Kekayaan datang bergolek

TIGA tahun lalu, seorang rakyat Britain, Michael Birch dan isterinya, Xochi dari Amerika Syarikat (AS) menubuhkan sebuah laman jaringan sosial di internet iaitu Bebo dengan kos sebanyak £8,000 (RM51,302).Kelmarin, kedua-duanya yang merupakan pengasas Bebo menjual laman web itu pada harga £417 juta (RM2.6 bilion) kepada American Online (AOL) milik Time Warner.Seorang lagi pengasas laman web itu adalah adik Birch, Paul.Pengambilalihan laman web sosial itu oleh AOL yang merupakan syarikat komputer gergasi AS merupakan satu kisah luar biasa untuk pasangan suami isteri tersebut.




Birch yang berumur 37 tahun yang merupakan seorang pengatur cara komputer berkenalan dengan isterinya di Kolej Imperial di London.Dia mengikuti pengajian sarjana muda sains dalam bidang fizik di kolej itu pada 1988 hingga 1991.Dia yang meminati komputer tetapi tidak mempunyai hobi meletakkan jawatan di sebuah syarikat insurans pada 1999 untuk meneruskan mimpinya mengendalikan sebuah firma.



Birch dan isterinya kemudian melancarkan laman web Bebo pada Julai 2005 dan ia kini merupakan salah sebuah laman web sosial terbesar di dunia dengan mempunyai anggota lebih 40 juta orang.Laman web Bebo merupakan hab digital untuk berjuta-juta golongan muda di mana ia menawarkan e-mel, video, gambar, televisyen dan panggilan telefon percuma.Menerusi laman itu, para pelanggan boleh menyiarkan gambar dan biografi masing-masing dan menyenaraikan perkara yang disukai atau tidak digemari mereka.Pengguna-pengguna laman web itu juga boleh mereka bentuk laman sendiri dengan menggunakan kreativiti masing-masing.



Pasangan itu yang tinggal di San Francisco, AS dilaporkan sangat gembira berikutan tindakan AOL mahu membeli laman web Bebo.Laman web itu adalah antara jaringan sosial di Britain, Ireland dan New Zealand.Ia berada di tempat ketiga di AS di belakang laman web MySpace dan Facebook.Birch dilahirkan di Chesnut, Hertfordshire dan dia serta isterinya kini mempunyai dua anak.



Walaupun tinggal di San Francisco, Birch masih mempunyai sebuah flat di West London dan menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki Inggeris sejati.Laman web sosial Bebo itu mempunyai 100 pekerja di England, dan pejabatnya juga terletak di San Francisco dan Austin, Texas.Setakat ini, dia masih mengekalkan sikap merendahkan diri berikutan penjualan yang tidak diduga itu.Laman web Bebo juga dikaitkan dengan beberapa siri kejadian bunuh diri di Bridgend, selatan Wales. - Agensi

No comments: