Showing posts with label malaysia. Show all posts
Showing posts with label malaysia. Show all posts

RM2,000 dianggap bergaji rendah

KUALA LUMPUR: Peratusan kadar kemiskinan negara akan meningkat kepada 24.3 peratus jika paras garis kemiskinan (PGK) dinaikkan daripada RM800 ketika ini kepada RM1,500 sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham A Aziz.

"Pengiraan nilai PGK negara adalah berasaskan kaedah khusus, selaras takrifan PGK iaitu pendapatan mencukupi bagi membolehkan setiap isi rumah memenuhi keperluan asas merangkumi makanan dan bukan makanan untuk membolehkan mereka berfungsi dalam masyarakat. "Bagaimanapun, PGK akan dikemas kini dari semasa ke semasa dengan mengambil kira keadaan inflasi semasa dan kerajaan sudah meningkatkan definisi golongan berpendapatan rendah kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) yang menyifatkan PGK pada kadar RM800 sebulan sebagai terlalu rendah dan tidak munasabah untuk membiayai keluarga, justeru ia perlu dinaikkan kepada RM1,500 sebulan. Berdasarkan PGK semasa sebanyak RM800 sebulan, paras kemiskinan dan miskin tegar tahun lalu 3.7 peratus dan kerajaan menerusi pelbagai program yang dirangka mensasarkan paras itu menurun kepada 2.8 peratus menjelang 2010.

Amirsham berkata, kerajaan memang sedar kesan inflasi dan kenaikan harga barangan yang dihadapi negara sekarang akan mempengaruhi perbelanjaan isi rumah. Katanya, PGK negara belum mengambil kira kesan ketara daripada kenaikan harga minyak yang diumumkan baru-baru ini. "Kerajaan tidak menafikan selain rakyat miskin, ada juga golongan berpendapatan rendah iaitu dalam kategori pendapatan melebihi kadar PGK pada RM753 sebulan tetapi kurang RM1,500 sebulan," katanya.

Mengulas lanjut, Amirsham berkata, komponen keperluan asas yang dimasukkan dalam pengiraan PGK ialah makanan, pakaian dan perbelanjaan lain seperti sewa kediaman, bahan api dan tenaga, pengangkutan, kesihatan, pelajaran dan rekreasi. "PGK yang digunakan adalah pendapatan perbelanjaan bagi keperluan minimum dan asas semata-mata, tiada ruang untuk bermewah seperti menghantar anak ke sekolah swasta atau kelas tuisyen, mendapat rawatan perubatan daripada klinik swasta atau makan di luar rumah seperti di gerai dan restoran," katanya.

Menjawab soalan tambahan Abd Khalid, adakah kerajaan akan menyokong syarat gaji minimum RM1,500 sebulan, beliau berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan kerajaan. Kepada soalan tambahan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mengenai langkah mengenal pasti golongan miskin tegar, Amirsham berkata, selain mengenal pasti, kerajaan juga merangka beberapa usaha untuk meningkatkan pendapatan golongan itu, terutama menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk memberi pinjaman mikro bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Salah guna kereta kerajaan

SEREMBAN – Ada kakitangan awam di seluruh negara dipercayai cuba menyeleweng apabila didakwa menyalahgunakan kenderaan milik jabatan untuk kegunaan peribadi kerana mahu mengelak membayar kos petrol dan diesel yang mengalami kenaikan harga baru-baru ini.

Mereka termasuk yang berjawatan pegawai kanan dilaporkan mengguna kenderaan milik jabatan atas tujuan peribadi seperti untuk bercuti atau balik kampung.Senario itu jelas ketara selepas kerajaan mengumumkan harga bahan api kenderaan 5 Jun lalu.Ini diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri, Dr. Chua Hong Teck yang serentak itu meminta orang ramai atau kakitangan yang mempunyai bukti mengenai kes itu tampil membuat aduan.

“Orang awam yang ada bukti sila tampil buat aduan dengan bukti-bukti yang lengkap.“Ketua-ketua jabatan yang dipertanggungjawab seharusnya memantau rekod aktiviti kenderaan di bawah jabatan masing-masing,” ujarnya.Sementara itu, satu sumber yang enggan namanya disiarkan memberitahu, masalah tersebut telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun dakwanya, oleh kerana terlalu banyak kekangan birokrasi telah menyebabkan mereka yang bertanggung jawab terlepas begitu sahaja.“Ada pegawai dari Putrajaya menggunakan kenderaan pacuan empat roda mewah balik ke kampung selama dua hari. Kalau berlaku kemalangan melibatkan kakitangan menggunakan kenderaan bukan urusan rasmi pasti akan menimbulkan masalah,” dakwanya di sini semalam.

Pihak berkenaan cuba mengambil kesempatan dalam isu kenaikan harga petrol dan diesel dengan ‘melanyak’ kenderaan jabatan sesuka hati.Menurut sumber itu lagi, jika tiada sebarang tindakan, ia akan merugikan kerajaan berikutan perbelanjaan kos petrol, diesel dan kos penyelenggaraan kenderaan dibayar tanpa mengetahui aktiviti kegunaan kenderaan tersebut.

“Selain dapat menjimat petrol, mereka juga dikecuali daripada membayar tol ketika menggunakan lebuh raya.“Antara sebab mengapa mereka mudah menggunakan kenderaan ini ialah, orang ramai tidak sedar siapa yang menggunakan kenderaan itu, kenderaan itu kebanyakan bercermin gelap dan hanya unit dalaman jabatan itu sahaja yang tahu aktiviti kenderaan itu,” jelas beliau.

Antara kenderaan yang digunakan ialah jenis Toyota Fortuner, Nissan X-Trail, Proton Waja, Proton Perdana serta Mitsubishi Pajero.

Gincu, tumit tinggi haram di K. Bharu

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan larangan terbaru kepada pekerja Islam, antaranya tidak memakai gincu dan kasut tumit tinggi yang tidak mengeluarkan bunyi.Yang dipertuanya Shafie Ismail berkata arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya lagi, lapor Bernama, muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.Jika hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah, katanya dalam pekeliling yang dikeluarkan kepada mereka yang bekerja mengendalikan semua premis dalam kawasan MPKB-BRI.

Etika berpakaian yang perlu dipatuhi termasuklah memakai tudung labuh, tidak jarang dan menutup dada; memakai baju berlenganpanjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.Shafie berkata mereka yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan kompaun seperti peruntukan Undang-Undang Kecil MPKB-BRI 1986 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikompaun tidak lebih RM500.

'Nasi ganja' nasi kandar istimewa Ipoh

IPOH 23 Jun - Kalau berkunjung ke bandar raya ini, tidak sah rasanya kalau tidak singgah makan nasi kandar di sebuah gerai yang terletak dalam sebuah restoran Cina lama iaitu Kedai Kopi Yong Suan di Jalan Yang Kalsom, di sini.Gerai tersebut yang telah dibuka sejak tahun 1960 iaitu seusia kedai kopi itu bukan sahaja yang tertua di bandar raya ini, malah yang paling popular di kalangan penggemar nasi kandar.

Walaupun nama asal masakan itu ialah Nasi Kandar Ayam Merah, kebanyakan orang menggelarkannya sebagai 'nasi ganja' kerana kesedapannya boleh membuatkan orang merasa 'ketagih'.Warga bandar raya ini yang pernah mencuba 'nasi ganja' itu pasti akan menjadi pelanggan setia masakan itu manakala orang dari luar pula tidak akan lupa singgah makan di situ setiap kali berkunjung ke bandar raya ini.

Sekiranya anda berkunjung ke restoran itu pada waktu tengah hari, anda bukan sahaja terpaksa beratur panjang malah sukar untuk mendapat tempat duduk.Bagaimanapun, penggemar masakan itu sanggup beratur panjang untuk semata-mata untuk menghilangkan rasa 'ketagihan' mereka terhadap 'nasi ganja'.

Menariknya, pelanggan restoran itu terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina dan India walaupun ia merupakan kedai kopi Cina.

Kerajaan tidak pernah pinggirkan pembangkang

KANGAR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan pihak pembangkang sebaliknya diberi peluang menikmati kemudahan yang disediakan melalui pelbagai program pembangunan, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sehubungan itu, beliau berharap jabatan dan agensi yang mempunyai tanggungjawab khusus terhadap masyarakat termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) supaya tidak bersikap pilih kasih terutama dalam menyalurkan bantuan.Sebagai contoh, beliau berkata, bantuan kepada pelajar miskin bagi meneruskan pelajaran menjadi satu keutamaan meskipun ibu bapa mereka adalah anggota parti pembangkang.

“Jangan fikirkan perbedaan politik tapi kena fikir masa depan anak yang perlu dibantu untuk belajar,” katanya berucap pada majlis gotong-royong anjuran Kemas di Kampung Ujong Bukit, dekat sini hari ini.Md Isa juga berharap anggota Kemas sentiasa berusaha membantu merapatkan hubungan antara masyarakat yang berbeda fahaman politik.

Sempena majlis itu, beliau juga merasmikan air terjun buatan manusia di Bukit Wang Padang yang diusahakan Kemas.Air terjun setinggi lebih 10 meter itu dibina secara kreatif dengan kos hanya kira-kira RM20,000 dan ia adalah antara tarikan terbaru di kampung tradisional itu.Beliau turut menyampaikan hadiah kewangan dan projek kepada kampung Gerakan Desa Wawasan (GDW) yang berdaya maju.

GDW Kampung Seri Aman, Padang Besar muncul juara GDW contoh dengan memenangi hadiah kewangan sebanya RM10,000 dan hadiah projek ekonomi bernilai RM40,000.Tempat kedua dimenangi GDW Padang Besar Selatan dengan hadiah bernilai RM8,000 dan projek ekonomi bernilai RM35,000 manakala GDW Wang Besar menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM6,000 dan projek ekonomi bernilai RM30,000.

Lebih 300 anggota Kemas seluruh Perlis menyertai gotong royong bersama penduduk untuk membersihkan kawasan perkampungan yang berlanskapkan bukit-bukau dan sawah padi yang terletak di kawasan Bintong itu. - Bernama

Yong Teck Lee masih harap dapat sokongan parti komponen lain

KOTA KINABALU: Walaupun kesemua 13 pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee masih berharap beberapa orang daripada mereka akan menyokong pendirian SAPP yang hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu.

Yong berkata, beliau menjangka sekurang-kurang dua parti komponen akan dengan senang hati menerima apa juga keputusan kepimpinan pusat, tetapi percaya ada yang lain yang sentiasa berpegang pada suara hati akan menyokong beliau.“Saya rasa ramai orang akan sokong kami. Saya tahu beberapa pemimpin di peringkat Federal dan dari negeri lain, pada asasnya sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

“Beberapa orang membayangkannya dalam parti sendiri,” katanya kepada pemberita di pondok parti itu didirikan bagi berinteraksi dengan orang ramai di pasar minggu Gaya Street di sini hari ini.Kesemua 13 pemimpin parti komponen BN menolak usul tidak percaya SAPP itu pada mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN Khamis lepas dengan menyatakan ia tindakan tidak beretika dan bertentangan dengan semangat BN.

Mengulas kenyataan setiausaha agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Yong antara lain berkata, kerajaan pusat perlu menghapuskan sikap melayan negeri sebagai ’bapa kepada anak’, sebaliknya perlu melihat negeri sebagai rakan sebaya.

Beliau berkata, bentuk hubungan sekarang tidak sihat oleh kerana ia menyekat anggota gabungan BN daripada meluahkan perasaan mereka.“Adalah lebih baik jika kerajaan pusat dapat mengubahsuai mentaliti, sikap dan mindset bahawa kita adalah rakan.“Kita harap apa yang kita lihat sekarang...akan membawa perubahan tentang bagaiman kepimpinan pusat melihat negeri-negeri,” kata beliau. - Bernama

Termakan umpan

KUALA LUMPUR: Kerana teruja untuk menjadi cepat kaya, dua pelabur kerugian hampir RM80,000 apabila syarikat yang memungut duit mereka untuk menyertai satu skim francais tidak menunaikan janji dan sering mengelak setiap kali dihubungi.

Mangsa turut mendakwa, wakil syarikat terbabit menggunakan ‘psikologi’ untuk mengumpan mereka supaya mengeluarkan modal RM40,000 setiap seorang sebagai permulaan skim pelaburan itu.Seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan berkata, menerusi skim itu setiap pelabur dijanjikan tapak dan mesin yang menyediakan khidmat menjual air suling dan kad prabayar isian semula di lokasi strategik.

Antara lokasi yang dijanjikan termasuk institusi pengajian tinggi, hospital, pusat beli-belah dan kawasan tumpuan orang ramai.Dengan dijanjikan pulangan mencecah RM3,000 setiap bulan, tanpa berfikir panjang dan menyiasat latar belakang syarikat terbabit, dia terus tertarik dan membuat pembayaran awal RM36,000 kepada wakil syarikat berkenaan.

“Rugi kalau tidak masuk sekarang, sebab hari ini harga murah dan bukan senang untuk dapat tapak yang boleh bagi pulangan lumayan macam ini.” Demikian antara kata-kata wakil syarikat ketika pertemuan kali pertama kami di pejabatnya.

Roslan berkata, wakil syarikat itu juga pandai ‘berlakon’ dan bila dia meminta menurunkan harga tapak dia berpura-pura pergi berjumpa pengurus dan kembali semula dengan mengatakan mangsa bertuah kerana permintaannya diluluskan, menyebabkan dia benar-benar percaya skim itu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Aida berkata, wakil syarikat terbabit juga kerap memberi alasan ketika dihubungi menyebabkan dia hilang keyakinan dengan skim itu dan kini menuntut wang yang dilaburkan sebanyak RM40,000 dipulangkan selepas penat menunggu sejak empat bulan lalu.

“Ketika ditanya bila saya dapat tapak untuk pasang mesin, mereka memberi alasan ia belum mendapat kelulusan. Selepas beberapa bulan wakil syarikat menghubungi saya dan beritahu tapak yang saya minta diluluskan.

“Bagaimanapun, hari berikutnya wakil itu menghubungi saya dan memberitahu tapak yang dipohon itu diserahkan kepada pelabur yang menunggu lebih lama daripada saya, jadi kena tunggu untuk dapat tapak lain,” katanya.

Bagaimanapun, menurut sumber dalaman syarikat terbabit yang beroperasi di ibu kota, syarikat berkenaan dipercayai akan menamatkan operasinya tidak lama lagi.Syarikat itu juga dikatakan ada beberapa lagi anak syarikat lain menggunakan nama berbeza dengan menyewa ruang pejabat di bangunan dan aras berlainan dipercayai untuk mengelirukan bakal pelabur.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Dang Wangi mengenai keengganan syarikat memulangkan wang mereka serta bercadang mengambil tindakan undang-undang untuk menyelesaikan masalah.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abd Rahman, ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai dakwaan mangsa.“Kerjasama beberapa agensi berkaitan lain seperti Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) juga diperlukan untuk membantu siasatan kes ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut.ada lagi yang tak tau rupanya.

Tapi apa nak hairan kan isu gores dan menang pun dah bertahun masuk paper ada juga yang jadi mangsa

HIMPUNAN 1 JUTA RAKYAT

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan bahawa perhimpunan satu juga rakyat akan diadakan pada 6 Julai 2008 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall pada jam 10.00 pagi.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli yakin Protes dapat mengumpul sejuta rakyat negara ini kerana keadaan negara semakin gawat dengan berbagai-bagai masalah termasuklah politik kerajaan.Tambahan pula katanya, sudah 15 hari rakyat terus menjalani kehidupan yang terhimpit sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini.Katanya, kemarahan rakyat semakin memuncak dengan demonstrasi membantah kenaikan minyak merata-rata tempat termasuk di Masjid Kampung Baru dan di Kajang.

Beliau juga meminta satu juta rakyat yang akan mengikuti perhimpunan itu memakai baju berwarna merah sebagai identiti rasmi membantah kenaikan harga minyak.Oleh itu, katanya Protes kali ini dengan slogannya 'Protes Satu Juta Rakyat Turun' akan terus menyatakan siri bantahan terhadap kerakusan kerajaan di seluruh negara.Ketika ditanya sebab Padang Timur dipilih sebagai lokasi perhimpunan, Dr Hatta berkata Protes mengambil kira keselesaan peserta himpunan dan ia berdekatan dengan sebuah tasik rekreasi.

"Orang ramai boleh datang dari beberapa arah tanpa kesesakan seperti dari lebuh raya persekutuan dan boleh menggunakan kemudahan awam LRT yang berhenti di Taman jaya," katanya kepada wartawan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Jelasnya, dalam perhimpunan itu pemimpin Pakatan Rakyat turut berucap kemudian diikuti tayangan media tentang senario kenaikan harga minyak yang akan memberi semangat dan kesedaran kepada rakyat."Di samping itu, kita akan menjemput beberapa artis serta mengadakan persembahan teater bergerak untuk menaikan semangat kepada para penyokong bantahan itu," katanya.

Apa yang penting Hatta menegaskan, perhimpunan itu sebagai satu mesej penting kepada Abdullah Badawi untuk menurunkan harga minyak.Katanya, orang ramai pula tidak perlu risau dengan keselamatan di padang itu, kerana pihak penganjur akan menyediakan seramai 3,500 petugas keselamatan untuk mengawal cubaan provokasi oleh pihak tertentu.Beliau juga menegaskan tidak berhasrat untuk memohon sebarang permit daripada pihak polis untuk perhimpunan itu.

Merujuk hari perhimpunan yang berubah, Hatta berkata hari Ahad cuti umum dan tidak ramai yang berniaga dan keadaan lalu lintas agak lengang."Jika tidak ada di kalangan peniaga merungut mereka kerugian ribu ringgit kerana perhimpunan oleh Protes," katanya.Menjawab kenapa tidak membuat di tempat yang diputuskan sebelum ini iaitu KLCC, Hatta berkata, sasaran perhimpunan kali ini agak besar dan di kawasan padang berkenaan amat sesuai di samping memudahkan pihak keselamatan mengawal.

Semasa ditanya apa kemucak perhimpunan tersebut, Hatta berkata mereka akan membuat satu 'pengisytiharan' bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apa pengisytiharan itu.Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga penyelaras Protes berkata, himpunan itu juga sebagai satu insiatif Pakatan Rakyat bahawa mereka amat serius dalam menangani masalah rakyat.Bagaimanapun, katanya untuk menggerakkan satu juta rakyat turun sama-sama membantah kenaikan minyak adalah satu cabaran yang besar."Kita tunjuk kepada kerajaan kita akan menggunakan hak demokrasi untuk mengubah nasib kita sendiri," katanya.

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mengajak semua mahasiswa dan mahasiswi untuk sama-sama menyertai perhimpunan itu sebagai satu platform menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan."Mereka mewakili golongan muda untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan memanipulasi isu minyak," katanya.Seorang lagi penyelaras Protes S. Arultcelvan pula berkata, pada 6 Julai nanti rakyat telah membuktikan kepada kerajaan bahawa mereka menyahut cabaran Perdana Menteri untuk terus mengadakan perhimpunan bantahan.

MB Kedah bidas TV3 siar berita fitnah

ALOR STAR, 19 Jun (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah semalam melahirkan rasa kekesalan di atas laporan berita yang disiarkan oleh oleh TV3 kelmarin.Berkata kepada media selepas mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan semalam, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menyatakan rasa kesal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap fitnah yang dibuat oleh TV3 itu.

Sedangkan, menurut Ustaz Azizan, pihak Kerajaan Negeri telah memberi layanan yang baik dan menghormati semua media massa.Oleh itu, beliau meminta media massa menghormati etika kewartawanan dan profesionalisme mereka."Kerana zaman kita zaman orang maju, orang bertamadun, jangan buat lagi kerja-kerja yang primitif, kerja-kerja yang tidak bertamadun."Kita bersedia menjawab apa-apa soalan dan bertanggung jawab dengan tindakan kita. Kita sedia untuk dikritik, ditegur dan dianalisis tapi bukan fitnah yang tidak betul," ujarnya.

Buletin Utama TV3 malam kelmarin yang membuat liputan sempena 100 hari pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah menyentuh mengenai perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Kulim Hi-Tech oleh kerajaan Negeri.

Dalam laporan itu, Buletin Utama menyifatkan perlantikan tersebut sebagai usaha mengetepikan Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Kulim Hi-Tech, Dato' Ahmad Shukri Tajuddin dan satu tindakan politik.Menurut Ustaz Azizan, Kerajaan Negeri masih mengekalkan Dato' Ahmad Shukri sebagai Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Kulim Hi-Tech yang berfokus kepada urusan promosi Kulim Hi-Tech.

Oleh itu, memandangkan keperluan meningkatkan aktiviti ekonomi di Kulim Hi-Tech yang telah bertambah jumlah pelaburnya, maka Kerajaan Negeri melantik Pengarah Eksekutif Kumpulan yang akan memberi tumpuan kepada operasi."Lain kali kalau nak buat berita mai jumpa saya, jangan tanya orang tepi jalan. Be professional. Be smart reporters," kata Ustaz Azizan mengulas hal berkenaan.

SAPP adakan sidang akhbar khas esok

17/06/2008 9:56pm

KOTA KINABALU 17 Jun – Parti Maju Sabah (SAPP) yang dikaitkan dengan pelbagai khabar angin tentang tindakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan satu `kejutan' esok.Utusan Malaysia difahamkan kejutan itu akan diumumkan pada sidang akhbar khas parti tersebut di Ibu Pejabat SAPP di Luyang dekat sini.

"Tunggu dan lihat sahaja esok, ia satu pengumuman yang mengejutkan senario politik di Malaysia dan dijangka satu keputusan akan diambil SAPP,'' kata seorang pemimpin kanan parti itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya khabar angin bahawa ada pemimpin politik atau Ahli Parlimen dari Sabah akan keluar BN memberitahu, beliau tidak mengetahui mengenainya.``Saya tidak diberitahu apa-apa,'' kata Abdullah ringkas kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Pegawai Eksekutif di sini hari ini.- Utusan.

apakah benar seperti yang dikatakan sebuah parti komponen BE END akan keluar dari kepompong Be End atau cuma gurauan politik? Tunggu saja esok

Roslan Aziz Hina PAS!!!

Bantah konsert 'ego orang agama'

Jimadie Shah Othman Jun 17, 08 4:59pm

Komposer terkenal Roslan Aziz menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi pada seorang ustaz dan kata pada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya.

Beliau diminta mengulas rancangan Pemuda PAS negeri mengadakan perhimpunan membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.Konsert itu, yang dilaporkan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri.

Menurut Roslan, bantahan itu terjadi disebabkan PAS sendiri yang ingin menggunakan agama untuk tujuan politik."Secara peribadi saya tidak setuju guna Islam untuk tujuan politik. Saya fikir (tindakan) ini salah.

Biar orang kata Umno itu jahat tapi ia tidak guna Islam untuk tujuan politik.ella"Masalahnya pada keseluruhan PAS itu sendiri. Sebab itu di Datuk Keramat, saya tidak pernah mengundi. Masalahnya nak mencari orang yang betul dalam parti yang betul."Dalam Umno yang baik ada orang-orang senget.

Orang-orang alim, lebai-lebai yang baik pula dalam parti senget," tambahnya.Bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu ini juga berkata campur tangan ahli politik seumpama Pemuda PAS Selangor itu sebagai sejenis "buli" akibat kegagalan seniman sendiri."Ia berpunca artis kita juga.

Ada yang bongok, oleh kerana tak pandai belajar, jadi artis. Jadi, mereka tidak proaktif, tidak ada pengetahuan. Sebab itu orang suruh potong rambut pun tak apa. Kena buli pun tak apa.

"Dulu masa (menteri penerangan) Mohamad Rahmat nak potong rambut pun, saya tak bagi. Jangan potong, saya kata. Saya bukan beruk. RTM tak bagi tak apa," katanya.

Pemberi maklumat bakal jadi OKB

PELABUHAN KLANG: Pemberi maklumat kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berkaitan kes penyeludupan, penghasilan rokok palsu dan yang berkaitan dengan bidang kuasa agensi berkenaan bakal menjadi ‘Orang Kaya Baru’ (OKB) jika maklumat mereka berjaya menyelesaikan kes disiasat.

Ganjaran diberikan pula dalam bentuk tunai dan difahamkan mencecah ribuan hingga ratusan ribu ringgit bergantung kes yang diselesaikan.Pemberi maklumat turut dirahsiakan identitinya dan dilindungi daripada ancaman pihak tertentu termasuk ahli sindiket penyeludupan dan yang terbabit dalam kegiatan haram sedang disiasat.

Kes terbaru, mungkin ada pemberi maklumat bakal menjadi OKB selepas membantu KDRM merampas hampir 33,000 karton rokok dianggarkan bernilai lebih RM3.5 juta, Khamis lalu.Ketika mendedahkan rampasan berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah KDRM (Pencegahan), Datuk Mardina Alwi, berkata serbuan dijalankan pada jam 2 petang di sebuah gudang, di sekitar Pandamaran, di sini.

“Berdasarkan maklumat, sejumlah besar rokok putih dibawa masuk tanpa permit, baru-baru ini, dan hasil risikan mendapati ia berasas.“Bahagian Pencegahan kemudian melakukan serbuan di gudang terbabit dan menemui longgokan besar rokok putih yang selepas disiasat tidak mempunyai setem cukai,” katanya, semalam.

Dua lelaki warga tempatan turut ditahan di gudang terbabit, seorang dipercayai pemilik dan seorang lagi pekerjanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi KDRM di talian bebas tol di 1-800-88-8855 atau di 03-31792321.

Kena simpan no phone nie

Proton keluar model baru guna NGV

KUALA LUMPUR 16 Jun - Proton dijangka mengeluarkan kenderaan model terbaru iaitu teksi yang menggunakan gas asli untuk kenderaan (NGV) sebagai alternatif utama bagi menggantikan petrol dan diesel, Ogos ini.

Presiden Persatuan Pengedar-pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA), Wan Ahmad Sepwan Wan Abdul Rahman berkata, kenderaan itu dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang terbaik untuk golongan pekerja terutamanya di bandar-bandar besar yang menggunakan pengangkutan itu ke tempat kerja.''Kita lihat kemajuan di Jepun dan Korea.

Mereka jauh ke hadapan dan sudah lama menggunakan NGV sebagai bahan api utama.''Proton lihat penggunaan teksi NGV ini boleh diperluaskan. Sebab itu, kenderaan model terbaru itu akan dikeluarkan sebagai permulaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menggesa Proton supaya mencipta pengeluaran kereta nasional dengan menyediakan tangki NGV yang mungkin lebih kecil dan boleh diletakkan meliputi kawasan tengah dan belakang di bawah kereta.

Tambah beliau, langkah itu boleh dilakukan terhadap semua kenderaan baru keluaran Proton dalam usaha menggalakkan penggunaan NGV ketika negara dihambat dengan kenaikan harga petrol dan diesel.Wan Ahmad seterusnya berkata, model teksi itu juga telah direka untuk mesra penumpang dan mempunyai ruang yang lebih luas di bonet belakang kenderaan tersebut.

''Model ini tidak akan mengambil lebih ruang bonet seperti teksi NGV hari ini. Ia direka khas untuk penggunaan NGV," katanya.Menurutnya, model teksi NGV itu dijangka menjadi langkah awal kepada pengenalan model kenderaan NGV untuk penggunaan persendirian.''Kita yakin model ini akan digunakan secara meluas dan akan diterima semua pemilik kenderaan dalam masa yang singkat.

''Ia jelas menjimatkan jika dibanding dengan petrol. Penggunaan kenderaan NGV akan menjadi alternatif utama masalah kenaikan harga minyak dunia," ujarnya.Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama kerajaan, pembekal NGV dan pengusaha stesen minyak adalah penting untuk merealisasikan penggunaannya secara meluas.

''Banyakkan stesen minyak yang menjual NGV dan perluaskan promosi serta galakan pengunaan gas ini,'' katanya.Beliau seterusnya memberitahu, langkah menggunakan NGV itu perlu dimulakan ke atas semua teksi sebelum diperkenalkan kepada kenderaan persendirian.

Terlalu awal lihat kesan kenaikan bahan bakar: Dr Zeti

KUALA LUMPUR: Terlalu awal untuk melihat kesan kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini terhadap inflasi dan pertumbuhan, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Beliau berkata, Bank Pusat itu perlu mengkaji dengan teliti impaknya berikutan kesannya bukan hanya kelembapan sektor luar tetapi juga membabitkan kesan pakej rangsangan yang disediakan serta keadaan kenaikan harga disebabkan oleh peningkatan kos.

“Kita perlu membuat penilaian yang berhati-hati sama ada ia disalurkan kepada pengguna. Bila ini berlaku, barulah ada inflasi apabila terdapat kenaikan harga yang menyeluruh,” katanya. Pada masa ini, kata beliau, hanya kenaikan harga yang khusus. “Terlalu awal untuk menilai sama ada ia disalurkan dan sama ada pengeluar mempunyai kemampuan seperti apa yang mereka sudah lakukan dalam menyerap sebahagian daripada kenaikan kos.

"Kemudiannya, reaksi pengguna, sama ada mereka akan terus dengan permintaan yang amat kukuh atau sama ada kita akan melihat kepada kesederhanaan. “Semua ini akan dinilai dengan teliti pada bulan-bulan akan datang memandangkan kita menentukan respons dasar kewangan kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program sarjana kewangan Islam INCEIF di sini hari ini.

Dasar kadar faedah Bank Negara akan bergantung kepada tinjauan masa depan inflasi dan pertumbuhan, katanya. Mengenai keadaan memasuki lingkungan kadar faedah negatif, beliau berkata Malaysia dari masa ke masa mempunyai kadar faedah sebenar negatif tetapi selagi ia tidak fundamental, ia tidak akan menjejaskan permintaan pengguna dan kedudukan pengguna. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Bank Negara tidak mempengaruhi sentimen pendasar pasaran kewangan.

“Bagi kami, operasi campur tangan kami akan ditentukan oleh keadaan yang tersusun. Sentimen pendasar bukan suatu yang kami cuba pengaruhi,” katanya semasa ditanya mengenai laporan Morgan Stanley bahawa usaha bank pusat Asia untuk campur tangan di pasaran tidak akan berjaya untuk mengelak pengukuhan dolar AS. Dr Zeti berkata dari semasa ke semasa, akan terdapat peningkatan ketidakstabilan kerana ketidaktentuan yang timbul di dalam sistem kewangan antarabangsa.

“Dari masa ke masa, pelbagai institusi antarabangsa mengumumkan kedudukan kewangan mereka dan ini memberi kesan terhadap pasaran kewangan. Pengumuman sedemikian dibuat dengan pelbagai dasar memberi kesan kepada pasaran kewangan. "Hanya selepas keadaan sedemikian reda, kadar tukaran dan kadar lain di pasaran kewangan akan stabil dan akan terdapat potensi untuk pemulihan normal dan penerusan pertumbuhan keseluruhan," katanya. - Bernama

Setelah PM, kini DBKL pula 'tikam rakyat'

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) -Nampaknya bukan sahaja pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tempohari telah 'menikam rakyat' secara berdepan dengan pengumuman kenaikan harga minyak, tetapi semalam Dewan Bendaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menambahkan luka tikaman dengan menaikan caj tempat letak kereta sehingga hampir 35 peratus.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Ab Hakim Borhan pihak DBKL akan melaksanakan Sistem Letak Kereta Eletronik (SLKE) berkuatkuasa Isnin ini dan pemilik kenderaan dikehendaki membayar caj 80 sen sejam bagi setiap petak letak kereta di pusat bandar berbanding hanya 60 sen sekarang.

"Bagaimanapun kadar letak kereta di luar pusat bandar (pinggir bandar) dikurangkan 10 sen kepada 50 sen sejam," katanya kepada pemberita semasa Program Datuk Bandar Bersama Media di DBKL di semalam.Caj sekarang adalah satu kadar sahaja iaitu 60 sen sejam bagi pusat bandar dan luar pusat bandar.

Ab Hakim berkata selain itu DBKL juga mengumumkan lanjutan tempoh masa bayaran letak kereta bermula 7.30 pagi hingga ke 10 malam sepanjang tujuh hari seminggu, berbanding sekarang 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, kecuali Ahad dan cuti umum.Katanya melalui sistem baru itu tiada pengecualian diberikan apabila pemilik kenderaan juga dikehendaki membayar caj letak kereta pada setiap cuti umum.

Ab Hakim berkata buat permulaan kadar dan langkah-langkah baru itu hanya dilaksanakan di kawasan yang dilengkapi dengan SLKE bagi fasa pertama iaitu di kawasan Bukit Bintang, Masjid India, Jalan Sultan Ismail, Kampung Baru, Chow Kit, Pudu, Kompleks Damai dan Jalan Loke Yew.

Menurutnya kerja-kerja penggantian meter letak kereta di kawasan itu telah dan sedang dibuat bagi membolehkan penguatkuasaan bermula Isnin ini di kawasan berkenaan.Katanya kerja-kerja penggantian meter lama ke SLKE di kawasan lain akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Ogos ini."DBKL menjangkakan sistem baru ini berkonsepkan 'cepat dan mesra pengguna' ini tidak akan memberi kejutan yang besar kepada pengguna,"katanya.

Beliau berkata, SLKE terdiri sistem elektronik berkonsepkan 'bayar dan peraga' adalah baik kerana membolehkan pengguna membuat pilihan sama ada mahu membayar secara tunai dengan menggunakan syiling atau pembayaran secara kredit dengan menggunakan Mykad atau kad bank yang mempunyai aplikasi MEPS.

"Dengan penggunaan aplikasi ini, pembayaran akan menjadi lebih mudah,"katanya.Katanya, meter baru itu dapat mengelakkan berlakunya vandalisme terhadap mesin malah menggunakan tenaga solar untuk berfungsi pada waktu siang dan mengggunakan bateri pada waktu malam.

Katanya masa maksimum bagi setiap tempat letak kereta adalah tiga jam dan pengguna perlu membuat bayaran semula selepas itu.Ab Hakim berkata sebanyak 50 kakitangan penguatkuasaan ditugaskan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem baru itu. - mks._

p/s : apa kaitan minyak dengan parking?

Makan apa saja, bayar cuma RM2

ALOR STAR 11 Jun – Pada saat kebanyakan peniaga makanan di seluruh negara ghairah menaikkan harga jualan masing-masing ekoran kenaikan harga minyak, pemilik sebuah kedai makan di Kuala Kedah dekat sini masih mengekalkan kadar bayaran RM2 untuk apa juga hidangan termasuk minuman.

Percaya atau tidak, itulah harga yang dikenakan oleh pemilik Kedai Makan RM2, Khalid Ahmad, 41, sejak memulakan perniagaan makanan kira-kira 20 tahun lalu.Untuk satu hidangan, pelanggan boleh mengambil nasi putih bersama lauk seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.

Harga RM2 untuk makanan itu juga termasuk minuman tanpa mengira ia sirap bandung, teh ais atau minuman panas.Paling membanggakan, kedai makan milik Khalid itu yang terletak dekat jeti feri ke pulau peranginan Langkawi masih mampu menawarkan pelbagai pilihan minuman dan lauk-pauk yang menyelerakan. “Saya tidak mahu mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang dengan menaikkan harga makanan kerana mahu mengekalkan pelanggan setia.“Apatah lagi kebanyakan mereka terdiri daripada nelayan yang berpendapatan rendah termasuk rakan-rakan saya sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid memulakan perniagaannya seawal pukul 6 pagi kerana pada masa itu nelayan mula turun ke laut. Kedai itu hanya ditutup selepas pukul 5 petang.Katanya, selain nasi dengan beraneka jenis lauk antaranya ayam goreng, kari ikan, udang kunyit dan daging kicap, kedainya turut menjual laksa, bihun sup, mi sup dan kuetiau sup, juga pada harga RM2.“Ada juga pengunjung yang datang dari luar Kedah seperti dari Kuala Lumpur terkejut ketika mahu membayar harga makanan di sini.“Mereka mahu membayar lebih kerana tidak percaya dengan harga yang ditawarkan,” ujarnya.

Khalid yang mendapat bekalan bahan mentah ikan dan hasil laut lain daripada nelayan di sini turut membeli barang keperluan dari pasar tani berhampiran.“Saat paling sibuk ialah pada waktu makan tengah hari apabila pekerja dari pejabat agensi kerajaan berhampiran datang menjamu selera,’’ katanya yang dibantu oleh isteri dan lima pekerja.

Menurut Khalid, selain berniaga di kedai itu beliau juga menerima tempahan makanan dari kilang-kilang berhampiran dan hanya mengenakan caj pengangkutan tambahan sebanyak 50 sen.

Beliau memberitahu, sehingga hari ini beliau belum berfikir untuk menaikkan harga makanan di kedainya kerana merasakan masih mampu meraih keuntungan. “Makanlah apa sahaja, harganya tetap RM2 untuk seorang pelanggan,” katanya.

Protes dan bantahan besar-besaran 12 Julai (kenaikan minyak)

untuk orang kuala lumpur: 12 julai 2008

Ribuan orang akan digerakkan untuk menyertai protes membantah kenaikan besar harga minyak di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada jam 3 petang 12 Julai.Penganjur Gabungan Anti-Inflasi (Protes) berharap dapat menghimpun 100,000 orang untuk mendesak kerajaan supaya mengurangkan harga minyak ke paras asalnya, sebelum ini.

"Kami percaya, dengan kenaikan drastik harga minyak, kami akan mendapat sokongan rakyat..."Ini tidak sama dengan perhimpunan anjuran Bersih. Ia akan lebih besar. Impaknya juga akan lebih besar," kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli dalam sidang akhbar hari ini.Hatta menjelaskan bahawa Menara Berkembar KLCC dipilih sebagai tempat protes tersebut kerana ia merupakan ibupejabat syarikat minyak negara, Petronas.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas sepetutnya digunakan untuk meringan beban rakyat, akibat kenaikan harga minyak.Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol naik 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 manakala harga diesel naik RM1 atau 63.3 peratus kepada RM2.58.

Kenaikan harga minyak itu adalah antara langkah drastik kerajaan untuk menangani kenaikan subsidi minyak, yang dijangka mencecah RM56 bilion tahun ini.Selepas membuat pengumuman tersebut, Abdullah berharap rakyat Malaysia tidak mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api itu.

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/83994





untuk orang utara: 7 jun 2008

Kepala Batas, 5 Jun - Satu himpunan aman memprotes kenaikan harga minyak akan diadakan di Plaza Tol Sungai Dua Butterworth pada hari sabtu 07 jun 2008 jam 5:00 petang hujung minggu ini.Himpunan aman ekoran kenaikan harga minyak yang paling buruk dalam sejarah malaysia.

Orang ramai tidak perlu bimbang untuk membuat bantahan aman kerana kita menuntut hak kita sebagai pembayar cukai. Setiap tahun kita membayar cukai, saman dan banyak lagi beban yang kita tanggung selama ini.Ayuh rakyat yang berada di negeri sebelah utara semenanjung (kedah, perlis, penang, perak).

Harus hadir beramai ramai kehimpunan protes kenaikan harga minyak di Plaza Tol Sg Dua Butterworth pada hari sabtu ini jam 5 petang.Diharap bawa sepanduk tanda protes. Selepas ini kita akan berhimpun pulak di Kepala Batas hadapan rumah Perdana Menteri Malaysia pula.

sumber: http://pas.org.my/index.php?option=c...59&Ite mid=32

perhimpunan selepas sembahyang jumaat 6 jun 2008

Sanusi Dipecat

KUALA LUMPUR 9 Jun - Khidmat Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditamatkan mulai 2 Jun lalu walaupun tempoh perkhidmatan beliau sepatutnya berakhir pada tahun 2010.

Menurut sumber, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah dilantik sebagai Presiden UIAM yang baru bagi menggantikan Sanusi, (gambar) 65, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.Mohd. Sidek, 57, dikatakan telah menerima watikah pelantikan tersebut yang ditandatangani oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Selain itu, salinan watikah berkenaan juga telah dihantar oleh Rektor UIAM, Profesor Datuk Dr. Syed Arabi Idid kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.Menurut Perlembagaan UIAM, pelantikan Presiden universiti tersebut adalah di bawah bidang kuasa Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Ketua Perlembagaan boleh melantik mana-mana individu sebagai Presiden UIAM yang menjadi kuasa prerogatif baginda.Walaupun tempoh perkhidmatan Sanusi berakhir pada tahun 2010, namun menurut Perlembagaan UIAM, kedudukan beliau selaku Presiden tidak semestinya tidak boleh diganti biarpun tempoh perkhidmatannya belum berakhir.

Sebelum ini, spekulasi timbul mengenai kedudukan Sanusi selaku Presiden UIAM berikutan tindakannya keluar daripada UMNO mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.Malah terdapat beberapa pihak yang mendesak Sanusi supaya meletakkan jawatannya sebagai Presiden UIAM kerana tindakannya itu.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Kedah yang menjawat jawatan Presiden UIAM sejak Februari 2000 telah mengadakan sidang akhbar mempertahankan kedudukannya.Beliau mendakwa tiada siapa yang boleh memecatnya sehingga tempoh perkhidmatannya tamat pada 2010.

dah ler tu...dah tua dah...dok kat masjid dah ler...tak yah ler nak berjuang lagi...zaman kegemilangan (kalau ada) dah berlalu lama dahhhhhhhhh