Terlalu awal lihat kesan kenaikan bahan bakar: Dr Zeti

KUALA LUMPUR: Terlalu awal untuk melihat kesan kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini terhadap inflasi dan pertumbuhan, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Beliau berkata, Bank Pusat itu perlu mengkaji dengan teliti impaknya berikutan kesannya bukan hanya kelembapan sektor luar tetapi juga membabitkan kesan pakej rangsangan yang disediakan serta keadaan kenaikan harga disebabkan oleh peningkatan kos.

“Kita perlu membuat penilaian yang berhati-hati sama ada ia disalurkan kepada pengguna. Bila ini berlaku, barulah ada inflasi apabila terdapat kenaikan harga yang menyeluruh,” katanya. Pada masa ini, kata beliau, hanya kenaikan harga yang khusus. “Terlalu awal untuk menilai sama ada ia disalurkan dan sama ada pengeluar mempunyai kemampuan seperti apa yang mereka sudah lakukan dalam menyerap sebahagian daripada kenaikan kos.

"Kemudiannya, reaksi pengguna, sama ada mereka akan terus dengan permintaan yang amat kukuh atau sama ada kita akan melihat kepada kesederhanaan. “Semua ini akan dinilai dengan teliti pada bulan-bulan akan datang memandangkan kita menentukan respons dasar kewangan kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program sarjana kewangan Islam INCEIF di sini hari ini.

Dasar kadar faedah Bank Negara akan bergantung kepada tinjauan masa depan inflasi dan pertumbuhan, katanya. Mengenai keadaan memasuki lingkungan kadar faedah negatif, beliau berkata Malaysia dari masa ke masa mempunyai kadar faedah sebenar negatif tetapi selagi ia tidak fundamental, ia tidak akan menjejaskan permintaan pengguna dan kedudukan pengguna. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Bank Negara tidak mempengaruhi sentimen pendasar pasaran kewangan.

“Bagi kami, operasi campur tangan kami akan ditentukan oleh keadaan yang tersusun. Sentimen pendasar bukan suatu yang kami cuba pengaruhi,” katanya semasa ditanya mengenai laporan Morgan Stanley bahawa usaha bank pusat Asia untuk campur tangan di pasaran tidak akan berjaya untuk mengelak pengukuhan dolar AS. Dr Zeti berkata dari semasa ke semasa, akan terdapat peningkatan ketidakstabilan kerana ketidaktentuan yang timbul di dalam sistem kewangan antarabangsa.

“Dari masa ke masa, pelbagai institusi antarabangsa mengumumkan kedudukan kewangan mereka dan ini memberi kesan terhadap pasaran kewangan. Pengumuman sedemikian dibuat dengan pelbagai dasar memberi kesan kepada pasaran kewangan. "Hanya selepas keadaan sedemikian reda, kadar tukaran dan kadar lain di pasaran kewangan akan stabil dan akan terdapat potensi untuk pemulihan normal dan penerusan pertumbuhan keseluruhan," katanya. - Bernama

No comments: