Pasaran saham akan kembali pulih dalam masa singkat

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH, CYNTHIA YEOH dan SARAH NADLIN ROHIM

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pasaran saham tempatan yang merudum hari ini telah dijangka lebih awal berikutan kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak pelabur memang menjangkakan kejatuhan pasaran saham pada hari ini.''Kesan kejatuhan akan dapat dirasa terhadap pasaran saham di mana-mana negara sekiranya sesebuah kerajaan mengalami perubahan.''Kemenangan majoriti mudah BN telah memberi kesan yang ketara kepada pasaran dengan pelabur berada dalam keliru dengan hala tuju ekonomi negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) merudum 10.03 peratus atau 130.11 mata kepada 1,162.32 mata pada sesi petang sehingga memaksa Bursa Malaysia menghentikan urusniaga selama sejam bagi menstabilkan pasaran dan meredakan keadaan panik di kalangan pelabur.Urusniaga kemudian disambung semula sebelum IKKL ditutup rendah pada 1,173.22 mata menyaksikan kejatuhan sebanyak 123.11 mata.

Menurut Nong Chik, kejatuhan pasaran saham ini adalah bersifat sementara dan proses pemulihan dijangka akan mengambil masa sedikit.''Setakat ini para pelabur masih menunggu perkembangan keadaan politik selanjutnya terutama yang melibatkan kepimpinan BN, sebelum mengambil langkah memasuki semula pasaran,'' tambahnya.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Mohamed Al Attas berkata, para peniaga tidak perlu bimbang dengan keadaan pasaran saham sekarang kerana ia bukan merupakan faktor utama dalam penentuan keadaan ekonomi negara.''Pasaran dijangka pulih semula dalam jangka masa terdekat apabila keadaan politik kembali stabil,'' katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa syarikat broker saham hari ini mendapati para remisier dan pelabur kelihatan murung dengan prestasi pasaran.Seorang remisier, Anuar Kadir, 52, berkata, kejatuhan teruk pasaran itu disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran yang berlaku di negara ini dan juga di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, di Malaysia, senario perubahan geopolitik merupakan faktor utama mencetuskan kebimbangan di kalangan para pelabur."Para pelabur berada dalam keliru kerana tidak tahu hala tuju ekonomi negara berikutan kemenangan tipis BN pada pilihan raya umum kali ini."Pada masa yang sama, mereka juga risau mengenai kemelesetan ekonomi di AS, ekoran ekonomi yang tidak menentu di itu," katanya.

Bagi seorang pelabur, Shafie Md. Dom, kejatuhan teruk pasaran hari ini berkaitan dengan keputusan pilihan raya apabila BN gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang.Menurutnya, kebiasaannya kejatuhan pasaran saham tempatan akibat kesan daripada ekonomi AS hanya melibatkan kejatuhan sekitar 20 mata.Ramai peniaga dan pelabur mengalami kerugian akibat perkembangan itu, katanya."Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang rugi. Ramai lagi pelabur yang rugi," jelasnya.

Pesara swasta, Gopalan Maniam pula berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM8,000 sebelum urusniaga Bursa Malaysia dihentikan selama sejam.Menurutnya, kejatuhan pasaran itu merupakan perkara biasa bagi pelabur dan menganggapnya sebagai satu risiko pelaburan."Beginilah senario pasaran saham. Sekejap naik dan sekejap turun," katanya

No comments: