terdengar bunyi tapak kaki berjalan dalam bilik arwah. Tapi bila buka, tak ada,” katanya.
Lama juga kami berbual, hinggalah masuk kepada bab keluarga. Tanpa sedar , dan tanpa di minta Pahamin membuka rahsia hubungan beliau dengan arwah. Langsung, tersingkaplah rahsia mengapa bahagian-bahagian sulit arwah menjadi demikian jelik.
“ Ustaz,” kata Pahamin, “ saya rasa, mungkin ia berlaku sebab arwah nusyuk dan melanggar sumpah.”
“ Sumpah ? Saya tak faham, Bang Min.”
“ Ya, sumpah. Saya akui, saya ni bukan baik sangat. Arwah pula bila jiran-jiran beritahu saya ada perempuan lain, dia mula naik angin. Dia kata, tak cukup dua, nak menggatal lagi. Tua tak sedar diri, katanya.
“ Hubungan kami jadi renggang. Kami selalu berselisih faham. Saya makin jarang balik ke rumah arwah. Kalau balik pun, tak ada lain…. Bertengkar, bertengkar, bertengkar.
“ Dalam masa yang sama , saya di maklumkan oleh kawan-kawan, arwah ada buat hbungan sulit dengan lelaki lain. Saya tanya dia, betul ke ? Dia tak mengaku. Macam-macam dia berdalih. Tapi saya tak percaya. Bagi saya, kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Hubungan kami makin hari makin teruk.
“ Kemuncaknya kami bertengkar hebat. Saya kata, ‘ Salmiah, cakap terus terang, awak ada buat hubungan dengan lelaki lain tak ? Awak ada buat benda tak senonoh tak ?
“ Dia tak mengaku. Saya kata, saya tak percaya. Lama kami bertengkar. Akhirnya dia kata, kalau suami boleh buat, boleh cari perempuan lain, kenapa isteri tidak ? Kata arwah dia masih muda, masih bergetah, bukannya susah sangat nak cari pasangan.
“ Bila saya kata, ‘ awak mesti dah buat benda terkutuk dengan lelaki lain’ arwah marah. Dia marah betul. Dia kata,’ saya bersumpah , kalau saya buat dengan orang lain, alat sulit saya ni akan di binasakan Tuhan.’
“ Lebih kurang tiga bulan lepas bersumpah, arwah sakit. Badan panas, tak boleh bangun, sampailah meninggal. Yang saya pelik, dan menyebabkan saya kata mayat dia jadi macam tu sebab derhaka dan melanggar sumpah ialah alat sulitnya merening manakala buah dada mengecut sebaik sampai ke rumah.
“ Kami perasan benda tu masa nak salin pakaiannya. Mula-mula nampak buah dadanya mengecut. Kemudian nampak pula bahagian alat sulitnya mengelembung, merening macam belon. Makin lama, makin besar dan keluar nanah,” kata Pahamin.
Saya termangu mendengarnya. “ Mungkin dia ada sakit di bahagian itu tak, Bang Min ?”
“ Tak …tak ada. Yang itu saya tau benar. Lagi pun saya tengok dia di hospital, buah dada dan alat kelaminnya normal,” tegas Pahamin.
Saya termenung. Ini sudah kes berat. Dalam hati saya berkata, mungkin ini lah balasan Tuhan pada isteri yang menderhaka, curang, nusyuk kepada suami.