Showing posts with label pelaburan. Show all posts
Showing posts with label pelaburan. Show all posts

Pasaran saham akan kembali pulih dalam masa singkat

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH, CYNTHIA YEOH dan SARAH NADLIN ROHIM

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pasaran saham tempatan yang merudum hari ini telah dijangka lebih awal berikutan kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak pelabur memang menjangkakan kejatuhan pasaran saham pada hari ini.''Kesan kejatuhan akan dapat dirasa terhadap pasaran saham di mana-mana negara sekiranya sesebuah kerajaan mengalami perubahan.''Kemenangan majoriti mudah BN telah memberi kesan yang ketara kepada pasaran dengan pelabur berada dalam keliru dengan hala tuju ekonomi negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) merudum 10.03 peratus atau 130.11 mata kepada 1,162.32 mata pada sesi petang sehingga memaksa Bursa Malaysia menghentikan urusniaga selama sejam bagi menstabilkan pasaran dan meredakan keadaan panik di kalangan pelabur.Urusniaga kemudian disambung semula sebelum IKKL ditutup rendah pada 1,173.22 mata menyaksikan kejatuhan sebanyak 123.11 mata.

Menurut Nong Chik, kejatuhan pasaran saham ini adalah bersifat sementara dan proses pemulihan dijangka akan mengambil masa sedikit.''Setakat ini para pelabur masih menunggu perkembangan keadaan politik selanjutnya terutama yang melibatkan kepimpinan BN, sebelum mengambil langkah memasuki semula pasaran,'' tambahnya.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Mohamed Al Attas berkata, para peniaga tidak perlu bimbang dengan keadaan pasaran saham sekarang kerana ia bukan merupakan faktor utama dalam penentuan keadaan ekonomi negara.''Pasaran dijangka pulih semula dalam jangka masa terdekat apabila keadaan politik kembali stabil,'' katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa syarikat broker saham hari ini mendapati para remisier dan pelabur kelihatan murung dengan prestasi pasaran.Seorang remisier, Anuar Kadir, 52, berkata, kejatuhan teruk pasaran itu disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran yang berlaku di negara ini dan juga di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, di Malaysia, senario perubahan geopolitik merupakan faktor utama mencetuskan kebimbangan di kalangan para pelabur."Para pelabur berada dalam keliru kerana tidak tahu hala tuju ekonomi negara berikutan kemenangan tipis BN pada pilihan raya umum kali ini."Pada masa yang sama, mereka juga risau mengenai kemelesetan ekonomi di AS, ekoran ekonomi yang tidak menentu di itu," katanya.

Bagi seorang pelabur, Shafie Md. Dom, kejatuhan teruk pasaran hari ini berkaitan dengan keputusan pilihan raya apabila BN gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang.Menurutnya, kebiasaannya kejatuhan pasaran saham tempatan akibat kesan daripada ekonomi AS hanya melibatkan kejatuhan sekitar 20 mata.Ramai peniaga dan pelabur mengalami kerugian akibat perkembangan itu, katanya."Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang rugi. Ramai lagi pelabur yang rugi," jelasnya.

Pesara swasta, Gopalan Maniam pula berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM8,000 sebelum urusniaga Bursa Malaysia dihentikan selama sejam.Menurutnya, kejatuhan pasaran itu merupakan perkara biasa bagi pelabur dan menganggapnya sebagai satu risiko pelaburan."Beginilah senario pasaran saham. Sekejap naik dan sekejap turun," katanya

Bagaimana membina bajet?

Membuat bajet sendiri kadangkala bukanlah sesuatu yang seronok untuk dilakukan. Apatah lagi bila diakhir-akhir pengiraan, wang anda lebih banyak dialirkan untuk membayar hutang-hutang yang sedia ada. Akan tetapi realitinya inilah perkara yang anda harus lakukan dalam menentukan kewangan keluarga anda sentiasa dipantau dan keluar masuk kewangan anda dapat ditentukan oleh anda.

Disini saya berkongsi dengan anda bagaimana menentukan bajet anda:

1. Kumpulkan semua bil-bil bayaran anda. Ia termasuklah penyata bank, akaun pelaburan, bil utiliti dan semua bil-bil pembayaran mahupun pendapatan sampingan anda. Dengan cara ini anda dapat menentukan berapa purata pengeluaran kewangan anda setiap bulan.

2. Rekod semua sumber pendapatan anda. Jika anda bekerja sendiri dan mempunyai banyak pendapatan sampingan diluar, pastikan income anda itu dicatat dengan sebaiknya dan dengan teliti. Jika anda sedang bekerja, catatkan gaji yang anda terima setiap bulan.

3. Bina senarai perbelanjaan bulanan. Senaraikan perbelanjaan keluar wang anda yang sentiasa berulang-ulang. Contohnya bayaran kereta, insurans, utiliti, dan sebagainya. Ianya bolehlah dikatagorikan sebagai bayaran tetap setiap bulan yang perlu anda bayar.

4. Buat pecahan untuk bayaran tetap dan bayaran berubah. Tetapkan bayaran yang tetap setiap bulan, contohnya bayaran untuk kereta, rumah, pinjaman da sebagainya. Manakala bayaran berubah adalah seperti bayaran utiliti, termasuk wang dapur, bayaran persekolahan anak, topup dan minyak kereta.

5. Kira keseluruhan jumlah pendapatan dan jumlah pengeluaran.Adalah amat penting untuk anda mengira keseluruhan jumlah pendapatan dan pengeluaran dan sentiasa membuat perbandingan. Jika anda mendapati banyak perbelanjaan keluar, anda harus membuat pemantauan semula dan perbelanjaan besar ini perlu dikurangkan sedikit.

6. Pantau setiap bulan perbelanjaan anda. Perbelanjaan anda perlu dipantau setiap bulan. Jika anda perlu menyediakan buku log khas keluar masuk duit anda ia amat digalakkan.
Dalam penentuan bajet diri atau bajet keluarga anda, amat penting disiplin diri yang tinggi.

Kawallah nafsu anda untuk berbelanja besar dan lebih. Buat simpanan tetap setiap bulan, dan nikmatinya saat tiba masa.Selamat menyediakan bajet anda!

UAE Teratas Dalam Senarai Pelabur Arab Di Luar Negara, Kata PBB


DUBAI, 25 Feb. - Rentetan pengambilalihan besar-besaran di seberang laut menjadikan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pelabur Arab terbesar di seberang laut, dengan janji niaga keseluruhan berjumlah lebih AS$26 bilion dalam tempoh tujuh tahun, demikian menurut majalah Emirates Business.Memetik data-data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 2000 hingga 2006, Emirates Business berkata UAE sahaja menguasai lebih separuh daripada keseluruhan nilai pengambilalihan yang dilaksanakan oleh enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).


Menurut perangkaan Persidangan Perdagangan & Pembangunan PBB (Unctad), daripada jumlah yang tidak seberapa dalam tempoh 2000-2004, transaksi pengambilalihan UAE meningkat dengan mendadak kepada AS$4.7 bilion pada 2005 dan $21.6 bilion pada 2006 sekali gus melonjakkan nilai pengambilalihannya di luar negara kepada AS$26.5 bilion dalam tempoh 2000-2006.Peningkatan itu menjadikan UAE pembeli aset asing di luar negara terbesar di kalangan negara-negara Arab.


Mesir menduduki tempat kedua dengan pengambilalihan bernilai kira-kira AS$19.7 bilion dalam tempoh itu, diikuti Arab Saudi (AS$9.11 bilion) dan Kuwait (hampir AS$6.6 bilion).Meskipun saiz dan sumber minyaknya kecil, namun Bahrain muncul sebagai pelabur besar dalam pengambilalihan di luar negara dengan jumlah pelaburan bernilai AS$3.6 bilion dalam tempoh 2000-2006.


Lebanon juga merupakan pelabur penting dengan pengambilalihan bernilai kira-kira AS$$1.5 bilion.Emirates Business berkata laporan itu menunjukkan pengambilalihan GCC yang terdiri daripada UAE, Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Qatar dan Oman, secara tergabung berjumlah kira-kira AS$46.7 bilion dalam tempoh 2000-2006.


Lebih setengah daripada urus niaga berkenaan dibuat pada 2006, melibatkan jumlah kira-kira AS$29.9 bilion.Kata Emirates Business, laporan PBB itu tidak memberikan perangkaan bagi 2007 tetapi memetik pegawai bank sebagai berkata jumlah keseluruhan transaksi pengambilalihan oleh GCC mungkin telah melebihi AS$70 bilion.