Ayam proses naik harga

MUAR 2 Jun - Para peniaga di sini mendakwa tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menjual daging ayam proses melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6 sekilogram berikutan kenaikan harga ayam dari ladang.Mereka terpaksa menjual ayam proses pada harga RM6.30 hingga RM7 sekilogram mulai semalam berikutan langkah Persekutuan Penternak-Penternak Malaysia menaikkan harga ayam dari ladang daripada RM4.50 kepada RM4.80 satu kilogram sejak Khamis lalu.

Malah, sekumpulan peniaga ayam proses di sini yang kecewa dengan kenaikan itu berkata, mereka diberi jaminan oleh persatuan penternak bahawa persatuan itu akan menanggung segala kos sekiranya didenda kerana menjual ayam pada harga yang tinggi.Jurucakap kumpulan peniaga tersebut, Latif Talip berkata, walaupun tiada jaminan bertulis diberikan oleh persatuan itu, para peniaga diarahkan untuk menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

"Para peniaga kini kebingungan kerana sekiranya kami masih menjual ayam pada harga lama, tidak mustahil ramai peniaga yang mengalami kerugian dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam di daerah ini," katanya di sini hari ini.Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan laporan mengenai para peniaga ayam di sekitar bandar ini terkejut dengan kenaikan harga ayam dari ladang secara mendadak, melebihi paras harga siling yang ditetapkan.

Mereka yang menerima surat mengenai kenaikan harga ayam hidup daripada Persekutuan Penternak-Penternak Malaysia kesal kerana kenaikan itu dibuat secara mendadak dan berkuat kuasa serta-merta.Berikutan kenaikan harga tersebut, harga baru yang dikuatkuasakan ialah RM4.80 satu kilogram naik sebanyak 30 sen berbanding harga siling yang ditetapkan untuk ayam hidup dari ladang sebelum ini iaitu RM4.50 satu kilogram.

Menurut Latif, sejak isu itu ditimbulkan tiga hari lalu, tiada sebarang pengumuman dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab mengenai harga ayam berkenaan.Berikutan itu, katanya, para peniaga sepakat untuk menaikkan harga ayam proses mulai semalam kerana tiada sebarang langkah atau usaha pihak yang terlibat bagi menjelaskan permasalahan itu."Sekiranya kami dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, kami akan meminta pegawai tersebut untuk mengambil tindakan terhadap persatuan kerana mereka yang terlebih dulu melanggar peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.

No comments: