KOTA KINABALU: Walaupun kesemua 13 pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee masih berharap beberapa orang daripada mereka akan menyokong pendirian SAPP yang hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu.
Yong berkata, beliau menjangka sekurang-kurang dua parti komponen akan dengan senang hati menerima apa juga keputusan kepimpinan pusat, tetapi percaya ada yang lain yang sentiasa berpegang pada suara hati akan menyokong beliau.“Saya rasa ramai orang akan sokong kami. Saya tahu beberapa pemimpin di peringkat Federal dan dari negeri lain, pada asasnya sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.
“Beberapa orang membayangkannya dalam parti sendiri,” katanya kepada pemberita di pondok parti itu didirikan bagi berinteraksi dengan orang ramai di pasar minggu Gaya Street di sini hari ini.Kesemua 13 pemimpin parti komponen BN menolak usul tidak percaya SAPP itu pada mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN Khamis lepas dengan menyatakan ia tindakan tidak beretika dan bertentangan dengan semangat BN.
Mengulas kenyataan setiausaha agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Yong antara lain berkata, kerajaan pusat perlu menghapuskan sikap melayan negeri sebagai ’bapa kepada anak’, sebaliknya perlu melihat negeri sebagai rakan sebaya.
Beliau berkata, bentuk hubungan sekarang tidak sihat oleh kerana ia menyekat anggota gabungan BN daripada meluahkan perasaan mereka.“Adalah lebih baik jika kerajaan pusat dapat mengubahsuai mentaliti, sikap dan mindset bahawa kita adalah rakan.“Kita harap apa yang kita lihat sekarang...akan membawa perubahan tentang bagaiman kepimpinan pusat melihat negeri-negeri,” kata beliau. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment