RM2,000 dianggap bergaji rendah

KUALA LUMPUR: Peratusan kadar kemiskinan negara akan meningkat kepada 24.3 peratus jika paras garis kemiskinan (PGK) dinaikkan daripada RM800 ketika ini kepada RM1,500 sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham A Aziz.

"Pengiraan nilai PGK negara adalah berasaskan kaedah khusus, selaras takrifan PGK iaitu pendapatan mencukupi bagi membolehkan setiap isi rumah memenuhi keperluan asas merangkumi makanan dan bukan makanan untuk membolehkan mereka berfungsi dalam masyarakat. "Bagaimanapun, PGK akan dikemas kini dari semasa ke semasa dengan mengambil kira keadaan inflasi semasa dan kerajaan sudah meningkatkan definisi golongan berpendapatan rendah kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) yang menyifatkan PGK pada kadar RM800 sebulan sebagai terlalu rendah dan tidak munasabah untuk membiayai keluarga, justeru ia perlu dinaikkan kepada RM1,500 sebulan. Berdasarkan PGK semasa sebanyak RM800 sebulan, paras kemiskinan dan miskin tegar tahun lalu 3.7 peratus dan kerajaan menerusi pelbagai program yang dirangka mensasarkan paras itu menurun kepada 2.8 peratus menjelang 2010.

Amirsham berkata, kerajaan memang sedar kesan inflasi dan kenaikan harga barangan yang dihadapi negara sekarang akan mempengaruhi perbelanjaan isi rumah. Katanya, PGK negara belum mengambil kira kesan ketara daripada kenaikan harga minyak yang diumumkan baru-baru ini. "Kerajaan tidak menafikan selain rakyat miskin, ada juga golongan berpendapatan rendah iaitu dalam kategori pendapatan melebihi kadar PGK pada RM753 sebulan tetapi kurang RM1,500 sebulan," katanya.

Mengulas lanjut, Amirsham berkata, komponen keperluan asas yang dimasukkan dalam pengiraan PGK ialah makanan, pakaian dan perbelanjaan lain seperti sewa kediaman, bahan api dan tenaga, pengangkutan, kesihatan, pelajaran dan rekreasi. "PGK yang digunakan adalah pendapatan perbelanjaan bagi keperluan minimum dan asas semata-mata, tiada ruang untuk bermewah seperti menghantar anak ke sekolah swasta atau kelas tuisyen, mendapat rawatan perubatan daripada klinik swasta atau makan di luar rumah seperti di gerai dan restoran," katanya.

Menjawab soalan tambahan Abd Khalid, adakah kerajaan akan menyokong syarat gaji minimum RM1,500 sebulan, beliau berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan kerajaan. Kepada soalan tambahan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mengenai langkah mengenal pasti golongan miskin tegar, Amirsham berkata, selain mengenal pasti, kerajaan juga merangka beberapa usaha untuk meningkatkan pendapatan golongan itu, terutama menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk memberi pinjaman mikro bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan.

No comments: