Salah guna kereta kerajaan

SEREMBAN – Ada kakitangan awam di seluruh negara dipercayai cuba menyeleweng apabila didakwa menyalahgunakan kenderaan milik jabatan untuk kegunaan peribadi kerana mahu mengelak membayar kos petrol dan diesel yang mengalami kenaikan harga baru-baru ini.

Mereka termasuk yang berjawatan pegawai kanan dilaporkan mengguna kenderaan milik jabatan atas tujuan peribadi seperti untuk bercuti atau balik kampung.Senario itu jelas ketara selepas kerajaan mengumumkan harga bahan api kenderaan 5 Jun lalu.Ini diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri, Dr. Chua Hong Teck yang serentak itu meminta orang ramai atau kakitangan yang mempunyai bukti mengenai kes itu tampil membuat aduan.

“Orang awam yang ada bukti sila tampil buat aduan dengan bukti-bukti yang lengkap.“Ketua-ketua jabatan yang dipertanggungjawab seharusnya memantau rekod aktiviti kenderaan di bawah jabatan masing-masing,” ujarnya.Sementara itu, satu sumber yang enggan namanya disiarkan memberitahu, masalah tersebut telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun dakwanya, oleh kerana terlalu banyak kekangan birokrasi telah menyebabkan mereka yang bertanggung jawab terlepas begitu sahaja.“Ada pegawai dari Putrajaya menggunakan kenderaan pacuan empat roda mewah balik ke kampung selama dua hari. Kalau berlaku kemalangan melibatkan kakitangan menggunakan kenderaan bukan urusan rasmi pasti akan menimbulkan masalah,” dakwanya di sini semalam.

Pihak berkenaan cuba mengambil kesempatan dalam isu kenaikan harga petrol dan diesel dengan ‘melanyak’ kenderaan jabatan sesuka hati.Menurut sumber itu lagi, jika tiada sebarang tindakan, ia akan merugikan kerajaan berikutan perbelanjaan kos petrol, diesel dan kos penyelenggaraan kenderaan dibayar tanpa mengetahui aktiviti kegunaan kenderaan tersebut.

“Selain dapat menjimat petrol, mereka juga dikecuali daripada membayar tol ketika menggunakan lebuh raya.“Antara sebab mengapa mereka mudah menggunakan kenderaan ini ialah, orang ramai tidak sedar siapa yang menggunakan kenderaan itu, kenderaan itu kebanyakan bercermin gelap dan hanya unit dalaman jabatan itu sahaja yang tahu aktiviti kenderaan itu,” jelas beliau.

Antara kenderaan yang digunakan ialah jenis Toyota Fortuner, Nissan X-Trail, Proton Waja, Proton Perdana serta Mitsubishi Pajero.

No comments: