10 bilionair bawah 35 tahun

Gambar :: Sergey Brin mempunyai kekayaan berjumlah RM59.5 bilion.

SEPULUH golongan muda sepatutnya berasa bertuah kerana mereka kini merupakan bilionair yang berumur di bawah 35 tahun. Menurut Forbes-New York Online yang disiarkan semalam, sebahagian mereka memperoleh kekayaan menerusi keringat manakala yang lain mewarisi kekayaan keluarga.

Menduduki tempat pertama dalam senarai itu adalah pengasas bersama enjin carian Google di internet, Sergey Brin yang berumur 34 tahun.Brin yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) memiliki kekayaan yang berjumlah AS$18.7 bilion (RM59.5 bilion) dan merupakan anak seorang profesor universiti.

Tempat kedua adalah rakan Brin yang juga membantunya mengasas Google iaitu Larry Page yang berumur 35 tahun tetapi memiliki kekayaan berjumlah AS$18.6 bilion (RM59.2 bilion).Page dan Brin bertemu di Universiti Stanford ketika mereka belajar untuk memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang sains komputer. Bagaimanapun, mereka keluar dari universiti itu untuk mencipta dan melancarkan enjin carian Google ketika berumur 25 tahun.Brin dan Page disenaraikan buat kali pertama sebagai bilionair ketika masing-masing berumur 30 dan 31 tahun.Pada tahun lalu, Page meminjam Pulau Necker milik bilionair Britain, Sir Richard Branson untuk melangsungkan perkahwinannya.

larry page

Sebanyak 600 tetamu menghadirinya termasuk penyanyi terkenal dari kumpulan U2, Bono dan bekas Presiden AS, Bill Clinton serta isterinya, Hillary.Menduduki tempat ketiga adalah seorang wanita dari China yang hanya berumur 26 tahun iaitu Yang Huiyan.Dia memiliki kekayaan berjumlah AS$7.4 bilion (RM23.5 bilion) menerusi warisan perniagaan keluarga daripada bapanya, Yeung Kwok Keung.Bapanya itu yang merupakan ketua syarikat hartanah Country Garden menyerahkan semua sahamnya kepada Kwok Keung pada 2005 iaitu tahun sama dia memperoleh ijazah dari Universiti Ohio State, AS.

Berada di tempat keempat adalah Kostyantin Zhevago dari Ukraine yang memiliki kekayaan berjumlah AS$3.4 bilion (RM10.8 bilion) dan kini berumur 34 tahun.Dia pernah menjadi pengarah kewangan di sebuah bank ketika berumur 19 tahun dan kemudian memperoleh saham majoriti dalam syarikatnya sendiri.Zhevago juga merupakan ahli parlimen di negaranya.

Menduduki tempat kelima adalah Xiaofeng Peng yang berumur 33 tahun yang memiliki jumlah kekayaan berjumlah AS$2.5 bilion (RM7.95 bilion).Dia menyertai perniagaan solar sejak tahun 2005 dengan mempunyai syarikat LDK Solar.

Berada di tangga keenam adalah Putera Albert von Thurn und Taxis dari Jerman yang hanya berumur 24 tahun tetapi mewarisi kekayaan berjumlah AS$2.3 bilion (RM7.32 bilion).Dia mewarisi kekayaan keluarganya sejak berumur 18 tahun dan tinggal di sebuah istana, memiliki tanah seluas 30,000 hektar dan menghabiskan masa lapangnya dengan memandu kereta lumba.

Menduduki tempat ketujuh adalah Xian Yang dari China yang berumur 34 tahun tetapi memiliki kekayaan berjumlah AS$1.6 bilion (RM5 bilion).Graduan dari Sekolah Polis Rakyat Sichuan dan bekas pegawai kastam itu memperoleh kekayaan menerusi perniagaan batu arang.Dia menyenaraikan syarikatnya Hidili Industry pada September 2007 di Hong Kong.

Berada di tempat kelapan adalah John Arnold dari AS yang berumur 34 tahun tetapi memiliki kekayaan berjumlah AS$1.5 bilion (AS$4.7 bilion).Arnold merupakan graduan pintar yang tamat belajar di Universiti Vanderbilt. Dia kemudian menjadi pedagang minyak untuk syarikat Enron. Selepas perniagaan syarikat itu runtuh, dia memulakan perniagaan dana lindung nilai, Centaurus Energy.Arnold merupakan senarai baru dalam bilionair muda Forbes.


Gambar :: Shivinder Singh

Menduduki tempat kesembilan adalah Shivinder Singh dari India yang berumur 32 tahun dan abangnya Malvinder Singh yang berusia 35 tahun. Kedua-duanya berkongsi kekayaan berjumlah AS$2.5 bilion (RM7.95 bilion) menerusi warisan perniagaan keluarganya.Shivinder dan adiknya, Malvinder mewarisi kawalan syarikat ubat Ranbaxy Laboratories. Ketika ini, Malvinder mengetuai Ranbaxy manakala Shivinder mengendalikan rangkaian hospital Fortis Healthcare.

Tempat terakhir adalah seorang wanita dari Lebanon, Hind Hariri yang berumur 24 tahun dan merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri. Hind merupakan lulusan Universiti America Lebanon di Beirut dengan memperoleh kekayaan berjumlah AS$1.1 bilion (RM3.5 bilion) menerusi perniagaan keluarganya.


Gambar :: Hind Hariri

Dia kerap menyaksikan pertunjukan fesyen di Paris selain meminati ciptaan syarikat pakaian Chanel. – Agensi


No comments: