Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Kerajaan tidak pernah pinggirkan pembangkang

KANGAR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan pihak pembangkang sebaliknya diberi peluang menikmati kemudahan yang disediakan melalui pelbagai program pembangunan, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sehubungan itu, beliau berharap jabatan dan agensi yang mempunyai tanggungjawab khusus terhadap masyarakat termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) supaya tidak bersikap pilih kasih terutama dalam menyalurkan bantuan.Sebagai contoh, beliau berkata, bantuan kepada pelajar miskin bagi meneruskan pelajaran menjadi satu keutamaan meskipun ibu bapa mereka adalah anggota parti pembangkang.

“Jangan fikirkan perbedaan politik tapi kena fikir masa depan anak yang perlu dibantu untuk belajar,” katanya berucap pada majlis gotong-royong anjuran Kemas di Kampung Ujong Bukit, dekat sini hari ini.Md Isa juga berharap anggota Kemas sentiasa berusaha membantu merapatkan hubungan antara masyarakat yang berbeda fahaman politik.

Sempena majlis itu, beliau juga merasmikan air terjun buatan manusia di Bukit Wang Padang yang diusahakan Kemas.Air terjun setinggi lebih 10 meter itu dibina secara kreatif dengan kos hanya kira-kira RM20,000 dan ia adalah antara tarikan terbaru di kampung tradisional itu.Beliau turut menyampaikan hadiah kewangan dan projek kepada kampung Gerakan Desa Wawasan (GDW) yang berdaya maju.

GDW Kampung Seri Aman, Padang Besar muncul juara GDW contoh dengan memenangi hadiah kewangan sebanya RM10,000 dan hadiah projek ekonomi bernilai RM40,000.Tempat kedua dimenangi GDW Padang Besar Selatan dengan hadiah bernilai RM8,000 dan projek ekonomi bernilai RM35,000 manakala GDW Wang Besar menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM6,000 dan projek ekonomi bernilai RM30,000.

Lebih 300 anggota Kemas seluruh Perlis menyertai gotong royong bersama penduduk untuk membersihkan kawasan perkampungan yang berlanskapkan bukit-bukau dan sawah padi yang terletak di kawasan Bintong itu. - Bernama

Yong Teck Lee masih harap dapat sokongan parti komponen lain

KOTA KINABALU: Walaupun kesemua 13 pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee masih berharap beberapa orang daripada mereka akan menyokong pendirian SAPP yang hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu.

Yong berkata, beliau menjangka sekurang-kurang dua parti komponen akan dengan senang hati menerima apa juga keputusan kepimpinan pusat, tetapi percaya ada yang lain yang sentiasa berpegang pada suara hati akan menyokong beliau.“Saya rasa ramai orang akan sokong kami. Saya tahu beberapa pemimpin di peringkat Federal dan dari negeri lain, pada asasnya sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

“Beberapa orang membayangkannya dalam parti sendiri,” katanya kepada pemberita di pondok parti itu didirikan bagi berinteraksi dengan orang ramai di pasar minggu Gaya Street di sini hari ini.Kesemua 13 pemimpin parti komponen BN menolak usul tidak percaya SAPP itu pada mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN Khamis lepas dengan menyatakan ia tindakan tidak beretika dan bertentangan dengan semangat BN.

Mengulas kenyataan setiausaha agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Yong antara lain berkata, kerajaan pusat perlu menghapuskan sikap melayan negeri sebagai ’bapa kepada anak’, sebaliknya perlu melihat negeri sebagai rakan sebaya.

Beliau berkata, bentuk hubungan sekarang tidak sihat oleh kerana ia menyekat anggota gabungan BN daripada meluahkan perasaan mereka.“Adalah lebih baik jika kerajaan pusat dapat mengubahsuai mentaliti, sikap dan mindset bahawa kita adalah rakan.“Kita harap apa yang kita lihat sekarang...akan membawa perubahan tentang bagaiman kepimpinan pusat melihat negeri-negeri,” kata beliau. - Bernama

HIMPUNAN 1 JUTA RAKYAT

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan bahawa perhimpunan satu juga rakyat akan diadakan pada 6 Julai 2008 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall pada jam 10.00 pagi.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli yakin Protes dapat mengumpul sejuta rakyat negara ini kerana keadaan negara semakin gawat dengan berbagai-bagai masalah termasuklah politik kerajaan.Tambahan pula katanya, sudah 15 hari rakyat terus menjalani kehidupan yang terhimpit sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini.Katanya, kemarahan rakyat semakin memuncak dengan demonstrasi membantah kenaikan minyak merata-rata tempat termasuk di Masjid Kampung Baru dan di Kajang.

Beliau juga meminta satu juta rakyat yang akan mengikuti perhimpunan itu memakai baju berwarna merah sebagai identiti rasmi membantah kenaikan harga minyak.Oleh itu, katanya Protes kali ini dengan slogannya 'Protes Satu Juta Rakyat Turun' akan terus menyatakan siri bantahan terhadap kerakusan kerajaan di seluruh negara.Ketika ditanya sebab Padang Timur dipilih sebagai lokasi perhimpunan, Dr Hatta berkata Protes mengambil kira keselesaan peserta himpunan dan ia berdekatan dengan sebuah tasik rekreasi.

"Orang ramai boleh datang dari beberapa arah tanpa kesesakan seperti dari lebuh raya persekutuan dan boleh menggunakan kemudahan awam LRT yang berhenti di Taman jaya," katanya kepada wartawan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Jelasnya, dalam perhimpunan itu pemimpin Pakatan Rakyat turut berucap kemudian diikuti tayangan media tentang senario kenaikan harga minyak yang akan memberi semangat dan kesedaran kepada rakyat."Di samping itu, kita akan menjemput beberapa artis serta mengadakan persembahan teater bergerak untuk menaikan semangat kepada para penyokong bantahan itu," katanya.

Apa yang penting Hatta menegaskan, perhimpunan itu sebagai satu mesej penting kepada Abdullah Badawi untuk menurunkan harga minyak.Katanya, orang ramai pula tidak perlu risau dengan keselamatan di padang itu, kerana pihak penganjur akan menyediakan seramai 3,500 petugas keselamatan untuk mengawal cubaan provokasi oleh pihak tertentu.Beliau juga menegaskan tidak berhasrat untuk memohon sebarang permit daripada pihak polis untuk perhimpunan itu.

Merujuk hari perhimpunan yang berubah, Hatta berkata hari Ahad cuti umum dan tidak ramai yang berniaga dan keadaan lalu lintas agak lengang."Jika tidak ada di kalangan peniaga merungut mereka kerugian ribu ringgit kerana perhimpunan oleh Protes," katanya.Menjawab kenapa tidak membuat di tempat yang diputuskan sebelum ini iaitu KLCC, Hatta berkata, sasaran perhimpunan kali ini agak besar dan di kawasan padang berkenaan amat sesuai di samping memudahkan pihak keselamatan mengawal.

Semasa ditanya apa kemucak perhimpunan tersebut, Hatta berkata mereka akan membuat satu 'pengisytiharan' bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apa pengisytiharan itu.Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga penyelaras Protes berkata, himpunan itu juga sebagai satu insiatif Pakatan Rakyat bahawa mereka amat serius dalam menangani masalah rakyat.Bagaimanapun, katanya untuk menggerakkan satu juta rakyat turun sama-sama membantah kenaikan minyak adalah satu cabaran yang besar."Kita tunjuk kepada kerajaan kita akan menggunakan hak demokrasi untuk mengubah nasib kita sendiri," katanya.

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mengajak semua mahasiswa dan mahasiswi untuk sama-sama menyertai perhimpunan itu sebagai satu platform menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan."Mereka mewakili golongan muda untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan memanipulasi isu minyak," katanya.Seorang lagi penyelaras Protes S. Arultcelvan pula berkata, pada 6 Julai nanti rakyat telah membuktikan kepada kerajaan bahawa mereka menyahut cabaran Perdana Menteri untuk terus mengadakan perhimpunan bantahan.

MB Kedah bidas TV3 siar berita fitnah

ALOR STAR, 19 Jun (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah semalam melahirkan rasa kekesalan di atas laporan berita yang disiarkan oleh oleh TV3 kelmarin.Berkata kepada media selepas mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan semalam, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menyatakan rasa kesal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap fitnah yang dibuat oleh TV3 itu.

Sedangkan, menurut Ustaz Azizan, pihak Kerajaan Negeri telah memberi layanan yang baik dan menghormati semua media massa.Oleh itu, beliau meminta media massa menghormati etika kewartawanan dan profesionalisme mereka."Kerana zaman kita zaman orang maju, orang bertamadun, jangan buat lagi kerja-kerja yang primitif, kerja-kerja yang tidak bertamadun."Kita bersedia menjawab apa-apa soalan dan bertanggung jawab dengan tindakan kita. Kita sedia untuk dikritik, ditegur dan dianalisis tapi bukan fitnah yang tidak betul," ujarnya.

Buletin Utama TV3 malam kelmarin yang membuat liputan sempena 100 hari pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah menyentuh mengenai perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Kulim Hi-Tech oleh kerajaan Negeri.

Dalam laporan itu, Buletin Utama menyifatkan perlantikan tersebut sebagai usaha mengetepikan Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Kulim Hi-Tech, Dato' Ahmad Shukri Tajuddin dan satu tindakan politik.Menurut Ustaz Azizan, Kerajaan Negeri masih mengekalkan Dato' Ahmad Shukri sebagai Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Kulim Hi-Tech yang berfokus kepada urusan promosi Kulim Hi-Tech.

Oleh itu, memandangkan keperluan meningkatkan aktiviti ekonomi di Kulim Hi-Tech yang telah bertambah jumlah pelaburnya, maka Kerajaan Negeri melantik Pengarah Eksekutif Kumpulan yang akan memberi tumpuan kepada operasi."Lain kali kalau nak buat berita mai jumpa saya, jangan tanya orang tepi jalan. Be professional. Be smart reporters," kata Ustaz Azizan mengulas hal berkenaan.

SAPP adakan sidang akhbar khas esok

17/06/2008 9:56pm

KOTA KINABALU 17 Jun – Parti Maju Sabah (SAPP) yang dikaitkan dengan pelbagai khabar angin tentang tindakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan satu `kejutan' esok.Utusan Malaysia difahamkan kejutan itu akan diumumkan pada sidang akhbar khas parti tersebut di Ibu Pejabat SAPP di Luyang dekat sini.

"Tunggu dan lihat sahaja esok, ia satu pengumuman yang mengejutkan senario politik di Malaysia dan dijangka satu keputusan akan diambil SAPP,'' kata seorang pemimpin kanan parti itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya khabar angin bahawa ada pemimpin politik atau Ahli Parlimen dari Sabah akan keluar BN memberitahu, beliau tidak mengetahui mengenainya.``Saya tidak diberitahu apa-apa,'' kata Abdullah ringkas kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Pegawai Eksekutif di sini hari ini.- Utusan.

apakah benar seperti yang dikatakan sebuah parti komponen BE END akan keluar dari kepompong Be End atau cuma gurauan politik? Tunggu saja esok

Roslan Aziz Hina PAS!!!

Bantah konsert 'ego orang agama'

Jimadie Shah Othman Jun 17, 08 4:59pm

Komposer terkenal Roslan Aziz menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi pada seorang ustaz dan kata pada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya.

Beliau diminta mengulas rancangan Pemuda PAS negeri mengadakan perhimpunan membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.Konsert itu, yang dilaporkan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri.

Menurut Roslan, bantahan itu terjadi disebabkan PAS sendiri yang ingin menggunakan agama untuk tujuan politik."Secara peribadi saya tidak setuju guna Islam untuk tujuan politik. Saya fikir (tindakan) ini salah.

Biar orang kata Umno itu jahat tapi ia tidak guna Islam untuk tujuan politik.ella"Masalahnya pada keseluruhan PAS itu sendiri. Sebab itu di Datuk Keramat, saya tidak pernah mengundi. Masalahnya nak mencari orang yang betul dalam parti yang betul."Dalam Umno yang baik ada orang-orang senget.

Orang-orang alim, lebai-lebai yang baik pula dalam parti senget," tambahnya.Bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu ini juga berkata campur tangan ahli politik seumpama Pemuda PAS Selangor itu sebagai sejenis "buli" akibat kegagalan seniman sendiri."Ia berpunca artis kita juga.

Ada yang bongok, oleh kerana tak pandai belajar, jadi artis. Jadi, mereka tidak proaktif, tidak ada pengetahuan. Sebab itu orang suruh potong rambut pun tak apa. Kena buli pun tak apa.

"Dulu masa (menteri penerangan) Mohamad Rahmat nak potong rambut pun, saya tak bagi. Jangan potong, saya kata. Saya bukan beruk. RTM tak bagi tak apa," katanya.

Rebet tunai rakyat..Siapa dpt Untung?

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - Sabtu lalu, ribuan pengguna kenderaan pensendirian menuntut rebet tunai di pejabat Pos seluruh Malaysia namun setiap rebet tersebut yang dibayar itu dikenakan caj perkhidmatan.

Hasil keuntungan caj perkhidmatan itu secara tidak langsung memberi keuntungan yang besar kepada Pos Malaysia yang telah diswastakan dan sahamnya telah dimiliki oleh sebuah syarikat yang ada kaitan rapat dengan menantu PM.Demikian pendedahan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan (MPT) Badrul Hisham dalam blognya berkaitan pembayaran subsidi kerajaan berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Badrul berpendapat syarikat tersebut sedang menikmati keuntungan hasil daripada mekanisma pembayaran subsidi tersebut.

"Tahukah anda, setiap plan yang diperkenalkan oleh Pak Lah mesti ada motif rasuah atau salahguna kuasa? Contoh untuk kenaikan harga minyak ini. Penstrukturan subsidi yg dibayar menggunakan wang pos"Bayangkan duit yang masuk ke dalam poket Khairy, setiap RM10 yang dibayar sebagai subsidi...10 sen akan masuk ke poket sebagai komisen wang pos," katanya dalam blog tersebut.

Katanya sejumlah enam juta kenderaan di Malaysia yang mana setiap kenderaan akan mendapat subsidi RM 620, maka secara tidak langsung sebanyak RM 6.20 komisen yang bakal diperolehi oleh menantu Perdana Mneteri itu untuk sejumlah kenderaan yang mendapat rebet tunai tersebut.

Batalkan hasrat hijrah ke bandar

PUTRAJAYA 16 Jun – Anak muda terutama ribuan lepasan sekolah pada penghujung tahun ini yang berhasrat berhijrah ke bandar-bandar besar dinasihatkan membatalkan niat mereka berikutan keadaan kos hidup yang semakin meruncing pada masa ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, saban tahun kebiasaannya Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan menyaksikan kebanjiran ‘peneroka bandar’ tetapi kali ini pihaknya berharap mereka melupakan sahaja hasrat untuk berbuat demikian.Sebaliknya, kata beliau, adalah lebih baik golongan muda ini menumpukan usaha membangunkan ekonomi di kawasan-kawasan luar bandar terutama dengan menyertai bidang keusahawanan, penternakan dan penanaman bahan makanan.

‘‘Saya berharap kepada anak-anak muda yang berniat berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur untuk mencari rezeki supaya melupakan hasrat mereka sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun ini.‘‘Adalah lebih baik tumpukan usaha menghasilkan penternakan dan bahan makanan di luar bandar.

‘‘Pihak kementerian menerusi rancangan Ekonomi Desa (ED) menyediakan pinjaman antara RM20,000 hingga RM500,000 kepada mereka yang berminat sebagai usahawan, tidak kiralah sama ada hendak menternak kambing, ikan sembilang dan apa jua kegiatan ekonomi desa, kita akan bantu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kenaikan harga minyak sebanyak 40 peratus yang diumumkan kerajaan lebih seminggu lalu mengakibatkan rakyat negara ini terutama di bandar-bandar berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Betul tu UMNO memerlukan anak-anak muda terus duduk di kampung supaya tak terdedah dengan sumber maklumat media IT so mudah ler UMNO hantar cikgu KEMAS masuk kampung pujuk undi depa dalam PRU13 nanti.

Yahudi menyelinap dalam projek2 Malaysia!

Syarikat Illuminati Sudah Tiba Di Johor


Gambar) Menteri Besar Johor bersama Pengarah Halliburton, David King merasmikan pembukaan kilang pada 29 Mac 2008.

Dalam sidang perbahasan di parlimen pada 21 Mei (Rabu), Dato’ Seri Tuan Guru Hadi Awang telah mempersoalkan tindakan Kementerian Perdagangan yang memberi kelulusan syarikat Yahudi Zionis untuk membuka kilang seluas 20,000 kaki persegi di Taman Teknologi Johor di Johor.

Syarikat tersebut dikenali sebagai Halliburton Manufacturing & Technology (M) Sdn. Bhd. Tuan Guru mempersoalkannya kerana syarikat tersebut terlibat secara langsung dengan penjajahan Amerika di Iraq, Mesir dan Palestin.Amat mengecewakan apabila Timbalan Menteri iaitu Dato’ Jacob Dunggau Sagan gagal menjawab soalan Tuan Guru.

Beliau hanya sekadar berhelah kosong dan memberitahu kerajaan memberi kebenaran kerana syarikat tersebut mampu membawa pulangan faedah terkumpul yang banyak kepada kerajaan.Berkenaan Halliburton Manufacturing Halliburton merupakan syarikat pembekal senjata utama untuk peperangan di Iraq.

Syarikat ini juga merupakan syarikat warisan keturunan Yahudi yang bernama Halliburton. Di bawah syarikat ini terdapat banyak lagi syarikat-syarikat yang mengkhusus dalam teknologi senjata dan minyak.

Asalnya Halliburton Manufacturing diasaskan oleh dua orang tokoh perniagaan Yahudi iaitu Vida dan Erle P. Halliburton dan beribu pejabat di Burkburnett, Texas pada 1919. Core business untuk syarikat ini ialah Oil Well Cementing.Sejak dari 1919 hingga 1982, jumlah pekerja tetap syarikat Halliburton ialah seramai 115,000 orang.

Namun jumlah pekerja menurun kepada 73,000 orang pada 1991.Untuk memantapkan peranan Halliburton Manufacturing, syarikat ini telah menubuhkan sebuah anak syarikat yang berperanan khusus dalam pembekalan alatan perang berteknologi.

Anak syarikat tersebut bernama Brown & Root Service.Peranan Brown & Root Service Dalam Polisi Perang AmerikaBRS adalah sekutu terbesar dalam membekalkan alatan perang sejak 1990-an. BRS secara langsung telah terlibat dalam konflik-konflik seperti…

* Desert Storm Operation, Kuwait pada 1991,

* Konflik Balkan, 1990 dan Bosnia-Herzegovina.

Dalam konflik ini, Halliburton telah menuubuhkan sebuah lagi anak syarikat baru iaitu Kellog Brown-Root (KBR),

* Perang Teluk, Perang Afghanistan dan Perang Iraq.

Kekuasaan Halliburton dan Syarikat-Syarikat Yahudi Lain

Pada era Bush, Halliburton adalah penguasa sebenar loji-loji minyak di seluruh tanah Arab atau negara Islam kecuali Iran. Kekuasaan Halliburton bolehlah disamakan dengan kekuasaan Exxon Mobil yang dimiliki oleh David Rockefeller.

Menurut Dr. P.s.Babcock,“…bagi sesiapa yang bukan dalam bidang industri minyak, Halliburton adalah sebuah syarikat yang misteri. Bagi yang terlibat dengan industri minyak pula, Halliburton adalah syarikat jenayah kolar putih.”Halliburton boleh disamakan dengan syarikat Yahudi lainnya seperti Baskin Robin (pembekal aiskrim untuk kem tentera Amerika di Iraq) dan pakaian jenama Bill Khakis iaitu pembuat pakaian tentera Amerika dan Zionis sejak 1880-an.

Halliburton sama sahaja dengan kedua-dua syarikat ini, “tidak popular, tetapi amat berkuasa” dan terlibat secara langsung dengan setiap peperangan dunia dengan memainkan peranan masing-masing.Tidak diketahui adakah pemilihan syarikat Halliburton oleh kerajaan Malaysia dibuat secara paksa atau pilihan terbuka.

Adalah amat tidak logik pihak kerajaan Malaysia tidak mengetahui latar belakang syarikat ini.Tindakan Kementerian Perdagangan itu bukan sahaja dipersoalkan oleh Pakatan Rakyat tetapi juga dari ahli perlimen BN sendiri iaitu Dato’ Mukhriz Tun Mahathir dalam perbahasan parlimen pada hari yang sama.

Wallahu’alam.

Sistem tender terbuka di Pulau Pinang....betul ke?

Sistem tender terbuka di Pulau Pinang boleh akibatkan kontraktor kelas F ‘gulung tikar’.

15/06/2008 4:18pm

PULAU PINANG 15 Jun – Sistem tender terbuka yang diguna pakai kerajaan negeri sekarang jika diteruskan boleh mengakibatkan kontraktor bumiputera kelas F di negeri ini ‘gulung tikar’.Pengerusi Persatuan Kontraktor Binaan Bumiputera Kelas F Pulau Pinang, Abdul Wahab Hamid memberitahu pemberita di sini hari ini, penggunaan sistem itu menyebabkan mereka tidak berpeluang dan sukar mendapat kerja kerana terpaksa bersaing dengan syarikat lain.

Menurutnya, sepanjang tempoh hampir tiga bulan sistem tersebut dilaksanakan, projek-projek yang diperoleh kontraktor bumiputera kelas F di negeri ini telah berkurangan sehingga 50 peratus.Dalam sistem yang diguna pakai itu, mana-mana syarikat boleh menyertai tender walaupun tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK). - Utusan

.................................................. ............

Sekiranya benar, maka bakal tamatlah riwayat kontraktor bumiputra kat Penang.....

Aku call member aku kat penang tadi buat confirmation. memang sah open tender. sampaikan certain project tak sampai sejam borang habis. siap yang handle tender ade main booking form untuk die nye 'kaki'.

*rasanya DAP takkan lama kat sana.....

Budak tu Penipu Besar!

Sinar Harian hari ini telah mendedahkan identiti graduan UITM yang telah membuat 2 laporan polis mengenai pembohongan kerajaan selangor dan laporan Suhakam sebenarnya seorang usahawan berjaya dan bukan nya sebagai penggangur seperti yang didakwa.

Individu yang bernama Mohd Shaid Rosli, dikatakan mempunyai kepentingan sendiri.Pemberi maklumat turut menyatakan, beliau mengakui mengenali rapat Mohd Shaid yang mempunyai perniagaan di Bandaraya Shah Alam. Beliau mengesyaki Mohd Shaid dipergunakan oleh pihak pihak tertentu yang mungkin bermotifkan politik.

Mohd Shaid selain dari mempunyai syarikat perniagaan yang berkembang maju, turut mempunyai sebuah kereta mewah serta bergiat aktif di dalam sebuah pertubuhan politik. Selain dari mempunyai kedai di seksyen 7, beliau turut mempunyai sebuah lagi kedai di UITM Shah Alam.

Sesiapa yang ingin mendapatkan gambaran jelas kedai@pejabat milik Mohd Shaid, sila rujuk kepada sinar harian 24/5/2008, dimukasurat S13.

Tajuk berita: Rakan dakwa graduan UITM lapor polis ada kepentingan sendiri.

[Di dalam akhar Sinar harian ... terdapat photo memfokuskan kedai 7Eleven, seksyen 7, Shah alam dan wajah depan pejabat di tingkat satu yang dipudarkan]

Potong elaun menteri tidak rasional

PULAU PINANG 8 Jun - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan cadangan untuk memotong elaun yang dinikmati oleh menteri adalah tidak rasional.Sepatutnya, kata beliau, cadangan untuk menjimatkan wang kerajaan perlu difokuskan kepada aspek rasional dan bukan disebabkan oleh perasaan marah kepada menteri.

''Kalau potong elaun menteri-menteri, tidak sampai RM1 bilion pun. Kalau elaun menteri sampai berbilion, saya rasa ada kesan.''Jangan buat sesuatu kerana kita marah. Kita fokus pada yang rasional. Kalau buat cadangan yang rasional pun, baru ada kesannya tapi bukan sebab rasa geram dengan menteri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.Beliau mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas supaya elaun yang dinikmati menteri dipotong sebagai salah satu langkah penjimatan wang kerajaan.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, berikutan peningkatan harga barang keperluan kini, langkah berjimat cermat sepatutnya tidak hanya diamalkan rakyat tetapi turut diikuti pemimpin kerajaan.Aspek penjimatan wang kerajaan, kata Shahrir, telah dimulakan oleh menteri-menteri sebelum ini lagi malah beliau sendiri telah mengarahkan supaya perbelanjaan untuk acara-acara yang dianjurkan oleh kementeriannya dikurangkan.

''Sebelum ini pun, kalau majlis sendiri (kementeriannya) kita tidak perlu bagi cenderamata kepada menteri. Buat sederhana sahaja selain mengurangkan seminar dan perjalanan dalam usaha berjimat cermat," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mencari kaedah terbaik dalam menghadapi kenaikan harga ayam di pasaran.Antara yang dikaji, katanya, ialah untuk memansuhkan harga siling ayam dan bercadang untuk mengeksport ayam ke luar negara.

Mengulas usaha untuk mengawal selia dan memantau syarikat besar di negara ini, Shahrir berkata, kerajaan akan mewujudkan satu akta baru dalam usaha menggalakkan amalan perdagangan yang sihat dan adil.''Kita mungkin berdepan dengan keadaan monopoli dan amalan perdagangan yang kurang sihat dan tidak beretika, ini boleh membantutkan persaingan.''Justeru akta ini digubal untuk mewujudkan satu suasana ekonomi yang terbuka dan bersaing," katanya.

sekurang-kurangnya rakyat boleh nampak yang para menteri ini RELA BERKORBAN untuk berkongsi penderitaan rakyat

Kenyataan Tun Mahathir tentang kenaikan harga minyak.

Harga Minyak

Harga minyak mentah naik sebanyak 400 peratus sejak tiga tahun lepas. Lambat laun harga barangan juga akan alami kenaikan. Di negara-negara lain harga petrol sudah pun naik. Di United Kingdom satu liter petrol dijual pada kadar lebih satu pound sterling atau lebih kurang RM7. Di Amerika Syarikat harganya lebih kurang RM5.

Petunjuk bahawa harga minyak di negara-negara jiran mengalami kenaikan ialah bagaimana kenderaan Thai dan juga Singapura berpusu-pusu mengisi minyak di Malaysia.Kerajaan umumkan kenaikan petrol sebanyak 78 sen ke RM2.70, kenaikan melebihi 40 peratus.Saya mungkin tersilap, tetapi ternampak kekurangan jumlah kenderaan di jalanraya hari ini. Tetapi kesannya bukanlah terhad kepada itu sahaja. Barangan pengguna, perkhidmatan dan barangan mewah akan mengalami peningkatan harga.Kos sara hidup sudah tentu meningkat.

Dilihat daripada sudut lain akan tercetus inflasi dan taraf kehidupan akan menurun.Memanglah kenaikan harga petrol di sini jauh lebih rendah daripada di United Kingdom, mahupun Amerika Syarikat. Tetapi pendapatan per kapita kita adalah lebih kurang satu pertiga mereka. Berasas kepada kuasa membeli kita kenaikan harga adalah lebih tinggi dari UK atau Amerika Syarikat.Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat.

Beberapa hari lepas Kerajaan putuskan untuk haramkan penjualan minyak kepada kenderaan milik asing. Tunggang. Sekarang kenderaan asing dibenar membeli semula. Terbalik!Mengetahui yang ianya akan menaikkan harga minyak dalam beberapa hari dan orang asing akan dibenar membeli, kenapa Kerajaan tidak menunggu sahaja daripada keluaran arahan larangan dan kemudian benarkan semula.Namun begitu apakah yang Kerajaan boleh lakukan untuk meringankan beban kepada rakyat hasil daripada kenaikan harga petrol.

Pertamanya, Kerajaan tidak patut mengapungkan Ringgit. Kadar apungan menyebabkan ketidak-tentuan nilai Ringgit dan kita tidak akan meraih apa-apa keuntungan daripada kekuatan Ringgit. Sudah tentu rakyat tidak menikmati peningkatan kuasa membeli walaupun terdapat peningkatan nilai Ringgit dari segi tukaran dengan Dollar Amerika.Sebenarnya Ringgit mengalami peningkatan lebih kurang 80 sen (daripada RM3.80 ke RM3.08 pada 1 US Dollar) satu US Dollar, melebihi 20 peratus. Jika Kerajaan teruskan sistem tambatan kadar dan menaikkan nilai Ringgit pada kadar 10 peratus pada satu masa, kos import, dalam Ringgit boleh dipantau dan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Pada kadar kenaikan 20 peratus, kos import patutnya turun 20 peratus.

Tetapi kita tahu harga barangan import dan perkhidmatan tidak kurang. Ini bermakna kita bayar 20 peratus lebih tinggi untuk import termasuk bagi bahan mentah dan komponen untuk industri.

Oleh sebab harga minyak disebut dalam Dollar Amerika, kenaikan harga minyak dalam Dollar sepatutnya dikurangkan sebanyak 20 pertaus dalam Ringgit Malaysia.Tetapi Kerajaan hendak turut Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia dan telah putuskan untuk mengapung Ringgit. Akibatnya kekuatan Ringgit hanya meningkatkan kos export tanpa memberi sebarang keuntungan kepada rakyat menerusi kekurangan kos import.Ini bukanlah kecerdikan selepas sesuatu itu terjadi.

Saya telah beritahu seorang Menteri Kerajaan supaya Ringgit tidak diapungkan tiga tahun lalu. Memanglah saya bukan pakar dan saya hanya tahu serba sedikit tentang rejim kewangan antarabangsa.Saya percaya umum terpaksa menerima kenaikan harga petrol.

Tetapi apa yang menimbulkan kemarahan ialah jumlah kenaikan serta keadaan tergesa-gesa. Perdana Menteri sebelum ini seolah-olah mencadangkan kenaikan hanya pada bulan Ogos, tetapi ianya datang dua bulan lebih awal, sejurus selepas pengharaman penjualan kepada orang asing.Jika kenaikan berperingkat, rakyat tidak akan terlalu terasa.

Tetapi ini bermakna Kerajaan perlu terus beri subsidi walaupun tahapnya akan menurun.Mampukah Kerajaan terus beri subsidi? Saya “penasihat” Petronas tetapi saya tahu sedikit sahaja berkenaannya dan tidak lebih daripada apa yang dilaporkan dalam akaunnya yang diumumkan.

Apa yang saya tahu mungkin tidak begitu tepat tetapi cukup untuk saya membuat beberapa penilaian.Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong di export.Tiga tahun lalu minyak mentah dijual pada kadar USD30 satu tong. Hari ini ianya USD130 – kenaikan sebanyak USD100. Hampir tiada peningkatan di dalam kos pengeluaran oleh itu lebihan USD100 boleh dianggap untung bersih.

250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit).

Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan.Kerajaan ini melimpah dengan wang.Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus.Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu.

Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan Kerajaan.Di dalam jangka masa terdekat cara untuk mengurangkan pembaziran dan menaikkan pendapatan mestilah diperkenal.

Kita mungkin tidak dapat menetapkan gaji minima, tetapi sudah tentu kita boleh meningkatkan sedikit jumlah gaji minima.Sebenarnya pendapatan kita tinggi berbanding sesetengah jiran kita. Pelabur yang datang ke sini tertarik bukan dengan harga buruh murah, tetapi faktor-faktor lain termasuk sikap dan pendekatan Kerajaan tehadap komuniti perniaga terutamanya pelabur.

Daripada apa yang saya dengar, sikap mesra peniaga amat berkurangan pada Kerajaan sekarang hinggakan orang Malaysia juga melabur di luar negara. Terdapat cakap-cakap berkenaan hubungan politik mempengaruhi keputusan. Secara amnya ahli politik Kerajaan dikatakan sombong.

Malaysia tidak punyai cukup tenaga kerja.Industri yang memerlukan tenaga pekerja yang ramai tidak menguntungkan Malaysia. Pekerja asing menghantar jumlah wang yang besar ke negara asal mereka.Polisi industri mestilah bertukar agar teknologi tinggi dapat dipromosikan untuk memberi rakyat Malaysia lebihan pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.Dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai Dollar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan dan akiviti tamak “hedge funds” yang berterusan.

Kemungkinan berlakunya resesi ekonomi Amerika Syarikat adalah benar. Sebenarnya Amerika Syarikat sedang mengalami kelembapan ekonomi. Ekonomi dunia akan turut ditarik turun.Malaysia juga akan terjejas kesan daripada semua masalah ini. Saya tertanya adakah Kerajaan bersedia untuk menghadapi semua ini.Kita tidak boleh lari daripada akibat negatif tetapi mestilah ada cara untuk mengatasinya agar beban yang terpaksa ditanggung rakyat dapat dikurangkan.

Saya harap yang Kerajaan tidak akan melepaskan sahaja segala masalah ini kepada rakyat seperti yang digambarkan cadangan untuk menilai harga minyak setiap bulan.

Denmark kena ‘serang’ - Dipercayai ada kaitan dengan kartun Nabi Muhammad

ISLAMABAD - Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen semalam menyatakan kejadian letupan bom kereta di luar kedutaannya di Islamabad, Pakistan sebagai satu serangan terhadap negaranya tetapi menegaskan pihaknya tidak akan mengubah dasar luar hanya kerana serangan berkenaan.

Dalam kejadian letupan itu, lapan orang terbunuh manakala 30 lagi cedera manakala sebuah kawah besar terbentuk di luar bangunan kedutaan.Bangunaan kedutaan itu turut mengalami kerosakan.

Sebelum ini para pegawai perisikan memberi amaran bahawa satu ancaman ganas akan berlaku selepas akhbar-akhbar di Denmark menyiarkan semula kartun Nabi Muhammad s.a.w memakai serban berbentuk bom pada 13 Februari lalu.Gambar itu merupakan salah satu daripada 12 kartun yang mencetuskan rusuhan di dunia Islam pada 2006.

Dua tahun lalu, perusuh-perusuh menyerang kedutaan Denmark di Lebanon, Syria dan Iran bagi membantah penyiaran kartun Nabi Muhammad s.a.w.Setakat ini, Menteri Luar Denmark, Per Stig Moeller menyatakan kerajaannya tidak mengetahui siapa yang mendalangi kejadian letupan tersebut tetapi menjalin kerjasama dengan para pegawai Pakistan untuk mengetahui pihak yang bertanggungjawab.

Beberapa kenderaan turut musnah akibat kuasa ledakan malah ada beberapa kereta yang turut terbakar."Ia merupakan serangan berani mati yang dilancarkan dengan menggunakan sebuah kenderaan dan ia disasarkan terhadap kedutaan Denmark," kata seorang pegawai keselamatan kanan Pakistan.

Sumber kedutaan berkata, Denmark kini mengurangkan fungsi kedutaannya dengan memindahkan kebanyakan kakitangan luar negara sejak beberapa bulan lalu setelah menerima ancaman berhubung penyiaran karikatur Nabi Muhammad di Denmark pada Februari lalu. - Agensi

'Curiga alasan Ezam'

PUTRAJAYA 2 Jun - Datuk Seri Dr. Rais Yatim membangkitkan rasa hairannya dengan sikap terlalu mudah UMNO menerima kemasukan Mohamad Ezam Mohd. Noor berbanding penerimaan bekas ahli Parti Melayu Semangat 46 (S46) sebelum ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden S46 berkata, kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan rasa curiga kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa dirundingkan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Pengurusan parti.''Saya dapat tahu Jawatankuasa Pengurusan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibawa berunding terlebih dahulu, malah tidak dirujuk pun kepada Majlis Tertinggi (MT).

''Secara tiba-tiba sahaja satu pihak lagi begitu kuat mahu bawa masuk Mohamad Ezam.''Ia sungguh berbeza dengan ahli-ahli S46 dulu kerana proses kemasukan ahli (ke UMNO) sahaja memakan masa sembilan bulan dan macam-macam aspek diteliti tetapi sekarang orang yang tempelak UMNO boleh diterima 'pada minggu depan'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rais bagaimanapun yakin ahli-ahli MT yang akan bersidang selama dua hari di Shah Alam minggu ini akan membincangkan secara serius keputusan sama ada untuk menerima atau sebaliknya permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas pemimpin muda PKR ke dalam UMNO.

Menurut Rais, beliau sebenarnya berasa curiga dengan sebab-sebab yang dikemukakan oleh Mohamad Ezam untuk menyertai semula UMNO.''Dia pun sudah cakap 'lebih' (kononnya) hendak corakkan kepimpinan UMNO pada masa depan dan sebagainya. "Justeru, MT perlu buat keputusan secara konsensus sebelum menerima dia dan rakan-rakannya," katanya.

Khamis lalu, Mohamad Ezam mengumumkan kembali kepada UMNO selepas mengisytiharkan keluar daripada PKR pada April tahun lalu.Bekas Setiausaha Politik kepada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertindak keluar parti setelah kecewa dengan corak kepimpinan PKR yang dikatakan dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu yang berkepentingan peribadi.

Tiga mungkin dihukum

PUTRAJAYA 29 Mei – Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak,Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).‘‘Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

Mufti Perak kata Selangor tidak wajar haram Islam Hadhari

PETALING JAYA: Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata, kerajaan Selangor yang diketuai pembangkang, tidak harus mengharamkan program berkonsepkan Islam Hadhari. Menurut beliau, tindakan tersebut boleh menyebabkan umat Islam di Malaysia keliru dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2005.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, konsep Islam Hadhari tidak diperlukan di negeri itu memandangkan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini lengkap dan menyeluruh dari segala aspek kehidupan.

Ekoran arahan itu, katanya, semua masjid dan surau di negeri itu tidak dibenarkan menyentuh soal Islam Hadhari dalam khutbah sembahyang Jumaat. "Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan. "Apa yang saya faham setelah berbincang dengan Perdana Menteri dahulu, Islam Hadhari menepati tujuan Islam yang ingin mengangkat 65 perkara. "Antara yang wajib adalah memperkasakan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta. Namun, ulama telah menambah untuk memperkasakan akhlak juga. "Islam Hadhari boleh diambil sebagai sifat kemajuan Islam. Saya rasa tak salah kita gunakan konsep tersebut untuk memajukan Islam," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Harussani, mereka perlu mengkaji keseluruhan konsep Islam Hadhari terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya satu lagi perpecahan di kalangan rakyat. Ditanya sama ada Perak akan mengikut jejak Selangor mengharamkan Islam Hadhari, kata Harussani: "Kita tak kata apa-apa..." Selain Selangor, ikatan pembangkang iaitu Pakatan Rakyat juga mengetuai kerajaan negeri Perak sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Isu wakil BN boros ke balai polis

Isu wakil-wakil rakyat BN Selangor berbelanja boros peruntukan mereka awal tahun ini diadukan kepada polis kerana disyaki terdapat unsur-unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN itu didakwa membelanjakan lebih 90 peratus daripada peruntukan RM29.5 juta antara Januari hingga Februari sehingga ditegur oleh Sultan Selangor pada Rabu lepas."Beta memandang serius perbelanjaan peruntukan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2008 yang habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan budaya perbelanjaan berhemah dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih efisien dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber."Beberapa surat pekeliling telah dikeluarkan sebagai garis panduan perbelanjaan berhemah yang efektif di mana program-program jabatan dilaksanakan berdasarkan ketepatan kos," titah baginda lagi.

Menurut Bernama, naib ketua Angkata Muda PKR (AMK) negeri Hamsah Djabir membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam hari ini.Sementara bendahari AMK negeri Mohd Ali Hanapiah Ali Murtada pula membuat laporan polis terhadap kepimpinan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kerana disyaki terdapat penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan aktiviti berunsur rasuah di dalam proses perbelanjaan dan pengurusan dananya.

Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang DUN Jumaat lepas berkata Balkis membelanjakan RM158,000 untuk menyediakan pakaian sukan bagi anggotanya dan RM121,000 untuk pakaian batik anggota dan suami masing-masing.Sebelum ini Balkis dilanda kontroversi apabila didakwa memindahkan wang RM9.9 juta kepada sebuah badan amal lain selepas ia dibubarkan tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac.

Tarik balik subsidi minyak golongan berkemampuan

KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan dicadangkan menarik balik subsidi minyak daripada golongan berkemampuan agar peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk memberi subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia adalah antara mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak dunia yang semakin meruncing sekarang.Dengan cara itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak akan terjejas akibat situasi tersebut.“Kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi kepada semua golongan kerana ini akan menyebabkan negara menerima kesan ekonomi yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai skim subsidi baru yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai usaha menangani kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia sekarang. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim baru itu akan tetap mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ia ekoran harga minyak mentah dunia yang terus meningkat mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong semalam, berikutan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan global.Ramon berkata, cara tersebut juga akan dapat mengatasi ‘kebocoran’ dalam pemberian subsidi harga minyak negara yang juga perlu ditangani segera oleh kerajaan.“Subsidi yang tinggi di Malaysia menyebabkan penyeludupan minyak berleluasa dan akhirnya negara yang menerima kesan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu skim yang benar-benar kukuh dalam pemberian subsidi kepada pengguna.Katanya, antara yang boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan maklumat pendapatan pengguna bagi menentukan mereka layak atau tidak untuk membeli minyak pada harga subsidi.“Kelayakan subsidi kepada pengguna boleh ditentukan dengan mengenal pasti pendapatannya. Jika dia mampu, maka tidak perlu subsidi tetapi bagi yang kurang berkemampuan, mereka layak mendapat harga subsidi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi ‘kebocoran’ dalam hal pemberian subsidi minyak memandangkan harga bahan itu di negara ini lebih murah berbanding negara jiran yang lain.Katanya, subsidi secara berterusan akan meningkatkan ruang untuk kegiatan penyeludupan kerana wujudnya peluang menjual minyak subsidi pada harga yang tinggi di negara-negara jiran.

macam mana KERAJAAN nak tau seseorang tu dalam golongan berkemampuan? Adakah kerana anda drive MERCEDES BENZ atau BMW maka dikira berkemampuan? Bagaimana dengan golongan pemandu teksi ki kelantan yang guna Mercedes Benz lama sebagai teksi? Bagaimana dengan LIMO? Adakah mereka ini dianggap berkemampuan sebagaimana orang kaya yang ada Mecedes Benz atau BMW ratusan ribu RM?

Mampat buat laporan polis

KUALA TERENGGANU 22 Mei - Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) membuat laporan polis berhubung dakwaan mereka tentang kehilangan wang royalti petroleum Terengganu di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Terengganu di sini hari ini.Laporan tersebut dibuat oleh Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah kira-kira pukul 11 pagi ini.

Dalam laporan polis itu, Mohamad Fauzi merujuk laporan akhbar yang memetik kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau tidak mengetahui jumlah sebenar wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri.Idris hanya menyatakan bahawa wang yang diterima oleh Terengganu ketika itu hanya berjumlah RM1.3 bilion setahun.

Bagaimanapun, menurut Mohamad Fauzi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham Aziz mendedahkan pada Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, bahawa jumlah itu adalah RM7.3 bilion.Beliau yang turut memetik laporan akhbar mengenai kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bahawa Terengganu hanya menerima RM4.3 bilion daripada jumlah RM7.3 bilion itu dan tidak tahu di mana baki RM3 bilion dibelanjakan.

Sebagai rakyat Terengganu, beliau mahu perkara itu disiasat dan diambil tindakan.Menurutnya, jika perkara itu tidak disiasat dan diambil tindakan, beliau bimbang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan akan berterusan dan ini akan mengakibatkan negara rugi.

Katanya, ia juga akan menyebabkan negara tidak lagi dipercayai oleh pelabur kerana pengurusan kewangan yang tidak diaudit.